Demikian luahan Mohd Jonoh Mohd Noor, 56, seorang bekas askar yang terkena tembakan pengganas komunis ketika menjalankan operasi di Hutan Gubir bersempadan Malaysia-Thailand dan sehingga kini peluru tersebut masih kekal terbenam.
Mengimbau kembali peristiwa itu, Mohd Jonoh berkata, petang hari kejadian Februari 1982 itu, dia dan enam rakannya menerima maklumat kehadiran pengganas komunis, lalu melakukan rondaan di sekitar 200 meter dari pos kawalan.
“Dalam perjalanan kembali ke khemah, tiba-tiba kami diserang hendap sekumpulan pengganas komunis dan selepas 10 minit berbalas tembakan, saya terkena dua das tembakan iaitu di dada dan paha kiri. Pengganas komunis tersebut melarikan diri.
“Saya mulanya tidak menyedari terkena tembakan kerana tidak terasa sakit. Namun, apabila dada terasa sejuk serta kaki mulai kebas, saya mula sedar yang saya terkena tembakan apatah lagi darah mula mengalir.
“Semalaman saya berada di hutan dan esoknya bantuan diterima. Saya dibawa keluar dari kawasan operasi tersebut menggunakan helikopter, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan. Hampir tiga minggu saya berada di hospital berkenaan.
“Peluru yang terkena di dada tersusuk pada tulang tengah dada dan jika dikeluarkan bimbang risiko lain berlaku. Selain tulang lambat bercantum, pembedahan juga boleh sebabkan pelbagai kesulitan lain termasuk lumpuh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.
Bersyukur masih selamat
Tambah datuk tiga cucu ini, akibat kejadian itu juga, bawah tulang rusuk sebelah kirinya terpaksa ditebuk bagi membolehkan darah dari bahagian paru-paru dikeluarkan dan walaupun di dadanya masih tertanam peluru, namun dia bersyukur kerana pulih serta selamat sehingga kini.
“Umur saya masih panjang. Saya juga bernasib baik kerana tembakan terkena di bahagian paha hanya serpihan peluru pengganas komunis dan tidak mengakibatkan kecederaan serius seperti di dada. Ketika itu, saya baru dua tahun berkhidmat sebagai tentera.
“Selepas genap 10 tahun bergelar anggota tentera, saya mengambil keputusan berhenti dan kini bekerja di sebuah syarikat pembalakan. Walaupun tidak lagi berkhidmat, segala kenangan masih tersemat rapi dalam kenangan.
“Kesihatan saya tidak terjejas walaupun peluru itu masih tertanam di dalam dada, cuma kadang kala saya cepat letih dan berkemungkinan juga ia disebabkan faktor peningkatan usia. Selepas keluar hospital, saya tidak lagi terfikir untuk keluarkan peluru ini.
“Saya berbangga kerana peluru berada di dalam dada. Sekurang-kurangnya ini membuktikan saya cintakan tanah air serta sanggup berkorban demi mempertahankan negara. Apatah lagi tidak semua tentera berpeluang bertempur dengan pengganas komunis,” ujarnya.
Di sebalik rasa kecintaan itu, Jonoh turut melahirkan rasa terkilan kerana berasa pengorbanan askar sepertinya yang berjuang mempertahankan negara kurang diberi perhatian oleh pihak berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: