Sunday, February 24, 2013

Kafe tanpa pagar


PELANGGAN boleh memilih menikmati hidangan di ruang berbumbung, terbuka mahu pun di bahagian persendirian.


PENULIS hampir tersesat ketika pertama kali mencari lokasi terletaknya Garden Cafe di Sungai Ramal, Kajang ini walaupun sudah melintas beberapa kali sebenarnya jalan masuk ke restoran ini
Berbekalkan petunjuk yang diberikan, penulis akhirnya sampai juga di kafe dalam taman seluas 1,393 meter persegi milik pasangan suami isteri, Mukhsin Selamat, 43, dan Zakiah Hanim Kamarudin, 37, itu.
Melangkah masuk ke pekarangan kafe ini, mata seakan terpaku melihat binaan khas kayu yang menempatkan koleksi motosikal berkuasa tinggi. Mata pasti meleret ke kaunter pembayaran yang menggunakan bentuk semula jadi dihiasi dua biji bola golf bersaiz besar di kiri dan kanan pintu masuk.

KAFE ini dapat menampung 200 pengunjung dalam satu-satu masa.


Pokok menghijau bagai penyambut tetamu tanpa suara manakala sebaik melepasi pintu, pelanggan pasti terpukau dengan landskap yang membuatkan pandangan mata sejuk.
"Kafe ini sudah beroperasi selama tiga tahun dan setakat ini, kebanyakan pelanggan dapat menerima konsep kafe dalam taman yang kami bawakan. Selain ia lari daripada konsep restoran biasa yang berbumbung dan mempunyai ruang yang terhad, pelanggan juga dapat menikmati hidangan dalam suasana damai dan santai.

GARDEN CAFE ini sudah tiga tahun beroperasi - MUKHSIN


"Memandangkan saya sendiri bergiat dalam bidang landskap, konsep yang diketengahkan di kafe ini datang daripada idea saya sendiri melalui pengalaman yang saya peroleh tanpa merujuk mana-mana majalah dekorasi.
"Pemilihan konsep ini dibuat kerana ia dapat memberikan kelainan kepada pelanggan selain ruang luas yang dikelilingi dengan pokok-pokok menghijau. Pelanggan yang kebanyakannya sudah berkeluarga tiada perlu risau untuk melepaskan anak-anak bermain di sekeliling kafe ini," ujarnya sambil memberitahu seramai 200 orang boleh dimuatkan di dalam kafe tersebut pada satu-satu masa.
Kebanyakan pelanggan yang datang juga terdiri daripada mereka yang sudah berkeluarga dan mereka tiada masalah untuk melepaskan anak-anak bermain di sekeliling kafe ini tanpa perlu rasa takut


Pagar pokok
Mukhsin memberitahu, pergola yang menempatkan koleksi motosikal berkuasa tinggi itu diibaratkan seperti lobi hotel kerana dia mahu pelanggan merasai suasana seperti di rumah sebelum mereka memasuki ke ruang taman miliknya.
Unsur air tidak terkecuali diaplikasikan dalam pemilihan landskap di kafe yang menyajikan masakan Melayu, Thailand dan Barat ini. Sebuah jambatan kecil didirikan di kolam ikan yang menempatkan ikan hiasan kegemaran pemilik seperti ikan koi.
Ditambah lagi dengan teknik pencahayaan yang menyerikan ruang di kolam ikan terbabit pada waktu malam selain tumbuh-tumbuhan dan batu-batu bersaiz kecil serta besar diletakkan di sekeliling kolam.
Pemilihan kerusi dan meja yang berwarna putih turut memberikan impaknya yang tersendiri apabila digabungkan dengan rona hijau.

PELANGGAN dapat menikmati makanan di dalam suasana damai dan santai.


"Hampir keseluruhan kawasan di kafe ini dikelilingi dengan warna hijau malah kami juga tidak memasang pagar sebaliknya pokok-pokok dijadikan pagar sekali gus menimbulkan suasana seperti berada di dalam taman.
"Pelanggan juga boleh memilih untuk menikmati hidangan di beberapa ruang yang dikhaskan sama ada mereka mahu berada di ruang berbumbung, terbuka mahupun di sudut privasi yang boleh memuatkan seramai 20 orang," tambah bapa kepada empat orang anak ini.
Penggunaan pokok-pokok yang mempunyai struktur bertingkat seperti bucida dan ru juga memainkan peranan penting dalam melatari segenap ruang di kafe ini.
Reka letak pelbagai pepohon hijau pula tampil lebih menggamit rasa apabila diserikan dengan buaian kayu yang sering menjadi pilihan pelanggan untuk bersantai sebelum menikmati hidangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: