Friday, February 22, 2013

SLAA lahirkan usawahan automotif muda


BENGKEL Azalan di Teluk Intan mempunyai peralatan secukupnya untuk melatih pelatih program SLAA sepanjang tempoh latihan.


DEMI meningkatkan peluang kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang keusahawanan automotif, kerajaan negeri Perak melalui agensinya, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) melancarkan program Skim Latihan Automotif Amanjaya (SLAA) baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi YBUDR, Khairul Azwan Harun berkata, program yang menyasarkan golongan lepasan sekolah itu diharap dapat melahirkan seramai mungkin tenaga mahir dalam bidang pembaikpulihan kenderaan.
Katanya, setakat ini sebanyak 30 pemilik bengkel kenderaan di seluruh Perak telah dipilih untuk bekerjasama dalam skim latihan yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir November tahun lalu.
“Bagaimanapun buat permulaan, setiap bengkel hanya mampu menempatkan dua hingga tiga pelatih dalam satu-satu masa sepanjang enam bulan tempoh latihan,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan Sijil Pentauliahan Pusat Kemahiran SLAA yang disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahamad Shaffie di Ipoh.
Menurut beliau, setiap pelatih yang mengikuti latihan itu akan menerima elaun bulanan sebanyak RM300 dan pengurusan bengkel terlibat komited memastikan mereka mendapat pendedahan sewajarnya.

PROGRAM SLAA memberi peluang kepada golongan muda menceburi bidang keusahawanan automotif.


Ujar beliau, kerjasama yang diberikan konglomerat terkemuka, DRB-Hicom melalui subsidiarinya, Proton, dalam melaksanakan program tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap inisiatif tersebut.
“Kerjasama YBUDR dengan DRB-Hicom ini memberi manfaat di mana para pelatih SLAA akan mendapat pentauliahan daripada syarikat terbabit.
“Pada masa sama kita berharap kerjasama itu akan memberi peluang kepada pelatih menjalankan latihan intensif di semua pusat servis Proton milik DRB-Hicom,” katanya.
Sementara itu, Shalimin berkata, skim latihan selama enam bulan itu dilihat berupaya memberi pendedahan kepada belia terus kepada latihan praktikal dalam bidang yang diminati, bukannya berdasarkan teori semata-mata.
“Pelatih akan ditempatkan secara sepenuh masa di bengkel-bengkel automotif yang telah ditentukan dan mereka akan diberi latihan kemahiran secara langsung oleh pengusaha bengkel,” katanya.
Salah seorang pemilik bengkel, Azalan Basir, 30, berkata, program tersebut merupakan platform terbaik kepada golongan muda menceburkan diri dalam bidang automotif selain menyediakan tenaga kerja mahir.

AZALAN (kiri) menunjukkan cara mencuci enjin kepada salah seorang pelatih SLAA di bengkelnya di Teluk Intan.


“Ini adalah medan terbaik untuk pelatih khasnya golongan belia menambah ilmu pengetahuan dalam bidang ini bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih berkualiti,” katanya.
Ujarnya, Azalan Workshop yang diusahakannya di Kampung Baru Ayer Hitam, Teluk Intan kini bersedia menerima kehadiran pelatih dan beliau bertekad untuk melahirkan seramai mungkin mekanik berkemahiran sepertinya.
SLAA terbuka kepada belia berusia 17 hingga 35 tahun dengan syarat minimum boleh membaca dan menulis selain tidak buta warna dan tiada kecacatan anggota badan.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai program ini boleh menghubungi Sekretariat SLAA di talian 05-255 5945 atau datang terus ke Tingkat 2, D-2-1, Greentown Square, Jalan Datuk Seri Ahmad Said, 30450 Ipoh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: