Saturday, February 2, 2013

Sisi berbeza di negara dua benua


PENULIS (dua dari kiri) bergambar bersama para rombongan ketika menyertai lawatan ke Istanbul baru-baru ini.


MUNGKIN ramai di antara kita yang pernah membaca dan mengetahui tentang Turki, terutamanya kisah Istanbul, malah tidak kurang juga, yang pernah menjejakkan kaki ke sana.
Lazimnya, apabila bercerita mengenai Turki, ia sering dikaitkan dengan keindahan Masjid Biru, Muzium Aya Sofya, Grand Bazar dan Taksim. Tidak ketinggalan, kisah bandar pentadbirannya, Ankara yang terletak di tengah-tengah Turki.
Bagaimanapun, kunjungan saya ke Turki bersama teman-teman media lain atas tajaan syarikat Jamu Mak Dara di bawah pakej Plus & Plus Travel & Tours baru-baru ini memberi gambaran berbeza mengenai Turki.
Umumnya, negara Islam sekular itu indah dengan rakyatnya yang hidup dalam pertembungan budaya dan benua Asia serta Eropah sekali gus menjadikan ia unik.
Saya mencadangkan anda menetap lebih lama di Istanbul bagi meneroka sisi kota yang didiami lebih 13.4 juta penduduk itu dengan lebih dekat.
Jika mempunyai masa, anda bolehlah melawat bandar-bandar lain seperti Bursa, Kusadasi, Begama dan Cannakale yang memakan masa tiga hingga 15 jam perjalanan dengan menaiki bas.
Berbeza dengan Istanbul yang terkenal dengan sejarah kegemilangan empayar Uthmaniyyah, kunjungan ke bandar-bandar berkenaan membolehkan anda melihat kota-kota lama peninggalan empayar Acropolis, Troy, Asclepion dan Ephesus.
Ya, ia sesuatu yang agak menarik untuk diteroka sekiranya anda seorang yang suka mengembara dan meminati sejarah.
Namun, jika sebaliknya, nasihat saya, berbincanglah dengan ejen pelancongan agar mengatur lawatan ke destinasi-destinasi lain di Turki.
Tip membeli-belah
Jika anda seorang peminat produk kulit, Turki adalah tempatnya. Terdapat banyak butik khas di negara itu yang menjual pelbagai produk kulit bermutu tinggi.
Harganya agak berpatutan bergantung kepada jenamanya. Misalnya, sehelai jaket kulit berkualiti tinggi dijual sekitar harga RM3,000 dan sekiranya ia berjenama, harganya melonjak sehingga lima kali ganda.
Bagaimanapun, jangan terburu-buru membelinya. Lazimnya, selepas lawatan ke butik-butik berkenaan, ejen pelancongan akan membawa pelancong ke Grand Bazar, pasar tertua dan terbesar di Istanbul.
Terdapat lebih 4,000 kedai yang menjual aneka barangan bermula dari pakaian, makanan, kraf tangan dan sebagainya. Ia menawarkan produk yang sama pada harga yang jauh lebih rendah.

KOTA Istanbul sentiasa menggamit para pelancong dari seluruh dunia.


Sepanjang berada di Grand Bazar, sesiapa sahaja pasti rambang mata. Bagaimanapun, dinasihatkan anda perlu pandai memilih dan sentiasa tawar-menawar semasa membeli.
Selain peniaga di dalam bazar, terdapat juga peniaga haram di bahagian luar yang menjual dengan harga yang jauh lebih murah. Sehelai kemeja T yang tertera tulisan 'I Love Istanbul' dijual pada harga RM15 di dalam bazar, namun hanya RM7 di luar bazar. Semua itu bergantung pada cita rasa masing-masing.
Bagaimanapun, terdapat beberapa barangan yang hanya boleh dibeli di dalam bazar ini seperti lampu gantung Turki. Ia merupakan cenderamata yang wajib dibeli.
Harganya tidaklah terlalu mahal, sekitar RM100 sebuah, namun ia berbaloi dengan reka bentuknya yang cantik dan berseni.
Sekiranya berhajat untuk membeli manisan Turki, bolehlah berkunjung ke Pasar Rempah di kawasan Sultanehmet.
Sebut apa sahaja jenis rempah yang diingini, semuanya tersedia. Pasar itu juga popular dengan aneka kacang seperti walnut, pistasio, badam dan banyak lagi yang sukar ditemui di Malaysia.
Sekiranya mahu berjimat, kunjungi bahagian luar Pasar Rempah menuju ke kawasan dataran berhadapan Masjid Yeni di Eminonu. Terdapat ramai peniaga yang menjual aneka barangan seperti buah tin, pistasio dan kacang badam pada harga lelong.
Teh Turki
Kunjungan ke Turki tidak lengkap jika tidak menikmati teh Turki yang sangat terkenal di seluruh dunia.
Anda boleh menikmati aroma dan rasa teh sambil duduk di atas kerusi kecil di hadapan kedai. Cukup menyenangkan, lebih-lebih lagi sambil menjamu mata melihat pelbagai ragam manusia dan panorama di sekitarnya.
Harga secawan teh sekitar RM2.20. Ia dihidangkan dalam gelas kecil seperti juga teh Cina yang popular di Malaysia. Cara terbaik untuk menikmatinya ialah dengan menghirup sedikit demi sedikit.
Terdapat juga kafe-kafe jalanan yang menjualnya pada harga yang lebih tinggi sekitar RM4, namun cawannya lebih besar. Jika tidak bernasib baik, anda mungkin terpaksa membayar lebih kerana lazimnya caj yang dikenakan terhadap pelancong lebih tinggi berbanding penduduk tempatan.
Saya sendiri menjadi mangsa. Enam gelas teh O dikenakan caj sekitar RM40, jauh lebih tinggi daripada harga asalnya. Air suam, air panas atau ais kosong juga tidak terkecuali iaitu RM1 segelas. Insiden menaikkan harga itu sememangnya menduga kesabaran.
Bersolat di masjid
Sebagai sebuah negara pernah melakar kegemilangannya ketika pemerintahan empayar Islam suatu ketika dahulu, masjid bukanlah sesuatu yang asing di Turki.
Ia boleh dilihat di mana-mana sahaja dan kebanyakannya mempunyai reka bentuk yang hampir sama sehingga sukar untuk dibezakan. Di Istanbul sahaja terdapat hampir 3,000 masjid termasuk yang didirikan berdekatan antara satu sama lain.
Jika berkesempatan, ambil masa untuk bersolat di Masjid Biru atau juga dikenali sebagai Sultanahmet Cami, terletak di atas bukit di Sultanehmet.
Masjid yang dibina sekitar tahun 1609 hingga 1616, semasa pemerintahan Sultan Ahmet 1 itu sememangnya sangat indah dengan mozek Iznik kebiru-biruan yang dipasang di atas dinding dan siling masjid.

SELAIN terdapat deretan kafe, Jambatan Galata juga terkenal dalam kalangan kaki-kaki pancing.


Masjid ini direka oleh arkitek termasyhur Turki, Mehmet Aga. Ia agak unik kerana mempunyai enam menara berbanding kebanyakan masjid yang hanya mempunyai empat, dua ataupun satu menara.
Tempat wuduk untuk lelaki terletak di bahagian luar masjid dan lengkap dengan bangku yang diperbuat batu marmar. Tidak ada selipar disediakan, oleh itu para jemaah terpaksa menanggalkan kasut dan kemudian memakai semula kasut untuk ke masjid.
Pesta memancing
Jambatan Galata terletak di depan Masjid Yeni dan merentangi Selat Bosphorus mempunyai tarikan tersendiri. Selain menyediakan restoran makanan laut yang popular, ia juga menjadi tumpuan kaki-kaki pancing.
Saya dan para rombongan sempat melihat secara dekat aktiviti yang dilakukan. Ikan yang terdapat di situ dari spesies sardin, makerel dan trout.
Para pemancing terdiri daripada golongan muda dan tua yang menghabiskan masa berjam-jam untuk menaikkan ikan dengan menggunakan umpan sotong, ikan dan udang.
Walaupun Selat Bosphorus sibuk dengan laluan kapal dan feri, ia sedikitpun tidak mengganggu tumpuan para pemancing di situ.
Seterusnya, jika mahu menikmati makanan laut segar, bolehlah singgah sebentar di bawah bahagian jambatan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: