Tuesday, February 19, 2013
Alasan Awi cipta lagu ketuhanan
SEJAK dua tahun kemunculan jejaka kelahiran Singapura ini dalam industri muzik tempatan, rezeki Awi Rafael tidak pernah putus. Hasil karyanya juga sentiasa diputarkan menerusi corong-corong radio sekali gus menjadikan namanya sentiasa berlegar dalam industri muzik.
Pulanglah merupakan single pertama yang berjaya melonjakkan nama Awi. Setelah muncul dengan beberapa single menerusi album pertamanya, kini pemilik nama sebenar Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael ini muncul pula dengan sebuah lagi album yang telah dilancarkan pada 8 Februari lepas.
Pelancaran yang bertempat di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur tersebut sebenarnya dibuat sekali gus bersama showcase album keduanya.
Walaupun sudah dua album dilancarkan, Awi masih menulis lirik dan menggubah lagu-lagu nyanyiannya sendiri. Mungkin ada yang tertanya-tanya, adakah Awi Rafael tidak mempercayai bakat komposer-komposer lain untuk terlibat sama dalam penghasilan lagu dalam albumnya.
Namun, ia sama sekali disangkal oleh Awi kerana katanya, sebagai orang baharu, dia ingin mengetengahkan bakat yang ada.
“Bukan saya tidak percaya pencipta lain, tetapi ini adalah peluang saya untuk mencipta nama dalam bidang penulisan selain nyanyian. Alhamdulillah, saya menerima pelbagai kritikan yang positif. Mungkin untuk album seterusnya, saya bakal bekerjasama dengan komposer lagu pujaan saya.”
“Menulis lagu sendiri dan menerima kritikan yang positif daripada orang ialah satu perkara yang membuatkan saya berasa puas. Inilah peluang saya dan syukur, lagu-lagu yang ditulis setakat ini diterima ramai," katanya yang pernah menerima respons positif daripada dua orang idolanya iaitu Edry Abd. Halim dan Ahmad Dhani.
Pada showcase yang telah diadakan, Awi telah menyampaikan sebanyak enam buah lagu termasuk lagu-lagu popular dari album pertamanya seperti Bila Aku Jatuh Cinta dan Pulanglah dan selebihnya merupakan lagu daripada album baharunya yang berjudul Asalkan Aku OK! .
“Saya memilih judul kali ini Asalkan Aku OK! kerana saya ingin ceritakan tentang diri saya sekarang yang mana saya sentiasa ingin bersikap positif. Dalam album kali ini, banyak juga lagu genre balada yang saya selitkan.
“Ini kerana peminat gemar dengan lagu-lagu balada ciptaan saya. Kali ini, boleh katakan, saya menulis lagu untuk peminat dan ingin lebih berhubung dan dekat dengan mereka,” tutur Awi yang ditemui selepas selesai showcase tersebut.
Selain itu, bicara jejaka berusia 27 tahun ini, antara sembilan lagu yang diciptanya dalam album terbaharunya tersebut, single berjudul Dewa merupakan yang paling istimewa dan bermakna buat dirinya.
Ini kerana sepanjang dua tahun bergelar penyanyi dan penulis lirik, ini merupakan percubaan sulung Awi menghasilkan lagu yang berunsur ketuhanan.
“Dewa merupakan single yang paling bermakna buat diri saya kerana pertama kali saya menulis lagu tentang ketuhanan. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang dan ilham untuk menghasilkan lagu sedemikian rupa.
“Apa yang boleh saya katakan, sebagai seorang insan, lagu ini banyak beri ketenangan kepada diri. Ia dihasilkan bukanlah ketika saya banyak dilanda kontroversi dan saya berterima kasih kepada Warner Music Malaysia kerana mempercayai bakat yang saya ada,” jawab Awi ketika ditebak persoalan penghasilan lagu ketuhanan ini.
Pada showcase tersebut juga, Awi telah melancarkan klip video single baharunya yang berjudul Hari-hariku dan apa yang menariknya iaitu dihasilkan oleh pelajar Aswara.
“Saya suka bekerja dengan anak-anak muda yang ingin pertaruhkan bakat mereka. Di sini (Aswara) mereka telah melakukan yang terbaik dan memberikan seluruh tenaga mereka untuk menjayakan showcase ini.
“Mengenai klip video lagu Hari-Hariku, kami berkongsi idea dan juga pada masa yang sama memberi peluang kepada mereka untuk mengekspresi bakat yang terpendam itu,” ujarnya yang turut memberitahu klip video Hari-hariku berjaya disiapkan dalam tempoh sehari sahaja.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: