Wednesday, February 13, 2013
Jaguh catur dari setinggan Uganda
DUDUK di dalam sebuah bilik yang hanya bercahaya malap, seorang remaja perempuan, Phiona Mutesi merenung tajam papan catur di hadapannya. Dia sedang mengatur langkah seterusnya yang semakin sukar.
"Catur telah mengubah hidup saya," kata Mutesi, sambil mengalih cermin mata berbingkai tebal yang bertenggek di atas hidungnya.
Mutesi ditemui bersama remaja dan kanak-kanak lain di sebuah pusat komuniti di kawasan pinggir bandar Kampala, Uganda.
"Sebelum ini, saya tidak pernah mempunyai apa-apa harapan. Tetapi sekarang, saya mempunyai harapan. Saya boleh menjadi doktor atau seorang grandmaster," ujarnya merujuk kepada gelaran tertinggi dalam dunia catur antarabangsa.
Terpaksa hidup dalam kesusahan selepas bapanya meninggal dunia ketika dia masih kecil, Mutesi yang membesar di jalanan kini membawa nama Kampala ke kejohanan antarabangsa dari Sudan ke Siberia.
Hanya berusia 16 tahun, dia adalah remaja Uganda pertama yang mencapai tahap calon master dan juara bertahan di bawah usia 20 tahun di negara itu. Kini, studio filem Disney telah menawarkan pilihan untuk menghidupkan kisahnya ke dalam sebuah filem.
Di sebalik kejayaan itu, Mutesi mengakui bahawa dia tidak pernah terfikir untuk bermain catur sebelum ini.
Pada usia sembilan tahun, Mutesi mengikut abangnya ke sebuah kelab catur, bukan untuk bermain catur itu tetapi untuk mendapatkan secawan bubur percuma yang ditawarkan di situ.
Tertarik hati
"Kemudian saya bertanya kepada diri saya sendiri, 'apakah ini permainan catur?' dan saya mula bermain," katanya.
Dalam masa terdekat, bakat Mutesi mula bersinar dan dia mula mengalahkan semua pemain lain, termasuk peserta lelaki dan perempuan yang lebih tua daripadanya. Semakin dia mempamer kehebatan bermain, secara berterusan bagi pasukan belia Uganda, dia mendapat peluang bersaing dalam kejohanan catur paling berprestij, Olympiad.
"Saya tidak pernah menjangka untuk berada di mana saya sekarang ini," kata Mutesi.
Lelaki yang memperkenalkan Mutesi dan kanak-kanak lain di kawasan setinggan Kampala kepada permainan catur adalah Robert Katende, yang bertindak selaku jurulatih.
Katende yang merupakan bekas pemain bola sepak pada tahun 2003 beralih angin kepada permainan papan apabila dia tampil dengan cadangan luar biasa. Dia berhasrat untuk mengajar anak-anak di jalanan bermain catur, walaupun ketika itu tiada seorangpun kanak-kanak di situ yang pernah mendengar permainan tersebut.
"Saya mencari platform untuk mendekati kanak-kanak ini. Jadi saya dapatkan papan catur lama saya dan turun ke kawasan setinggan," kata Katende yang baru berusia 30 tahun.
Lazimnya hanya diajar di sekolah-sekolah swasta yang lebih elit di Uganda, Katende memberitahu catur dipelajari dengan cepat oleh kanak-kanak itu.
Bagi kanak-kanak setinggan yang miskin dan bergelut untuk mendapatkan makanan dan tempat tinggal setiap hari, permainan seperti ini boleh mengajar beberapa pengajaran berguna dan memberikan mereka rasa yakin diri yang amat diperlukan, katanya.
"Ia bukan sekadar satu permainan, ia adalah satu cara untuk mengubah kehidupan.
"Anda menghadapi cabaran dan perlu memikirkan langkah terbaik untuk menghadapinya. Bagi kanak-kanak yang mungkin pernah menjadi pencuri atau penjenayah, ia membuatkan mereka lebih berdisiplin," kata Katende.
Dapat perhatian
Sejak hari-hari terawal bermain di tempat terbuka dengan papan sementara dan kepingan yang dibuat dari penutup botol, kelab catur Katende kini semakin maju.
Walaupun dengan sumber yang terhad, kelab catur itu telah mencatat keahlian seramai 63 orang bermula daripada usia semuda empat tahun.
Terhimpit dalam sebuah bilik kecil yang disewa dengan beberapa bangku, ia berfungsi sebagai sebuah rumah kelab. Biarpun ia bukan satu persekitaran yang mesra, mereka tetap berpuas hati dapat bermain catur dengan kemudahan dan set catur yang mencukupi.
Sambil berbaring secara meniarap, memakai baju bola sepak kotor berwarna merah, jari jemari Michael Talemwa, 11, beraksi untuk cuba menyekat serangan dari lawannya.
Seperti kebanyakan kanak-kanak yang mengerumuni sekitar papan catur, Talemwa hampir tiada peluang lain dalam hidupnya sebelum dia mendapat tahu tentang kelab catur.
"Saya berada di rumah bersendirian sepanjang masa tanpa berbuat apa-apa sehingga seorang rakan mengajak saya untuk bermain catur di sini.
"Saya tidak tahu apa-apa tentang permainan itu dan memberitahu saya tidak dapat bermain tetapi dia memujuk saya," kata Talemwa.
Kini, selepas bermain selama dua tahun dan melihat prestasi mendadak ahli-ahli kelab seperti Mutesi, Talemwa mengatakan dia memasang impian untuk mencontohi kejayaan mereka.
"Saya berasa sangat gembira apabila mendengar salah satu daripada rakan-rakan kami meraih pencapaian yang tinggi dan saya berharap akan pergi jauh suatu hari nanti," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: