Monday, February 25, 2013

Zul kekasih saya! - Gayatri

REAKSI Gayatri ketika memberikan jawapan tentang hubungannya dengan Zul ketika dia ditemui media pada 22 Februari lalu di Kuala Lumpur.


HUBUNGAN cinta antara pelakon Zul Ariffin, 26, dan penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, 30-an, bukan lagi rahsia selepas Zul sendiri mengakui mereka sedang bercinta.
Bagaimanapun selepas Zul membuat pengakuan bercinta dengan Gayatri kepada Kosmo! pada 25 Disember tahun lepas, Gayatri dilihat seolah-olah melarikan diri daripada memberi sebarang kenyataan mengenai hubungan mereka.
Bersua dengan Gayatri yang kebetulan turut menghadiri majlis tayangan perdana filem Lawak Ke Der 2 di Cathay Cineplex, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, wanita ini mempunyai sebab tersendiri mengapa sebelum ini dia melarikan diri daripada pihak media.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Gayatri.
Kosmo!: Benarkah Zul merupakan kekasih Gayatri seperti yang didedahkan Zul kepada Kosmo! sebelum ini?
GAYATRI: Zul adalah kekasih saya dan kami dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Sebenarnya kami telah bersama sejak empat bulan yang lalu. Saya mula kenal dia ketika dia berlakon dalam filem Penanggal dan kami mula rapat selepas penggambaran filem Bikers Kental.
Apakah yang membuatkan Gayatri tertarik kepada Zul?
Dia seorang lelaki yang baik, kelakar, seorang yang matang dan amat menghormati keluarga saya. Apabila saya sedih, dia selalu ada untuk menyokong dan tenangkan saya. Saya telah membawanya berjumpa keluarga saya.
Bagaimanakah dengan jurang usia, adakah memberi kesan dalam hubungan kalian?
Soal usia saya tidak fikir sangat. Jika sesuai dengan seseorang dan serasi, usia bukan satu masalah yang besar. Lagipun sekarang sudah ramai lelaki berkahwin dengan wanita lebih berusia, bukannya sesuatu yang pelik
Jika sudah suka sama suka, kenapa sebelum ini anda dilihat seperti melarikan diri dan enggan memberi kenyataan tentang hubungan ini?
Saya bukan sombong dan tidak melarikan diri. Cuma pada waktu itu bukanlah waktu yang sesuai untuk saya bercerita tentang kisah cinta pada semua orang. Saya terharu kerana dia mengaku cintakan saya dan apa yang dilakukan saya sangat hargainya.
Hubungan kalian telah diketahui umum, bagaimana pula dengan kerjaya Zul bersama Tayangan Unggul?
Hanya kerana dia kekasih saya dia akan dapat banyak tawaran daripada Tayangan Unggul? (ketawa). Rasanya lagi sukar untuk dia dapat tawaran daripada Tayangan Unggul kerana syarikat mempunyai prosedur yang ketat dalam memilih pelakon.
Andai masih ada yang bercakap mengenai Zul menerima tawaran Tayangan Unggul kerana anda kekasihnya?
Saya sudah kerja sejak tahun 1996, rasanya semua orang tahu bagaimana cara kerja saya. Apabila saya bekerja tidak ada sebarang kompromi antara kerja dan peribadi kerana itu dua perkara yang berbeza. Saya tidak pernah campur aduk antara kerjaya dan perasaan peribadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: