Tuesday, February 26, 2013

Apo Kono Eh Jang idea Stellar


STELLAR kini dalam proses merakam semula lagu popular Wings, Peronda Jaket Biru.


MENJANGKAU jumlah tontonan terkini 2.79 juta di laman sosial YouTube, lagu Apo Kono Eh Jang ternyata mencipta fenomena sendiri di Malaysia.
Kelainan lagu yang telah mengungguli carta di beberapa stesen radio tempatan selain menampilkan irama moden yang berbeza daripada versi asal dendangan Ally Noor dan Mastura, lagu itu sebenarnya mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan sepenuhnya.
"Nampak mudah tapi sebenarnya untuk mengadunkan bunyi-bunyi moden bersifat urban rock dan diselarikan dengan citarasa semasa bukan senang. Lagu itu mula melalui proses prarakaman pada tahun 2010 lagi hingga akhirnya disiapkan pada tahun lalu sebelum meletus," kata pengasas kumpulan Stellar, Badrul Hisham Abdullah (gitaris) atau mesra dipanggil Bad.
Hakikat bahawa populariti kumpulan yang terdiri daripada empat anak muda antara lainnya Mohd. Helmi Abdul Rahim (vokalis), Mohd. Herwan Sairon (bass) dan Mohd. Azrul Hayat Ismail (drum) tidak sehebat kejayaan lagu Apo Kono Eh Jang diakui mereka.
Tumpang populariti
Menurut Bad, dia percaya akan kekuatan lagu itu yang ternyata menarik didengari dan senang masuk ke dalam jiwa peminat, namun populariti kumpulannya bukan prioriti sementelah kemasyhuran itu datang sepantas kilat.
"Keutamaan kami adalah lagu bukannya latar belakang kami. Apabila orang mengenali lagu dan muzik itu popular, dengan sendirinya orang akan mula mengenali kami.
"Formula ini kami akan praktikkan untuk lagu-lagu seterusnya dan berani mencuba sesuatu yang baharu," katanya yang juga muncul dengan lagu rakyat negeri Perak, Wan Lebur bersama Usop Wilcha.
Ditanya adakah mereka menumpang populariti Datuk AC Mizal dan Fida apabila lagu Apo Kono Eh Jang turut melibatkan kolaborasi kedua-dua selebriti itu, kata Badrul, mereka mempunyai agenda sendiri.
"Masing-masing ada perancangan karier termasuk AC Mizal dan Fida. Mereka pun ada strategi tersendiri selepas lagu ini popular begitu juga kami.
"Lagipun, lagu ini pada mulanya kami yang gubah dan idea asal datang daripada Stellar. Kami setuju untuk membuang rasa ego untuk berkolaborasi dengan AC Mizal dan Fida, malah kami juga pernah membuat persembahan tanpa mereka berdua, jadi tiada isu tumpang populariti sesiapa," ujarnya.
Kolaborasi bersama AC dan Fida adalah cetusan idea oleh Sheikh Qalam Records Sdn. Bhd. dan ledakan populariti lagu Apo Kono Eh Jang menjadi bonus apabila kedua-dua penyanyi itu berasal dari Negeri Sembilan.
Rap minang
Antara faktor Apo Kono Eh Jang menjadi popular kerana keunikan lirik rap dialek Minang oleh AC. Kata Bad lagi, selain lirik yang menyampaikan mesej mendalam dan bermakna, rap minang itu juga merupakan pembaharuan dalam dunia seni suara.
"Lagu itu jadi sedap kerana rap Minang, tidak dinafikan kolaborasi bersama AC Mizal menjadi. Biarpun lirik dialek Minang itu sukar difahami, ia tidak menjadi halangan untuk lagu itu terus berkembang," jelasnya.
Sementara itu, Bad turut menjawab dakwaan bahawa lagu itu mengandungi lirik berbaur lucah dan kasar sekali gus dilihat suatu percubaan untuk melacurkan bahasa serta menyampaikan mesej tidak sihat.
"Memang pada mulanya kami khuatir lagu ini akan diharamkan tapi itulah yang dikatakan lagu rakyat dan kerisauan sentimen bahasa itu memang tidak diragui.
"Saya rasa populariti telah mengatasi masalah itu dan perkataan yang digunakan bukan bahasa yang kasar dan lucah. Telanjang contohnya lebih sopan berbanding bogel.
"Bahasa negeri yang dirapkan bukan menjadi satu isu untuk diperdebatkan kerana itu keunikan dan promosi tidak langsung Negeri Sembilan kepada orang luar," hurainya.
Stellar ditubuhkan selepas kumpulan The Muffins terkubur pada tahun 2008. Kumpulan itu pernah menerbitkan sebuah album EP berjudul Cinta Hingga Ke Hujung Galaksi pada tahun 2009 dan sebuah album penuh Kisah Bintang Pecinta (2010).
Kini, mereka dalam proses untuk merakamkan semula lagu hit Wings, Peronda Jaket Biru serta sebuah single daripada album EP, Cinta Hingga Hujung Galaksi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: