Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim Mohd Aziz, 29, yang menjalani pembedahan pada 29 Disember lalu berkata, kecederaannya itu bukanlah satu alasan untuk dia meninggalkan sukan tersebut sebaliknya membakar lagi semangat diri untuk kembali beraksi di padang bersama rakan-rakan.
"Saya tak pernah serik sebaliknya mahu lutut saya sembuh secepat mungkin agar dapat kembali bermain bola.
"Permainan sukan ini adalah minat dan ia sudah sebati dengan jiwa saya. Cuma saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang kecederaan seperti ini tidak berulang lagi, insya-Allah.
"Dan saya akan kembali aktif bermain bola sepak selepas habis rawatan fisioterapi dalam masa beberapa bulan lagi," katanya.
Tambah penyampai radio Era FM ini, dia juga sedang berusaha untuk menurunkan berat badannya agar lebih seimbang apabila bermain bola sepak nanti.
Difahamkan, kecederaan yang dialami Johan berpunca selepas dia bermain futsal pada malam sebelum Konsert Maharaja Lawak Mega 2012 berlangsung tahun lalu.
Sementara itu, Johan kini bahagia apabila dia dan isterinya Rozlinawaty Ismail, 32, (Ozlyn Wati) baru sahaja menerima anak kedua (enggan nama didedahkan) yang kini berusia dua bulan.
"Alhamdulillah, ini sebuah rezeki yang diberikan kepada keluarga saya. Macam biasa, walaupun masyarakat melihat saya sebagai pelawak tetapi di rumah saya seorang yang sangat tegas kepada anak-anak," tuturnya.
Johan mendirikan rumah tangga dengan Ozlyn pada 25 Julai 2009. Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Sodiq Hainana yang kini berusia dua tahun.
Sementara itu, Johan bakal muncul bersama Zizan Razak (Jozan) menerusi filem Lawak Ke Der 2 yang bakal menemui penonton di 70 pawagam di seluruh negara bermula 7 Mac depan.
Lawak Ke Der 2 diambil daripada pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya (IB) pada tahun lalu dan dipadatkan dengan lawak-lawak terbaik yang dipersembahkan oleh kumpulan Boboi, Jozan, Harith Iskander dan Nabil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: