|
SEJAK menjalinkan hubungan percintaan selama tiga tahun dan mendirikan rumah tangga pada 3 November lalu, sememangnya Farid Kamil dan Diana Danielle menjadi antara pasangan selebriti yang sering diperkatakan ramai.
Bermula dengan kisah percintaan mereka, majlis pertunangan secara senyap-senyap, membuat pengumuman tarikh perkahwinan secara mengejut sehinggalah pakaian semasa majlis resepsi, semuanya pernah menimbulkan kontroversi.
Menurut Farid, sebagai seorang individu berstatus selebriti segala yang berlaku itu sememangnya sukar dielakkan, tetapi dia perlu tenang untuk berhadapan dengan setiap kontroversi yang melanda dirinya.
Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Metrowealth Pictures (MIG) di bangunan MIG, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Farid menyatakan, dia menerima segala cerita negatif membabitkan dirinya dengan hati terbuka.
Mengakui telah mengenal pasti individu yang selalu mereka-reka cerita buruk mengenai dirinya sejak belum berkahwin lagi, buat masa ini dia enggan mengambil sebarang tindakan atau bersemuka dengan individu tersebut.
"Saya sudah lama tahu orang yang bertanggungjawab memburuk-burukkan nama saya selama ini dan sangat kenal dengannya. Cuma saya tidak mahu ambil kisah langsung dengan segala perbuatannya itu.
"Bagi saya orang tersebut sebenarnya sangat tertekan dengan kehidupan yang dilaluinya dan saya cuma mendoakan yang terbaik buat dirinya," jelas Farid yang enggan mendedahkan dengan lebih lanjut tentang individu berkenaan.
Biarpun selama ini dia masih dapat menahan kesabaran apabila sentiasa diaibkan dengan pelbagai cerita kontroversi, namun Farid meluahkan rasa kecewanya terhadap seorang blogger yang telah mempertikaikan tentang pakaian dalam salah sebuah majlis resepsi perkahwinannya dahulu.
Ujarnya, dia berasa cukup terhina dengan pendedahan yang dibuat oleh blogger berkenaan menerusi blog peribadinya tanpa mengetahui apakah agenda di sebalik perbuatannya itu.
"Tidak kira apa sahaja cerita kurang baik tentang diri saya yang diperkatakan, saya masih lagi boleh bersabar dan dapat menerimanya. Namun begitu, perbuatan yang dilakukan oleh blogger itu langsung tidak beretika.
"Buat masa ini saya tidak mahu ambil apa-apa tindakan, tetapi pihak MIG sekarang sedang meneliti setiap tulisan blogger tersebut dalam blognya itu untuk tindakan seterusnya," jelasnya.
Bagaimanapun, Farid telah meluahkan harapannya supaya mana-mana pihak yang gemar mengaibkannya itu supaya lebih bertimbang rasa memandangkan isterinya yang sedang mengandung ketika ini.
"Kalau boleh saya memang cuba elakkan Diana yang kini sedang berada di Australia untuk ambil tahu tentang segala cerita mengenai diri saya di sini.
"Sebagai suami saya tidak mahu emosi isteri saya yang kini sedang berbadan dua terganggu apabila masih timbul lagi cerita negatif yang membabitkan kami berdua," ujarnya.
Berjauhan
Baru mendirikan rumah tangga tiga bulan lalu, Farid berkata, ketika ini dia terpaksa berjauhan dengan isterinya memandangkan Diana akan memulakan pengajiannya dalam bidang produksi dan penulisan skrip di National Institue of Dramatic Art (NIDA) di Sydney, Australia.
Namun begitu, dia meluahkan rasa leganya kerana isterinya itu tidak terlalu mengalami alahan seperti kebanyakan wanita mengandung, meskipun usia kandungannya sudah memasuki tiga bulan.
"Diana sudah berada di Australia sejak bulan lepas dan keadaannya di sana agak baik. Sehingga kini saya juga sudah dua kali berulang-alik ke sana untuk membantu dia mencari rumah sewa dan urusan pendaftaran pengajiannya di NIDA.
"Walaupun sekarang kami terpaksa berjauhan, saya tidak berasa risau sangat kerana Diana merupakan seorang wanita yang mampu berdikari dan kini dia menetap di sebuah kawasan perumahan yang mempunyai ramai rakyat Malaysia," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia dan Diana sudah membuat persiapan menantikan kelahiran cahaya mata sulung, Farid menyatakan, masih belum ada sebarang persiapan yang dilakukan.
"Persiapan untuk membeli barangan bayi masih lagi belum kerana usia kandungan isteri saya masih awal. Sekarang ini apa yang kami berdua lakukan adalah persiapan mental dan fizikal sebelum bergelar ibu dan ayah," jelasnya.
Selain isterinya yang akan sibuk memulakan pengajian di luar negara, Farid menyatakan, jadual seninya pada tahun ini agak padat sehingga persiapan membeli barangan bayi tidak sempat dilakukan sekarang.
Ujarnya, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Bencinta dan pada bulan hadapan dia akan mula mengarahkan filem terbaharunya iaitu Bodyguard Dari Kedah.
Restu
|
Setelah 10 tahun Farid berkecimpung dalam dunia seni, kini tiba pula giliran adiknya iaitu Fadzil Zahari yang kini sudah mula berjinak-jinak menceburi dunia lakonan sejak tahun lalu.
Menurut Farid, adiknya mula terbabit dalam industri hiburan sejak tiga tahun lalu apabila menghasilkan skrip filem arahannya sendiri iaitu Kongsi yang pernah mencatatkan kutipan sebanyak RM8.09 juta pada tahun 2011.
"Saya mula mengesan bakat yang dimiliki adik saya itu menerusi satu nota yang ditulisnya beberapa tahun lalu. Apabila saya membaca nota tersebut, saya dapat rasa dia sebenarnya memiliki bakat yang besar dalam penulisan sehinggalah saya memintanya menulis skrip untuk filem Kongsi.
"Sebagai seorang abang saya sentiasa menyokong pembabitannya dalam bidang seni, cuma saya ada berpesan kepadanya supaya perlu berdikari dan tidak menggunakan nama saya untuk naik dengan cepat," jelasnya.
Sementara itu, apabila diminta komennya terhadap gosip yang melanda adiknya itu dengan pelakon Yana Samsudin, Farid menyatakan, dia akan merestui jika kedua-duanya sememangnya bercinta.
"Saya langsung tiada masalah sekiranya Fadzil dan Yana sedang bercinta dan saya tiada hak untuk menghalang hubungan mereka. Kalau benar saya akan mendoakan yang terbaik buat mereka berdua," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: