Wednesday, February 27, 2013

Wajah baharu Uptown Kota Damansara


SUASANA beli-belah di Uptown Kota Damansara semakin ceria dan menyeronokkan.


WAJAH baharu Bazar Malam Uptown Kota Damansara yang lebih sistematik dan kemas dilihat mampu meningkatkan imej peniaga bazar malam di sana. Pengubahsuaian yang dibuat ke atas lot-lot kedai sedia ada juga memberi impak besar terhadap hasrat pihak pengurusan yang mahu menjadikan ia sebagai salah satu destinasi menarik untuk dikunjungi.
Tampil dengan suasana yang lebih ceria dan segar, bazar tersebut menawarkan pengalaman beli-belah yang mengujakan terutama buat kaum wanita.
Kepelbagaian barangan yang dijual di sana menyebabkan pengunjung rambang mata dalam membuat pilihan.
Pengurus Konsultan Bazar Malam Uptown Kota Damansara atau sebelum ini dikenali sebagai Uptown D’Kota, Siti Hazirah Suwito berkata, proses menaik taraf bazar tersebut sudah bermula sejak awal tahun lalu.
“Proses tersebut terdiri daripada pengubahsuaian aspek fizikal – daripada gerai yang dibina dengan khemah atau kanopi kecil kepada kedai berlantaikan simen dan dinding kaca lutsinar.
“Selain itu, pihak kami juga telah memberi nafas baharu buat medan selera yang ada di sini dengan membawa masuk variasi menu berbeza untuk dipilih oleh pengunjung mengikut kegemaran masing-masing,” ujar Siti Hazirah ketika ditemui Kosmo! di Uptown Kota Damansara baru-baru ini.

PELBAGAI koleksi barangan wanita termasuk beg tangan, kasut dan aksesori boleh didapati di sini pada harga yang sangat berpatutan.


Tambah Siti Hazirah, setakat ini terdapat kira-kira 300 peniaga yang mencari rezeki di lokasi tersebut yang sentiasa dipenuhi pengunjung saban malam.
“Hasrat kami adalah untuk menaikkan imej peniaga uptown yang sebelum ini sering dianggap peniaga kelas bawahan kerana menjual barangan yang tidak berkualiti dan sebagainya.
“Justeru, kami akan memastikan produk yang dijual menepati standard sekali gus menepati cita rasa pengunjung yang datang untuk membeli-belah,” tuturnya.
Tarik perhatian
Sementara itu, pemilik jenama pakaian Electra, Sya Ramly, 26, mengakui transformasi yang dilaksanakan terhadap Uptown Kota Damansara amat baik untuk peniaga kerana mampu menarik perhatian pengunjung.
Menjual baju dan aksesori wanita bertemakan vintaj dan mengikut fesyen terkini, Sya memberitahu, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.
“Produk yang saya jual di bawah jenama Electra menggunakan pelbagai material seperti fabrik kapas, sifon dan benang bulu biri-biri. Menariknya, ia merangkumi pelbagai saiz daripada XSS hinggalah saiz XXL yang dibeli secara borong dari beberapa negara termasuk China dan Korea. Paling penting harganya sangat berpatutan,” ungkapnya sambil tersenyum.
Menjamu selera
Antara keistimewaan lain di sini ialah pengunjung boleh menjamu selera dan melepaskan dahaga selepas penat mencuci mata atau memborong sakan. Pilih sahaja jenis makanan yang digemari, semuanya tersedia di depan mata.
Burger bakar, char kuetiau, nasi ayam, makanan laut, rojak, sup, stimbot dan nasi kukus merupakan variasi menu yang boleh dicuba.

PENIAGA D'Krul Char Kuew Teow, Kamarul Isma Rizal menunjukkan sajian istimewa gerainya.


Peniaga makanan, Sukir Darman, 56, tidak ketinggalan berkongsi hidangan nasi ayam hainan yang sering menjadi pilihan pengunjung untuk dinikmati.
“Alhamdulillah, setiap hari ramai pelanggan yang datang membeli-belah akan singgah untuk mengalas perut dengan sajian ini. Selain itu, minuman istimewa, Milo dinosaur turut menjadi kegemaran mereka,” katanya yang mesra disapa Wak Sukir dalam kalangan peniaga di sana.
Dalam pada itu, sebagai usaha mempromosikan destinasi tersebut, pihak pengurusan turut mewujudkan satu laman web khusus untuk bazar berkenaan.
Melalui laman web streetfashionbazaar.wix.com/damansara, orang ramai boleh melayarinya untuk melihat maklumat terkini dan produk yang ditawarkan secara dalam talian.
Pembangunnya, Junaidah Abdul Aziz, 22, berkata, laman web tersebut telah pun beroperasi secara rasmi pada pertengahan Januari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: