|
PERSEMBAHAN pembukaan oleh sekumpulan ikan-ikan kecil berwarna-warni yang berenang mesra di sekeliling panel kaca dalam sebuah laluan terowong seolah-olah mengucapkan selamat datang kepada pengunjung.
Gelagat ikan-ikan tersebut yang begitu jinak apabila tangan dilekapkan ke cermin panel membuatkan Yan Chung Haykay, 36, dari Hong Kong hampir terlupa bahawa dia baru sahaja memulakan pengembaraan di akuarium lautan terbesar di dunia, S.E.A Aquarium.
“Saya amat teruja sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam akuarium ini, walaupun pada mulanya terasa sedikit gusar kerana suasana pencahayaan yang sedikit samar.
“Perasaan ingin tahu terus membawa kaki saya melangkah masuk ke dalam akuarium ini untuk melihat lebih banyak lagi koleksi marin yang ada di sini,” katanya.
S.E.A Aquarium merupakan tarikan terbaharu di Resorts World Sentosa (RWS), Singapura selepas taman tema Universal Studio Singapura (USS).
Tarikan berkenaan merupakan salah satu segmen yang terdapat pada Marine Life Park yang mula dibuka kepada umum sejak November tahun lepas.
Sebanyak lebih 45 juta liter kapasiti air digunakan bagi mencipta habitat tiruan bagi lebih 100,000 hidupan marin daripada 800 spesies berbeza.
Di situ, pengunjung akan melalui sebanyak 10 zon berbeza mengikut pembahagian lautan terkenal dunia.
Antara zon berkenaan ialah Laut Jawa, Laut Andaman, Teluk Bengal, Laut China Selatan dan Laut Terbuka.
Chung Haykay berkata, kehidupan marin yang dipamerkan juga diasingkan mengikut kategori tersendiri seperti ikan batu karang, obor-obor, belut dan paya bakau bagi memudahkan pengunjung mempelajarinya.
Terdapat juga beberapa hidupan hampir pupus dan sukar dijumpai seperti ketam labah-labah gergasi menanti pengunjung yang hadir.
Ujarnya, terdapat banyak batu karang tinggi berwarna-warni menjadi taman permainan yang indah kepada ikan dipamerkan.
Bukan sekadar melihat ikan-ikan, pengunjung juga berpeluang mempelajari dengan lebih lanjut latar belakang asas kehidupan marin yang ada melalui panel sesentuh khas yang disediakan.
Menurut Kurator Kanan Marine Life Park, Grant Willis, S.E.A Aquarium juga merupakan pusat pembelajaran, konservasi dan kajian hidupan marin yang mudah difahami oleh pengunjung.
“Kami memberikan peluang kepada pengunjung terutamanya peserta lawatan sekolah untuk berinteraksi secara langsung dengan hidupan marin,” katanya.
Jelasnya, tarikan utama di akuarium berkenaan ialah habitat Laut Terbuka yang pasti membuatkan pengunjung merasai seperti berjalan-jalan di dasar lautan yang dikelilingi oleh ikan pelbagai saiz.
Ujar Willis, pengunjung berpeluang melihat ikan berenang menerusi panel pemerhati terbesar di dunia yang berukuran 36 meter panjang dan 8.3 meter tinggi dengan ketebalan 70 sentimeter.
“Pengunjung pasti akan terpegun melihat beberapa ikan pari majestic manta yang seolah-olah terbang di sekeliling panel ini,” ujarnya.
Pengunjung yang bertuah turut dapat melihat beberapa petugas menyelam skuba sambil memberikan ikan-ikan besar makan pada masa yang ditetapkan.
“Bagi ikan-ikan bersaiz kecil, kebiasaannya makanan akan diselerakkan, manakala ikan-ikan besar pula akan disuap oleh petugas bagi memastikan setiap satunya mendapat makanan yang mencukupi,” jelasnya.
Ujarnya, beberapa petugas juga sentiasa berada di hadapan panel untuk menjadi rujukan kepada pengunjung yang ingin mendapatkan informasi.
Acara khas
Di hadapan panel kaca itu juga, pihak yang berminat untuk menganjurkan jamuan makan atau majlis khas boleh menghubungi pihak S.E.A Aquarium. Terdapat tiga aras yang boleh memuatkan kira-kira 300 orang disediakan untuk tempahan eksklusif.
|
|
Sementara itu, pengembaraan pengunjung di pusat tersebut pasti disudahi dengan kepuasan apabila melalui zon terakhir iaitu Laut Jerung.
Lebih 200 ekor jerung daripada 12 spesies berenang di atas terowong panel yang menghubungkan pintu keluar akuarium tersebut.
Sebaik sahaja melangkah keluar daripada akuarium berkenaan, pengunjung berpeluang membeli cenderamata pada harga yang bepatutan. Banyak pilihan barangan boleh dibawa pulang sebagai tanda kenangan berjaya menjejakkan kaki ke pusat pembelajaran terbaik itu.
Sementara itu, bagi pengunjung yang menggemari aktiviti air yang mencabar, boleh menguji debaran adrenalin di Adventure Cove Waterpark.
Adventure Cove Waterpark merupakan tarikan kedua di Marine Life Park yang menawarkan keseronokan bermain air dengan pelbagai pilihan gelongsor yang disediakan.
Pengunjung dari Indonesia, Muhhamad Husin, 25, berkata, kesemua tarikan yang ada di taman tema itu sangat mengujakan untuk sesi riadah bersama keluarga.
“Permainannya amat sesuai untuk semua golongan pengunjung yang masuk,” katanya.
Sungai buatan
Terdapat 14 kawasan permainan yang berlainan tema disediakan seperti kolam ombak Bluwater Bay, Adventure River, Spiral Washout, Big Bucket Treehouse dan Riptide Rocket yang merupakan gelongsor hidro magnetik pertama di Asia Tenggara.
Pengunjung juga berpeluang merehatkan badan sambil menyusuri sungai buatan sepanjang 620 meter dengan menggunakan pelampung khas.
Aspek keselamatan amat dipentingkan kerana pengunjung perlu mengikut semua peraturan yang ditetapkan sebelum bermain gelongsor yang disediakan. Terdapat ramai petugas yang bersedia menghulur bantuan di setiap kolam.
Selain itu, terdapat juga beberapa kerusi rehat berpayung dan pondok-pondok disediakan bagi mewujudkan suasana seperti berada di percutian mewah.
Bagi yang ingin memanjakan diri, terdapat juga perkhidmatan spa ditawarkan di Adventure Cove Waterpark, malah mereka juga boleh ke kolam jakuzi serta kolam air panas yang disediakan.
Ujar Muhhamad, pengunjung yang masuk ke taman tema berkenaan jangan lupa ke Rainbow Reef yang merupakan antara tarikan utama di Adventure Cove Waterpark.
“Paling mengujakan ialah pengalaman melakukan aktiviti snorkeling dalam zon yang dihuni 20,000 ekor ikan jinak. Terumbu karang yang cantik juga menanti di Rainbow Reef,” katanya.
Semua pengunjung akan diberikan taklimat khas oleh penyelam profesional sebelum memulakan aktiviti snor keling.
Harga tiket masuk yang dikenakan kepada pengunjung ialah S$29 (RM73) untuk dewasa dan S$20 (RM50) untuk kanak-kanak bagi Adventure Cove Park atau S.E.A. Aquarium.
Marine Life Park dibuka kepada umum setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: