|
AKTRES seksi Lana Nordin, 34, yang diberi gelaran sebagai Pamela Anderson Malaysia nampaknya tidak segan silu mengusung kekasih kacaknya ke acara hiburan yang dihadirinya.
Terbaharu, Lana dan kekasihnya, Parvel Michalec, 24, ditemui pada majlis pengumuman pencalonan akhir Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) di Finas baru-baru ini.
Tidak lari daripada media dan hanya tersenyum simpul ketika menjawab soalan pihak media menggambarkan betapa bahagianya Lana dengan Parvel. Lana yang telah bercinta selama lapan bulan dengan Parvel mengakui telah memperkenalkan kekasihnya itu kepada keluarganya.
Bukan itu sahaja, Lana juga bakal ke negara asal Parvel iaitu Republik Czech sekitar Ogos depan untuk bertemu dengan keluarga kekasihnya yang juga seorang model itu. Bagaimanapun, apabila ditanya bila mereka berdua akan membawa hubungan itu ke jinjang pelamin, baik Lana mahupun Parvel masih-masing belum mempunyai jawapan.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Lana yang merupakan calon akhir FFM25 untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita yang diperolehnya menerusi filem Chow Kit.
Kosmo!: Adakah Lana memang suka menayang kekasih pada acara hiburan?
LANA: Bukanlah tayang tetapi kebetulan seperti acara FFM25 ini, saya dan Parvel dari satu tempat lain jadi kami terus ke sini. Saya sebenarnya tidak kisah membawa Parvel ke acara hiburan atau lokasi penggambaran kerana saya ingin dia tahu bagaimana kerja saya, lagipun kebetulan dia ada di Malaysia, apa salahnya bawa dia berjalan. Sebelum ini dia langsung tidak tahu saya seorang pelakon.
Maknanya anda berdua bercinta secara jarak jauh?
Ya, kerana kerjayanya sebagai model memerlukan dia berada di sesebuah negara dalam tempoh yang agak lama bergantung kepada projek. Kami akan berjumpa jika berpeluang dan seperti sekarang, ini kali pertama Parvel datang ke Asia. Jadi saya telah bawa dia berjalan ke Bali dan Jakarta, Indonesia. Hubungan kami berjalan seperti biasa kerana teknologi cukup canggih untuk kami berbual meskipun berada di dua negara yang berbeza.
Adakah keluarga anda merestui hubungan kalian?
Keluarga saya tidak kisah dengan siapa saya berkawan asalkan sesuai dengan diri saya. Sebenarnya saya telah membawa Parvel berjumpa keluarga pada bulan Ramadan yang lalu. Dia juga cukup berminat untuk belajar adat resam orang Melayu. Saya juga ada ajarnya bercakap dalam bahasa Melayu dan tentang agama Islam.
Nampaknya hubungan kalian semakin serius, sudah terfikir untuk berkahwin?
Memang kami serius, bahkan pada bulan Julai atau Ogos depan saya akan melawat keluarganya di Republik Czech. Soal kahwin saya belum fikir mengenainya lagi kerana Parvel juga masih belajar dalam bidang ekonomi dan kewangan di negara asalnya. Saya juga tidak boleh memaksanya untuk memeluk agama Islam, jadi biarlah dia sendiri yang terbuka hati untuk mendalami agama saya, selepas itu barulah boleh bercakap soal kahwin.
Apakah jurang usia sebanyak 10 tahun memberi kesan dalam hubungan kalian?
Usia itu hanyalah angka sahaja. Kematangan seseorang itu tidak boleh dinilai dengan usia. Ada orang muda yang cukup matang, ada lelaki yang sudah berusia 40 tahun tidak berfikiran matang. Semuanya berbalik kepada penerimaan seseorang terhadap pasangan masing-masing, Setakat hari ini saya selesa dengannya walaupun kami berlainan agama, negara dan juga bahasa.
Tercalon dalam senarai akhir FFM25 dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita, adakah anda meletakkan sebarang harapan untuk menang?
Saya tidak sangka tercalon, orang Finas ada hubungi saya supaya hadir pada majlis ini, bila lihat nama sendiri di skrin, memang sungguh terkejut. Bagi saya filem Chow Kit sebuah filem yang bagus, soal menang saya tidak boleh cakap lagi. Kalau saya letak harapan yang tinggi dan tidak menang, nanti saya juga yang kecewa. Saya serah semuanya pada juri dan tunggu sahaja keputusan pada acara kemuncak FFM25 pada 2 Mac depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: