Tuesday, February 26, 2013

Promosi Festival Hantu Lapar

PULAU PINANG kaya dengan tarikan pelancongan berasaskan budaya masyarakat Cina.


DENGAN status destinasi pelancongan yang popular, Pulau Pinang tidak pernah ketandusan daya tarikannya malah negeri tersebut kerap meneroka segmen pelancongan baharu.
Kepelbagaian budaya dan warisan etnik yang masih diamalkan di Pulau Pinang sememangnya berpotensi untuk diketengahkan, seterusnya dikomersialkan dalam pakej pelancongan.
Justeru, Tourism Malaysia mengenal pasti tiga tarikan baharu bagi melonjakkan lagi tarikan pelancongan sedia ada di destinasi dengan jolokan nama Pulau Mutiara itu. Tarikan tersebut adalah Festival Hantu Lapar, berbasikal dalam bandar dan musim durian.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata, ketiga-tiga program tersebut bukan sahaja mempunyai nilai komersial yang tinggi, malah mempunyai keistimewaan tersendiri.
Menurut beliau, pendekatan pihaknya ketika ini adalah meneroka segmen pelancongan kreatif dan inovatif di Pulau Pinang yang selama ini dikenali sebagai pusat makanan, beli-belah dan pelancongan warisan.
“Festival Hantu Lapar yang disambut masyarakat Cina di sini sepanjang bulan Ogos hingga September cukup meriah dan keunikannya berpotensi menarik pelancong dari luar serta boleh dipelbagaikan.
“Persembahan opera Cina, permainan patung tradisi serta upacara sembahyang yang diadakan sepanjang bulan itu adalah nilai kebudayaan yang mampu menarik kunjungan pelancong,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Majlis Taklimat Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) kepada pengusaha dan pengendali pelancongan di Pulau Pinang di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Pulau Pinang menjadi destinasi pertama sesi penerangan oleh Tourism Malaysia itu selepas pelancaran TMM 2014 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Putrajaya pada 19 Januari lalu.
Tourism Malaysia Pulau Pinang juga cuba menjadikan negeri itu sebagai hab durian (kepada pelancong) dan percubaan kali pertama tahun lalu berjaya menarik 700 pelancong Taiwan dan Hong Kong.

BANYAK lokasi menarik di Pulau Pinang boleh diterokai bersama keluarga dan teman-teman. - Gambar hiasan


Sasaran tahun ini untuk menarik kira-kira 1,000 pelancong menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan Cathay Pacific terutamanya dalam kalangan penggemar durian Musang King dari negara tersebut.
Tarikan eksotik
“Walaupun semua negeri ada durian terbaik masing-masing, tetapi kelainan di Pulau Pinang ialah tarikan eksotiknya selain kebanyakan kebun-kebun duriannya terletak tidak jauh dari bandar.
“George Town yang merupakan bandar terbesar didiami masyarakat Cina di luar Tanah Besar China juga memberi kelebihan untuk menarik pelancong dari Hong Kong, Taiwan dan China ke sini,” jelasnya.
Bercakap lebih lanjut, Mirza memberitahu, segmen berbasikal dalam bandar pula menepati dengan kehendak semasa sama ada pelancong luar ataupun domestik yang menjadikan aktiviti berbasikal sebagai gaya hidup baharu.
Katanya, pengiktirafan George Town sebagai bandar warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) menawarkan kelebihan bagi segmen tersebut.
“Tourism Malaysia akan menganjurkan program Jelajah Berbasikal Pulau Pinang di Balik Pulau pada April nanti serta Berbasikal Menyusuri Tapak Warisan Dunia George Town.
“Buat pertama kali juga, kita akan anjurkan Bicycle Heritage Hunt iaitu program mencari harta karun dengan para pesertanya mesti berbasikal. Ia adalah program yang pertama seumpamanya di negara ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: