Wednesday, February 13, 2013

Pantau aktiviti pemburu haram

KAWASAN ini yang dipanggil Sira Tersau pernah menjadi kawasan mudah pihak pemburu haram memburu hidupan liar seperti gajah dan rusa.


TEPAT pukul 7 pagi, Steven Lim Boon Hock sudahpun bersiap sedia di bandar Gerik, Perak. Dia memakai baju T, seluar jean dengan hujungnya dimasukkan ke dalam stoking yang panjang dan bertopi.
Selain Steven, dua lagi individu sukarelawan MyRimba, Lauri Hedges, 24, dan pengurus pemasaran Body Shop, Daryl Foong Chuen Hoe, 26, bersama dengan dua orang pemandu arah berketurunan Orang Asli turut menyertai Steven.
Mereka merupakan sukarelawan Traffic Southeast Asia (Traffic) yang bertugas mengesan sebarang aktiviti pemburuan haram di dalam hutan Belum-Temengor.
Pada hari itu, penulis berpeluang bersama mereka meredah laluan yang sebelum ini pernah berlaku insiden penduduk tempatan diserang seladang.
Dalam kejadian pada 1 September 2012 itu salah seorang ahli kumpulan seramai tiga orang terbunuh kerana diserang seladang.
Kira-kira pukul 9 pagi, pasukan Steven sudahpun berada di tepi lorong yang dilalui selepas perjalanan lebih 30 minit dari bandar Gerik.
Jelajah dimulakan dengan melalui kawasan tepi yang ditumbuhi rumput gajah berkeluasan lingkungan beberapa meter persegi sebelum memasuki kawasan hutan Belum.
Landskap Belum-Temengor dipisahkan oleh Jalan Raya Timur-Barat (JRTB). Di sebelah kiri ialah Hutan Belum, manakala Temengor di bahagian kanan, jika datang dari arah Gerik.
Bagaimanapun, trek yang dilalui mereka belum lagi memasuki zon Taman Royal Belum. Perjalanan ulang alik sejauh empat kilometer itu masih lagi dalam lingkungan tanah kerajaan.
Tugas Steven sepanjang perjalanan ialah merekod setiap bekas yang ditinggalkan haiwan liar sama ada najis atau tapak kaki dengan menanda kedudukan menggunakan alat Sistem Kedudukan Global (GPS) untuk mendapatkan data yang kukuh selain merakam foto.
Secara tidak langsung penemuan itu menunjukkan kawasan hutan tersebut pernah dan masih lagi menjadi laluan hidupan liar.
Mereka turut mengenal pasti setiap tanda yang ditinggalkan oleh orang awam yang berkemungkinan pemburu haram seperti sampah makanan.
Selepas berjalan lebih kurang sejam setengah, tapak-tapak kaki haiwan mula kelihatan dan kadar kekerapannya semakin banyak. Antara yang ditemui ialah bekas tapak kaki harimau, seladang, beruang madu, tenggiling dan kijang.

STEVEN (kanan) menunjukkan batang pokok yang ditoreh oleh pemburu haram sebagai teknik komunikasi sesama mereka.


Ada tapak yang masih baharu dan juga yang sudah lama. Amat mengejutkan, sedang semua orang berasa lelah berjalan, Steven terlihat sesuatu yang berwarna biru.
Sungguh janggal apabila terlihat serpihan barang bukan organik berada di dalam hutan. Ia merupakan serpihan cover set motosikal.
"Ini menunjukkan kenderaan pernah masuk ke dalam kawasan hutan," terang Steven.
Tanda penghuni hutan
Kesan tinggalan haiwan yang paling menarik dijumpai ialah sebuah lubang pada pangkal sebatang pokok. Menurut Steven, ia ditinggalkan oleh beruang madu.
"Pangkal pokok ini merupakan bekas sarang semut. Beruang madu telah menggali untuk mendapatkan semut-semut sebagai makanan," ujar Steven sambil memegang sarang semut yang kelihatan seperti gumpalan tanah liat tetapi berongga.
Ketika berhenti berehat untuk makan tengah hari di suatu kawasan yang agak lapang, Steven menemui sebatang pokok yang ditoreh dengan empat lambang agak pelik.
Kata Steven, lambang tersebut ditinggalkan pemburu sebagai komunikasi sesama mereka bagi memberitahu jarak ke tapak perkhemahan berdekatan.
Sememangnya, jalan masuk ke dalam hutan Belum-Temengor sangat banyak dan mudah. Jarak JRTB dari sempadan Kelantan ke Perak sejauh 124 kilometer dengan lebih 100 jalan tikus telah dikenal pasti sekali gus memudahkan akses ke hutan.
Tasik Temengor yang dibina untuk tujuan empangan hidro elektrik bagi kemudahan penduduk di pedalaman pada tahun 1974 turut menyediakan jalan senang untuk pemburu haram, ujar pegawai senior program Traffic, Kanitha Krishnasamy, 32.
Dengan menaiki bot berenjin diesel kira-kira sejam, pengunjung akan dibawa ke sebuah kawasan yang dipanggil Sira Tersau. Ia menjadi tempat gajah liar menikmati mineral galian dan air panas.
Pada sebatang pokok yang menghadap kawasan tersebut tertanam paku-paku berukuran empat sentimeter dari paras lutut sehingga ke atas.
Menurut Steven, paku tersebut pernah digunakan oleh pemburu untuk dijadikan tangga dengan meletakkan kayu, manakala pada bahagian atas dipasang pelantar sebagai tempat menunggu kedatangan gajah.

HUTAN Belum-Temengor mempunyai pelbagai hidupan liar termasuk gajah liar ini yang ditemui di tepi JRTB.


Tasik Temengor berkeluasan 15,200 hektar boleh menjadi akses mudah ke Belum-Temengor dengan hanya menaiki bot dari Jeti Awam Pulau Banding.
"Kerana itu aktiviti sukarelawan penting untuk mengesan kehadiran orang ramai terutamanya pemburu haram.
"Ia akan mengehadkan aktiviti pemburu haram yang menyasarkan haiwan-haiwan di hutan Belum-Temengor ini," terang Steven ketika berehat selepas aktiviti meredah hutan tamat di Jeli, Kelantan.
Semakin jarang
Steven membuat kesimpulan, sungguhpun terdapat bukti-bukti berlaku pemburuan haram, tetapi ia sudah lama sekali gus menunjukkan aktiviti tersebut jarang berlaku lagi.
Selain itu, sepanjang perjalanan yang dilalui oleh pasukan Steven, mereka tidak menemui walaupun sebatang sungai kecuali sebatang anak sungai yang kecil.
Projek sukarelawan itu direka dengan mengikuti jalan balak dan juga laluan yang digunakan oleh penduduk tempatan untuk mengutip hasil hutan.
Kanitha pula memberitahu, perjalanan di dalam hutan itu biasanya mengambil masa antara tiga hingga lima hari pada hujung minggu dan peserta dinasihat supaya membawa kamera, binokular serta boleh menggunakan GPS.
"Jika para sukarelawan terjumpa jerat atau perangkap, Traffic akan membantu dalam membuat laporan kepada pihak berkuasa," katanya lagi.
Traffic telah bekerjasama dengan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dalam memberi fokus memantau perdagangan hidupan liar dan pemburuan haram.
Sejak itu, melalui data yang didapati oleh badan berkenaan, sekurang-kurangnya 400 hidupan liar telah diburu dan didagang termasuk harimau, tenggiling, beruang, burung, rusa dan seladang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: