Gayatri, 30-an, berkata, walaupun ramai yang menganggap hubungan cinta mereka yang telahpun terjalin sembilan bulan lalu mempunyai kepentingan peribadi di pihak Zul, namun ia tidak semudah yang disangka kerana Tayangan Unggul mempunyai prosedur yang ketat dalam pemilihan pelakon.
"Saya tidak pernah campur aduk antara kerjaya dan perasaan peribadi. Sejak tahun 1996, semua orang tahu bagaimana cara kerja saya.
"Tidak ada sebarang kompromi antara kerja dan peribadi kerana itu dua perkara yang berbeza. Dan saya serta Zul faham isitilah profesional yang wujud di antara kami.
"Rasanya lagi sukar untuk dia dapat tawaran daripada TU kerana syarikat mempunyai prosedur yang sangat ketat," katanya yang juga merupakan Naib Presiden Astro Shaw.
Selepas pengakuan Zul, Gayatri pula sukar dihubungi media yang ingin mendapatkan kenyataan balas daripada pihaknya sehingga dikatakan cuba melarikan diri daripada memberikan sebarang kenyataan mengenai hubungan tersebut.
Bagaimanapun, Gayatri menyangkal dakwaan kononnya dia cuba melarikan diri, sebaliknya menganggap belum tiba masanya untuk dia membuat pengakuan.
"Saya bukannya melarikan diri, cuma ia bukan waktu sesuai untuk menceritakan kisah cinta ini kepada umum.
"Bagaimanapun saya terharu dengan tindakan Zul yang mengaku cintakan saya. Apa yang dilakukannya itu sangat saya hargai.
"Dan sebagai kenyataan balasnya, benar, Zul adalah kekasih saya dan kami sedang dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing," ujarnya.
Gayatri turut memberitahu, jarak usianya yang lebih tua daripada Zul bukan penghalang untuk mereka menjalinkan hubungan malah tidak pernah berfikir mengenainya.
"Dia seorang lelaki yang baik, kelakar dan matang. Apabila sedih, dia selalu ada untuk menyokong dan tenangkan saya. Dan saya telah membawa Zul berjumpa dengan keluarga saya.
"Soal usia pula tidak pernah saya fikirkan sangat. Jika sesuai dengan seseorang dan serasi usia bukan satu masalah yang besar. Lagipun sekarang sudah ramai lelaki berkahwin dengan wanita lebih usia, bukannya sesuatu yang pelik," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: