Difahamkan, anggota penguatkuasa terpaksa memecah pintu selepas bilik yang disyaki didiami pasangan berkhalwat tidak memberi sebarang respon selepas diketuk anggota Jaim, selama hampir 20 minit.
Dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, pihak Jaim terlebih dahulu meminta kunci pendua daripada pemilik premis selepas menunggu 15 minit untuk membuat pemeriksaan, namun gagal berikutan masih terkunci dari dalam.
Akibatnya, penguatkuasa Jaim terpaksa memecah masuk bilik tersebut sebelum menemui pasangan OKU berkenaan, kedua-duanya berusia 20 tahun sedang tidur atas katil.
Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut selepas pemeriksaan awal mendapati pasangan yang menggunakan bahasa isyarat itu bukan muhrim dan tiada ikatan sah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, pasangan tersebut antara 15 individu termasuk empat warga asing berusia 20 hingga 29 tahun yang ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan polis tentera.
“Serbuan yang dijalankan di dua hotel bajet berasingan di sekitar bandaraya ini membabitkan penahanan lapan lelaki dan tujuh wanita termasuk satu pasangan OKU serta warga asing.
“Ia turut merangkumi tiga lelaki dan dua wanita yang didapati berada di dalam sebuah bilik hotel terbabit,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Rahimin berkata, kesemua ditahan termasuk warga Indonesia dan Nepal itu bagi membantu siasatan selepas didapati melakukan kesalahan berkurung yang mendatangkan syak di bawah Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Sementara itu, Rahimin turut meminta orang ramai terutama remaja Islam tidak meraikan sambutan Hari Valentine esok yang telah difatwakan haram di negeri ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: