Sunday, February 24, 2013

Mereka kejar mutu

QUE HAIDAR, Khir Rahman dan Soffi Jikan menjanjikan sebuah naskhah bertaraf dokumentasi seni muzik Malaysia kepada penonton yang akan menyaksikan filem Rock Oo! bermula 28 Februari nanti.


TIidak semua daripada tiga lelaki yang sudah bergelar suami ini terdiri dalam kelompok pelakon komersial. Tidak juga menjadikan badan berketak-ketak sebagai pelaris, sebaliknya masing-masing tampil dengan rasa dan jiwa tersendiri dalam mengalirkan kecintaan terhadap seni.
Tidak keterlaluan untuk menggelarkan Khir Rahman, Que Haidar dan Soffi Jikan sebagai pelakon serba boleh. Sementelah beberapa karya yang melibatkan mereka sebagai pelakon menjadi sebuah naskhah yang hebat.
Lakonan Que dalam filem-filem seperti KL Menjerit, Castello, Cinta, Haru Biru, Misteri Jalan Lama dan Legenda Budak Setan antara yang masih berbekas di hati penonton.
Bagi Khir pula, watak Tun Mamat dalam naskhah Puteri Gunung Ledang, Amran Askor (Los & Faun) dan Kemawas (Hikayat Merong Mahawangsa) antara watak yang masih membayangi figura kelahiran Johor Bahru, Johor itu.
Namun, lakonan Soffi sedikitpun tidak tenggelam biarpun hampir kesemua naskhah yang dilakonkannya sekadar pelakon pembantu. Buktinya, penonton masih terkesan dalam penampilan singkatnya menerusi filem Man Laksa, Zombie Kampung Pisang, Setem dan KL Gangster.
Tiga aset dunia perfileman tempatan itu pernah tampil bersama menerusi sebuah karya garapan pengarah terkenal Mamat Khalid dalam Rock pada 2005. Biarpun sudah menjangkau hampir lapan tahun, masih ramai yang serasi menggelarkan mereka sebagai Amy Mat Piah (Que), Jijo (Khir Rahman) dan Zul Kapan (Soffi) seperti mana watak yang dibawakan mereka dalam filem itu.
Sekali lagi untuk tahun ini, ketiga-tiga mereka kembali dengan sebuah naskhah sekuel filem tersebut, Rock Oo!: Rimba Bara Kembali. Selain diterajui nama hebat tersebut, Rock Oo! turut dibarisi pelakon Pekin Ibrahim sebagai Slash Haji Tapah dan Azmi Baharon (Mi Black).
Sebelum tirai tayangan pada 28 Februari ini dibuka, Sensasi Bintang menyatukan mereka dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru.
Que tunggu filem seni
Nama Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar sepi seketika daripada liputan media. Sementelah dia pernah mengumumkan untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan pada suatu ketika dahulu.
Que yang kali terakhir muncul menerusi filem Legenda Budak Setan dan Misteri Jalan Lama pada dua tahun lalu, tiba-tiba muncul kembali secara 'terpaksa' dalam naskhah terbitan Primeworks Studios Sdn. Bhd. itu.
"Sebenarnya saya tidak tahu tentang rancangan untuk filem itu (Rock Oo!), sehinggalah pada suatu hari Khir (Rahman) mengajak saya untuk lepak-lepak di Istana Budaya (Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur).
"Tidak sangka pula saya tertipu kerana apabila sampai di sana, tiba-tiba muncul Mamat (Khalid) dan Pekin (Ibrahim) yang sudah merancang untuk berbincang tentang filem itu. Akhirnya saya terima untuk berlakon memandangkan skripnya bagus dan saya percaya pada kebolehan pengarahnya," ujar Que memulakan bicara.
Kata suami kepada guru tari Linda Jasmine Hashim itu, buat masa ini dia masih kekal dengan kata hati untuk tidak lagi terlibat dalam dunia lakonan, melainkan jika syaratnya dapat dipenuhi.
Hati Que akan terbuka untuk berlakon sekiranya ada pengarah yang mampu menyahut cabarannya untuk menghasilkan sebuah filem yang mempunyai nilai seni yang tinggi.
"Saya sangat suka filem-filem yang dihasilkan oleh produksi di Iran. Banyak nilai seni terutamanya bab sinematografi. Kalau Khir mahu mengarah filem sebegitu mungkin saya tidak akan menolaknya," ujar Que berseloroh.
Tambah lelaki berusia 34 tahun itu, dia berharap agar penyanyi pujaannya, Amy Search pergi ke panggung wayang untuk menonton Rock Oo! kerana lakonannya di dalam filem tersebut merupakan tanda apresiasi buat penggiat dunia rock.
Dalam perkembangan lain, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu kini sibuk dengan bengkel lakonan selain sedang mencari lokasi yang sesuai untuk membuka butik pakaian miliknya.
Soffi tidak kejar nama
Figura kurus, berambut panjang dan berkulit hitam manis ini tidak perlu dipertikaikan karismanya dalam bidang lakonan. Biarpun tidak bersandarkan pada paras rupa, Soffi tetap mencuri perhatian dengan lakonan bersahaja.
Dia yang yang agak terbelakang dari segi populariti itu terjun dalam dunia hiburan bukan kerana nama, tetapi mencari kepuasan dalam dunia seni.
"Sejujurnya apabila menerima tawaran berlakon, saya sekarang mengambil kira soal kualiti naskhah yang mahu dihasilkan. Soalan pertama yang saya ajukan apabila menerima tawaran ialah siapakah pengarahnya. Kemudian baru saya tanya apakah watak itu," ujar anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu tersebut.
Pelakon filem Bunohan itu yang pernah terlibat dalam beberapa naskhah garapan Mamat seperti Rock pada 2005, Man Laksa (2006), Zombie Kampung Pisang (2007), Kala Malam Bulan Mengambang (2008), Estet (2010) dan Rock Oo! (2013), ternyata serasi berkerja di bawah pengarah seba boleh tersebut.
"Mamat antara pengarah paling kreatif di Malaysia. Bagi saya dia adalah Tim Burton (pengarah filem Dark Shadows) versi Malaysia.
"Apabila diberikan tawaran berlakon dalam filem Rock Oo!, saya yakin filem itu akan berjaya. Apabila membaca skripnya, saya merasakan ia sebuah naskhah yang sedih. Tetapi saya menjangkakan penonton akan ketawa menontonnya," ujar pelakon, pengarah dan penulis skrip yang berusia 43 tahun itu.
Tribute buat rock
Tidak sekadar melemparkan pujian kosong, Khir yang merupakan pengarah filem kontroversi, Dalam Botol menjelaskan bahawa Mamat merupakan seorang pengarah berstatus 'bintang' yang mengangkat martabat filem tempatan.
"Dia merupakan seorang pengarah yang genius. Dalam Rock Oo!, Mamat menggarapkan karya itu yang berunsur sedih tetapi penonton akan menerimanya dalam suasana humor," puji Khir kepada Mamat tanpa kompromi.
Tambah Khir, biarpun hampir lapan tahun kemudian baharu muncul dengan naskhah sekuel tersebut, Mamat tidak akan berdepan risiko kerana masih ramai pengikut yang mengingati karya pertamanya itu.
"Masih ada yang mengenali saya sebagai Jijo. Bahkan, ada yang percaya bahawa kumpulan Rimba Bara (seperti yang dianggotai Khir dalam filem Rock) adalah wujud," katanya.
Jelas Khir, lakonannya dalam naskhah terbaharu itu merupakan salah satu cara untuk dia menyampaikan penghargaan buat penggiat rock.
"Filem itu juga merupakan tribute daripada kami buat penggiat industri rock yang berjaya menghiburkan khalayak selama ini. Tidak mudah untuk bergelar penyanyi rock pada zaman dahulu. Babak berkongsi Maggi (mi segera) dalam filem itu merupakan salah satu kepayahan yang terpaksa ditempuhi untuk meneruskan impian," katanya lagi.
Khir yang merupakan anak kepada pasangan penyanyi irama Pop Yeh-Yeh, Datuk A. Rahman Hassan dan Datin Azizah Mohamad kini bukan sahaja sibuk menguruskan jadual sebagai anak seni, bahkan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak.
"Keadaan ibu saya kini tidak berapa sihat. Selain sibuk mempromosikan filem Rock Oo!, saya juga banyak meluangkan masa untuk menjaga ibu bersama adik-beradik yang lain," tutup Khir yang bakal muncul dalam beberapa filem lagi untuk tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: