Wednesday, February 13, 2013

Jaga hutan tanggungjawab bersama

MENJAGA hutan merupakan tanggungjawab setiap individu yang sayangkan alam sekitar.


STEVEN LIM BOON HOCK, 50, yang merupakan Pengurus Projek Lapangan Pengurusan Dan Ekologi Gajah-Gajah Malaysia (MEME) faham benar mengenai keperluan menjaga dan mengawal hutan.
"Hutan Malaysia terutamanya Belum-Temengor terlalu luas dan tidak mungkin pihak berkuasa dapat memantau sepenuhnya secara sendirian.
"Dengan kakitangan yang tidak ramai, kita sebagai rakyat Malaysia harus bekerjasama membantu dalam memelihara hutan Malaysia," terangnya bersungguh-sungguh ketika ditemui di Jeli, Kelantan.
Destinasi pelancongan
Tambahnya, pemeliharaan hutan bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan habitat hidupan liar, tetapi boleh menjadi eko pelancongan kepada orang ramai.
Tempat-tempat seperti Sira Gajah sering dikunjungi para pelancongan bagi melihat keunikan dan perubahan permukaan tanah yang ditinggalkan oleh gajah.
Bagi haiwan pula seperti burung enggang, ia memerlukan kawasan hutan yang tidak pernah ditebang untuk hidup, malah sistem operasi membalak yang terbaik juga mampu memberi kesan terhadap enggang.

TASIK Temengor juga menjadi kawasan yang diminati kaki-kaki pancing.


Ia berlaku disebabkan sistem pembalakan terbaik hanya menebang pokok yang paling tua dan besar. Namun, pada masa yang sama enggang memerlukan pokok-pokok besar itu untuk dijadikan sarang.
Selain pemburuan haram, faktor lain yang menjadi ancaman kepada hidupan liar adalah kegiatan pembalakan dan pembukaan tanah sama ada untuk pertanian mahupun pembangunan, ia menjurus ke arah berlaku konflik manusia serta haiwan.
Kata Steven, Gerik merupakan antara kawasan yang paling kerap mengalami konflik. Terdapat beberapa kawasan di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat mempunyai papan tanda memberitahu laluan gajah melintas.
Traffic Southeast Asia telah bekerjasama dengan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dalam memantau perdagangan hidupan liar dan pemburuan haram sejak tahun 2008.
Kata pegawai senior program Traffic, Kanitha Krishnasamy, 32, pada tahun 2010, kedua-dua pihak memulakan kerjasama dengan beberapa agensi membentuk pasukan penguat kuasa multi agensi.
"Pasukan petugas itu disahkan oleh Badan Keselamatan Negeri pada bulan Ogos tahun yang sama dan dipengerusi oleh pegawai daerah," ujar Kanitha dalam e-mel yang dihantar kepada Kosmo!
Antara ahli dalam pasukan penguat kuasa itu ialah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Polis, Polis Marin, Kastam, Unit Antipenyeludupan, Imigresen dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia.

SISTEM operasi pembalakan terbaik juga sebenarnya memberi kesan pada hidupan liar seperti enggang dalam meneruskan kelangsungan hidup.


Sumbangan Body Shop
Sebenarnya, pemeliharaan alam sekitar bukan sahaja menjadi tanggungjawab badan-badan yang secara langsung memelihara hutan, tetapi syarikat-syarikat korporat juga boleh memainkan peranan penting.
Body Shop merupakan antara badan yang menyumbang RM400,000 kepada badan-badan bukan kerajaan seperti Traffic dan Persatuan Pencinta Alam Sekitar.
"Dana tersebut bertujuan membiayai aktiviti-aktiviti melibatkan alam sekitar seperti projek sukarelawan Traffic," kata Pengurus Pemasaran Body Shop, Daryl Foong Chuen Hoe, 26.
Lauri Hedges, 24, dari Oxford, England telah dua tahun menjalankan penyelidikan sejak dua tahun lalu dan kini berada di Malaysia dijangka sehingga Oktober 2013.
Setakat ini, lelaki yang mempunyai kelulusan dalam bidang Zoologi dari Universiti Cardiff itu sudah ke hutan Bintang Hijau, Tasik Kenyir dan hutan Temengor.
"Amat sedih apabila melihat beberapa kawasan hutan berada dalam keadaan terancam, tetapi masih lagi ada hutan yang kaya dengan flora dan fauna," ujarnya ringkas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: