Kejadian difahamkan berlaku kira-kira jam 11.00 malam, awal minggu lalu, ketika pelajar berkenaan sedang tidur atas katil dalam blok asrama di sekolahnya.
Menurut mangsa, Ahmad Amirul Hakim Ahmad Rahidan, 17, petang sebelum kejadian, berlaku salah faham antara dia dan suspek dipercayai berpunca daripada kerosakan pada laci dalam blok asrama.
Ahmad Amirul berkata, selepas pertengkaran tersebut, dia anggap kes berkenaan berakhir di situ, namun dia terkejut apabila dia tiba-tiba dibelasah suspek ketika tidur.
"Ketika sedang tidur lena, tiba-tiba saya dikejutkan dengan tendangan yang kuat mengenai bahu dan badan.
"Muka saya kemudiannya ditutup dengan kain sebelum dibelasah di bahagian kepala dan anggota badan lain. Saya tidak dapat meminta tolong kerana muka saya ditekup oleh mereka," katanya.
Trauma kembali ke asrama
Menurut Amirul, sebaik melihat dia dipukul bertubi-tubi, seorang rakan asramanya cuba menghalang suspek daripada terus memukulnya, namun rakannya itu turut dibelasah suspek dan rakan-rakannya.
Amirul berkata, selepas dibelasah, suspek dan beberapa rakannya kemudian beredar lalu rakannya yang turut dibelasah itu memberikan bantuan dengan mengesat lukanya di bahagian mulut.
Kata Amirul, dia kemudiannya tidur dalam keadaan cedera dan masih lagi merasai kesakitan sebaik bangun dari tidur keesokan paginya.
Menurutnya, akibat kejadian itu, dia tidak pergi ke kelas dan rakannya itu cuba membantunya dengan memindahkan ke blok lain kerana bimbang akan terus menjadi mangsa belasah suspek yang juga rakan sekolejnya.
Jelas Amirul, dia tidak memaklumkan kepada pihak kolej tentang kejadian kerana bimbang akan dipukul lagi oleh suspek, sebelum meminta pertolongan seorang abang angkatnya yang tinggal tidak jauh dari asrama berkenaan, untuk mendapatkan rawatan.
Akhirnya, abang angkat Amirul menasihatkan mangsa agar pulang ke rumah datuknya di Dungun untuk menceritakan hal sebenarnya kepada ahli keluarga.
Amirul yang juga seorang anak yatim berkata, dia kemudiannya pulang dengan menaiki bas dan menceritakan kejadian itu kepada datuknya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Dungun kira-kira jam 11.00 malam, selain turut mendapatkan rawatan di Hospital Dungun atas kecederaan dialami.
“Sehingga kini saya masih trauma dengan kejadian berkenaan. Saya masih takut untuk kembali ke asrama, bimbang dipukul lagi," katanya.
Ambil tindakan sewajarnya
Sementara itu, neneknya, Dolha Mohd, 63, berkata, dia tidak menyebelahi sesiapa dalam hal ini cuma berharap agar pihak sekolah dapat mengambil tindakan kepada pelajar terlibat dan menjatuhkan hukuman sewajarnya kepada mereka terlibat.
“Saya besarkannya sejak kecil, dia sudah kematian bapa, jadi kejadian ini sedikit sebanyak pastinya menyedihkan saya.
"Saya berharap agar pesalah akan dihukum seadilnya," katanya yang tinggal di kampung Sura, Dungun.
Dalam pada itu, Pengetua Kolej Vokasional Kemaman, Mat Yusof Yeop Darus ketika diminta mengulas kes terbabit memaklumkan, pihaknya terus menjalankan siasatan sebaik mendapat laporan berkaitan kes pukul melibatkan pelajar asrama itu.
“Jika ada bukti menunjukkan pelajar berkenaan bersalah melakukan kes pukul itu, pihak sekolah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan disiplin.
“Antara hukumannya pelajar tersebut boleh disingkirkan dari asrama atau dibuang dari kolej,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: