Wednesday, February 27, 2013

'Conteng' dinding di Genting Highlands


DARI kiri: Pengarah Akedemik Kolej IACT Sdn. Bhd., Nicholas Lee; artis grafiti, Ooi Kok Chuen; Pengarah Urusan OMD Malaysia, Margaret Lim, Wei Heng dan Philip sempena pelancaran YNOT - Spark Your Creativity with Graffiti.


CONTENGAN grafiti yang banyak memenuhi dinding di sekitar ibu kota sering kali dikelaskan sebagai satu bentuk gejala vandalisme.
Biarpun hasil kerja artis grafiti tersebut sangat menarik, ia masih kurang mendapat perhatian masyarakat ekoran kekangan lokasi khas bagi mereka berkarya.
Grafiti mereka juga bukanlah sekadar lukisan biasa yang dihasilkan secara suka-suka. Kebanyakannya sarat dengan mesej bersifat peribadi ataupun mewakili suara generasi muda yang tidak dipandang serius.
Menyedari masalah yang dihadapi penggiat seni grafiti tempatan, Resorts World Genting dengan besar hati menganjurkan Pertandingan Seni Grafiti 2013, YNOT - Spark Your Creativity with Graffiti.
“Populariti seni grafiti kian melonjak sejak kebelakangan ini dan kami tahu terdapat ramai artis grafiti berbakat di luar sana. Pertandingan ini mampu bertindak sebagai platform bagi mereka mempertontonkan karya seni mereka kepada orang awam.
“Kami sedar, kawasan khusus untuk grafiti sangat terhad dan ramai yang terpaksa melakukannya secara haram. Penganjuran acara sebegini memberi mereka saluran yang betul untuk menunjukkan bakat,” Jelas Naib Presiden Pemasaran Genting Malaysia Berhad, Chow Wei Heng pada satu sidang akhbar di Kolej IACT, Petaling Jaya, Selangor.
Penyertaan bagi pertandingan tersebut telahpun dibuka pada 21 Februari lepas sehingga 13 Mac depan. Mereka yang berminat dikehendaki menghantar satu visual asli berwarna lengkap dengan konsep dan idea bertemakan Keseronokan dan Keterujaan kepada laman rasmi Facebook Resorts World Genting, https://apps.facebook.com/ynot_graffiti.
Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka kepada artis grafiti berumur 18 tahun ke atas dan pelajar institusi pengajian tinggi. Mereka yang mendaftar di bawah kategori pelajar perlu menyertakan salinan kad pelajar bersama hasil karya yang dihantar.
Kesemua penyertaan akan dipaparkan di Facebook bagi membolehkan orang ramai mengundi karya pilihan mereka bermula 15 sehingga 28 Mac depan.
Seramai 20 peserta bagi setiap kategori yang menerima undian tertinggi dan melepasi penilaian panel juri akan bersaing di pusingan akhir. Mereka yang terpilih akan diumumkan di Facebook pada 29 Mac 2013.
Naik Genting

KEKURANGAN kawasan bagi artis grafiti tempatan berkarya mendorong pertandingan YNOT - Spark Your Creativity with Graffiti diadakan. - Gambar hiasan


Selepas kesemua peserta akhir dipilih, mereka akan dibawa ke Genting Highlands bagi bersaing merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000. Selama dua hari, iaitu 11 dan 12 April 2013, para peserta diberi masa untuk menghamparkan karya mereka pada 40 ruang dinding di Taman Tema Luar (Outdoor) Resorts World Genting.
“Dinding-dinding yang disediakan adalah berbeza mengikut saiz. Barisan juri yang akan menetapkan sebesar mana ruang yang akan diperoleh setiap peserta. Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian awal terhadap visual asli yang dihantar ketika pendaftaran,” jelas konsultan pertandingan tersebut, Philip Wong yang juga seorang artis grafiti tempatan.
Juara bagi kategori terbuka akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan pakej percutian Resorts World Langkawi. Pemenang tempat kedua akan menerima wang tunai RM2,000 beserta baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel Awana, Genting. Tempat ketiga pula bakal memenangi wang tunai RM1,000 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World, Genting.
Kategori pelajar pula menawarkan hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM1,000 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World. Wang tunai RM800 dan baucar tiga hari dua malam di Hotel First World pula menanti pemenang tempat kedua. Tempat ketiga akan menerima wang tunai RM500 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World.
Sementara itu, sebanyak tujuh hadiah saguhati berupa baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World juga akan diberikan bagi setiap kategori.
Untuk keterangan lanjut tentang pertandingan, layari laman web www.rwgenting.com atau www.facebook.com/resortsworldgenting.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: