Saturday, February 2, 2013
Honda sertai pasaran motosikal crossover
BOON Siew Honda sekali lagi tampil dengan tawaran menarik. Sudah berada di semua bilik pameran Honda di seluruh negara sejak bulan lalu, peminat motosikal berkuasa tinggi kini sudah boleh melihat secara dekat model NC700X dan NC700S.
NC700X ialah sebuah Crossover yang direka khas untuk tunggangan di bandar dan off-road. Dalam erti kata lain, NC700X menawarkan prestasi lasak sebuah motosikal off-road bersama keselesaan, keselamatan dan fungsi yang boleh didapati pada motosikal jalanan.
Penunggang yang baru hendak berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa besar, mahupun mereka yang berpengalaman pasti bersetuju bahawa NC700X sememangnya menarik dan praktikal. Sifat NC700X yang mudah dikawal meningkatkan lagi keyakinan dan keseronokan ketika menunggang.
Jentera itu dipasang enjin dua silinder sebaris bersesaran 670cc dengan sistem penyejukan cecair. Ia turut digunakan pada varian NC700S. Enjin yang dibina khas itu dikatakan cukup ringan, selain mampu menawarkan penghantaran kuasa dan tork yang lancar pada rpm rendah atau sederhana.
Bagi meningkatkan lagi penjimatan minyak, enjin NC700X dilengkapi sistem pancitan bahan api PGM-FI dan analisis stoichiometric. Sistem tersebut memastikan nisbah bahan api dan udara yang tepat untuk pembakaran optimum pada semua tahap rpm enjin.
Untuk satu tangki penuh, jentera itu mampu mencapai jarak sejauh 400 kilometer (km) dengan catatan 27.9km bagi setiap liter. Enjin itu juga mengeluarkan tahap emisi rendah dan menepati piawaian EURO 3.
Menyentuh aspek transmisi pula, NC700X ditawarkan dengan pilihan kotak gear enam kelajuan manual atau dwiklac Honda generasi kedua. Kotak gear tersebut menawarkan kemudahan penukaran gear secara manual bersama pilihan fungsi automatik sepenuhnya.
Mode manual (MT) untuk kawalan gear sepenuhnya. Sementara mode automatik (AT) pula menawarkan dua tetapan iaitu S untuk tunggangan sporty dan D bagi tunggangan harian.
Prestasi brek dipertingkat menerusi aplikasi Sistem Gabungan Brek Anti Kunci (C-ABS). C-ABS menggabungkan sistem brek hadapan serta belakang untuk kuasa membrek yang lebih mantap dan selamat.
Sesuai untuk tunggangan jarak jauh, model itu menawarkan ruang simpanan yang luas. Di samping penghadang angin dan posisi tempat duduk yang selesa.
Jika berminat, NC700X boleh anda miliki pada harga RM53,988 seunit (motosikal sahaja) untuk versi Standard dan RM62,088 (varian ABS dan DCT). Empat warna menarik sedia untuk dipilih iaitu hitam, putih, perak dan merah.
"Penawaran siri NC700 yang merangkumi model NC700X, NC700S dan Integra (NC700D) mencerminkan usaha syarikat untuk memperkenalkan pelbagai kategori motosikal yang pastinya mengujakan pengguna tempatan," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Sa toshi Okada.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: