|
PENGACARA, penyanyi, pelakon dan penyampai radio popular Datuk Aznil Nawawi, 51, cukup berbangga apabila diberi penganugerahan pingat Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk di Istana Negara sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.
Aznil yang ditemui pada majlis memperkenalkan wajah baharu Astro baru-baru ini mengatakan usahanya selama 23 tahun dalam bidang penyiaran terbayar apabila diberi penghormatan daripada pihak tertinggi kerajaan Malaysia.
Meskipun begitu Aznil yang sudah sinonim dengan gelaran Pak Nil dalam kalangan peminat dan teman media menegaskan jika orang sekeliling berbangga dengan pangkat Datuk yang diterimanya maka, kini mereka harus berbangga memanggilnya Datuk Aznil.
Ikuti temu bual santai Kosmo! bersama Datuk Aznil.
Selepas Aznil menerima gelaran Datuk masih ada pihak yang mempertikaikan anugerah yang diterima. Komen?
Anugerah yang diterima diberi oleh Yang di-Pertuan Agong, jika saya tidak menggunakan gelaran Datuk itu seperti saya tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong. Siapa kita untuk mempersoalkan pilihan orang yang mempunyai kuasa untuk memilih. Sudah tentu mereka melakukan kajian terlebih dulu sebelum memberikan anugerah itu kepada saya.
Adakah anda selesa dengan gelaran Datuk sedangkan sebelum ini anda cukup sinonim dengan gelaran Pak Nil?
Saya tidak mahu hanya saya bergelar Datuk akan mewujudkan jurang yang besar antara saya dan orang sekeliling terutama orang yang menyayangi saya. Kalau mereka rasa bangga dengan anugerah yang saya terima, panggil saya Datuk. Saya sendiri cukup berbangga dengan apa yang dianugerah kepada saya, ini menunjukkan warga media seperti saya juga telah menyumbangkan sesuatu kepada negara.
Mungkinkah wujud seberang tekanan untuk anda memikul gelaran Datuk itu?
Tidak ada sebarang tekanan kerana selama bekerja dalam bidang media, saya cukup menjaga tingkah laku. Jika gelaran Datuk yang diterima mengubah keseluruhan hidup saya, mungkin saya akan tertekan tetapi saya masih menjalani kehidupan yang sama seperti dahulu, jadi tiada sebarang tekanan.
Apakah misi anda selepas ini?
Terus-terang saya katakan gelaran Datuk ini membuka lebih peluang kepada saya untuk membantu orang lain kerana orang sudah tidak mempertikaikan kredibiliti saya. Cita-cita saya adalah mahu membantu anak-anak Malaysia lebih pandai bercakap kerana dengan keberanian bercakap mereka boleh jadi macam-macam. Sebelum ini agak sukar untuk saya yakinkan pihak sekolah tentang projek ini, mungkin dengan gelaran Datuk ini akan memudahkan lagi laluan itu.
Khabarnya anda juga ingin membantu anak seni. Komen?
Gelaran Datuk yang saya terima bukan hanya untuk saya banggakan, tetapi ia datang dengan tanggungjawab dan amanah yang besar. Sebelum ini saya ada wujudkan projek amal yang dikenali sebagai Hero Malaya yang mendedahkan artis kita kepada tanggungjawab sosial. Selepas ini saya ingin kembangkan dengan mewujudkan sebuah yayasan amal.
Apakah program dalam yayasan amal itu?
Yayasan ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu artis Malaysia seperti kembangkan kerjaya ke luar negara dan menubuhkan rumah orang tua-tua. Saya sedih melihat kebanyakan artis tempatan di penghujung usia mereka yang hidup melarat. Mereka sakit kerana dipinggirkan. Jadi saya harus mulakan semua ini dan jika tidak ada aral melintang semua impian saya itu akan wujud dalam tahun ini juga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: