mentarang
Sebahagian penduduk yang selesai memungut mentarang selepas mendapati air pasang mula membanjiri laut.
mentarang
Mentarang yang diperolehi oleh seorang pemungut.
mentarang
Rohani Mat (kiri), menimbang mentarang yang diperolehi oleh pemungut mentarang di persisiran pantai berdekatan.
mentarang
Dua pelancong luar negara dari Switzerland ini juga tertarik dan menanyakan sesuatu kepada pemungut mentarang.
KUALA PERLIS - Lebih 100 nelayan menyerbu kawasan pantai di Sungai Belati Simpang Empat sehingga ke Kuala Perlis dekat sini, disebabkan kemunculan sejenis siput yang dikenali sebagai mentarang yang jarang ditemui sebesar lima inci dan lebar hampir tiga inci sejak hampir seminggu yang lalu.

Habitat mentarang yang gemar di kawasan berselut atau berlumpur menjadikan pesisir pantai berkenaan seolah-olah menjadi tapak pesta oleh si pencari siput  berkenaan apabila musimnya yang tidak menentu tiba.

Difahamkan, pencari dan peraih mentarang kini mampu meraih pendapatan sehari mencecah RM300 hingga RM400 sepanjang musim mentarang menjadi.


Hasil pendapatan meningkat

Peraih mentarang, Rohani Mat, 45, berkata, apabila tiba musim mentarang dia memungut hasil berkenaan daripada pengutip siput sebanyak 80 kilogram sehari untuk dijual kepada orang ramai.

“Mentarang itu akan dijual RM10 sekilo, manakala ditolak kepada pemungut siput RM6 dan komisen saya terima hanya RM4 sekilo mengikut berat dan saiz berbeza.

“Jadi maknanya saya memperoleh pendapatan bersih hampir RM400 sehari dan mampu memperoleh hasil lumayan ketika munculnya mentarang yang sebesar itu,” katanya ketika ditemui Sinar harian.

Namun, katanya, jika ramai yang menjualnya, harga siput itu akan lebih murah dan orang ramai mampu membelinya dengan harga RM7 sekilo tetapi dia menjualnya berdasarkan saiz dan berat siput berkenaan.
Rohani berkata, dia tidak menjangka mentarang itu muncul ketika musim cuti Tahun Baru Cina kerana sebelum ini apabila tiba musim cuti pendapatannya tidak menentu malah, sehari dia hanya memperoleh RM50.
Menurutnya, biasa dia menjual pelbagai jenis ikan seperti ikan belanak, belangkas, sembilang dan sebagainya, namun dia bersyukur kerana rezeki itu mungkin untuk mereka yang hanya mencari pendapatan hasil laut di kawasan sini.
“Mentarang antara makanan laut yang digemari ramai kerana mempunyai rasa manis berbanding haiwan kerangan laut yang lain.

“Ia adalah tarikan di Kuala Perlis dan pengunjung boleh makan mentarang yang segar serta baru naik dari laut, di samping harga murah dan rasa yang enak apabila direbus atau dibakar,” katanya.


Buat santapan keluarga

Sementara itu, seorang pencari mentarang, Mahmud Dahaman, 60, berkata, dia mengetahui kemunculan siput itu daripada seorang teman yang gemar kepada makanan laut namun dia tidak menjual kepada orang lain tetapi hanya santapan untuk
keluarganya sahaja.

“Seronok bila dapat siput banyak. Saya tidak menjualnya kepada orang ramai dan hanya bawa pulang untuk dimasak dan dimakan bersama keluarga.

“Kebiasaannya siput mentarang sedap dimakan apabila dimasak bersama sayur ataupun direbus dan dicicah dengan air asam walau bagaimanapun, pelbagai cara boleh dimasak mengikut selera penggemarnya. Ada segelintir orang ramai suka mentarang yang dibakar atau direbus untuk dimakan bersama sos cili,” katanya.

Mahmud berkata, sebelum ini dia hanya membeli mentarang, tetapi apabila mula mencari sendiri ia menimbulkan minat mendalam untuk terus mencari siput itu setiap hari apabila tiba musimnya.

“Seorang rakan saya memperoleh siput yang besar-besar tetapi saya hanya memperoleh yang kecil saja hari ini kerana saya tidak berpengalaman untuk menggunakan teknik betul ketika proses mencari,” katanya.


Proses mencari mentarang

Manakala, Yaakob Din, 62, dari Sungai Bugis berkata, ketika proses mencari mentarang tangan perlu dimasukkan ke dalam selut sedalam lebih setengah meter.

“Dengan menggunakan teknik yang betul, ia mudah diperoleh. Kadang-kadang saya berjaya memungut sehingga 50 kilogram sehari dengan hanya memulakan kerja dari jam 7 pagi hingga 11 pagi selama lima hari sejak timbulnya musim mentarang jenis besar di sini.

“Saya memang pengutip siput tetap tetapi tidak pernah menemui mentarang sebesar ini malah, sudah dua tahun ia tidak muncul dengan saiz yang luar biasa,” katanya.

Tambahnya, pengutip siput perlu mengetahui di mana lokasi adanya haiwan itu di dalam selut supaya tidak membuang masa ketika proses mendapatkan mentarang.

“Untuk tahu lokasi mentarang, ia boleh dikesan melalui lubang udara yang memancutkan air secara selang seli dan air berkenaan bergenang di permukaan lumpur.

“Mencari siput ini tidaklah terlalu mudah kerana jika teknik salah, ia akan mencederakan tangan kerana duri kulitnya amat mudah terkena tangan dan berbisa,” katanya.

Dalam pada itu, Rohani Shaari, 50, semalam merupakan hari kedua dia mencari mentarang di kawasan berlumpur di Sungai Belati, di sini.

“Mentarang sudah lama tidak ada, apabila musim sebegini, ia jadi seronok kerana boleh memperoleh sebanyak 12 kilo sehari ,” katanya yang tidak menggunakan tangan ketika mencari mentarang dan lebih gemar menggunakan pendayung sampan.

Menurutnya, kayu memudahkan proses mencari mentarang selain memerlukan kesabaran disebabkan terpaksa menunggu lama untuk memperoleh siput terbabit.

“Kalau nak dapat seekor pun susah, tetapi kalau musim mentarang macam sekarang  mudah sikit nak dapat dan tidak perlu tunggu lama ” katanya.