Sunday, September 2, 2012

Tuah Hyper Act kerana drama


NAMA kumpulan Hyper Act masih baharu, namun lagu dendangan mereka, Harapan cepat mesra di kalangan peminat muzik.


JIKA disebut nama kumpulan ini pasti tergambar sifat sebenar ahlinya. Hyper Act dianggotai oleh lima jejaka iaitu Ronnie sebagai vokalis, Toi (bass), Freddy (gitar utama), Etan (gitar kedua), Labib (dram) dan Akir (keyboard). Kesemua mereka benar-benar hiperaktif.

Ada sahaja gelagat gila-gila yang mahu ditunjukkan ketika sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini. Masing-masing masih lasak biarpun ketika berpuasa pada bulan Ramadan.

“Beginilah cara kami menikmati muzik. Kata orang kalau nak cari kepuasan dalam muzik, kita kena enjoy melakukannya. Apatah lagi masing-masing ada sifat gila-gila.

“Kerana itu juga kami sepakat memilih nama Hyper Act sebagai menggambarkan sifat kami. Tetapi batas hiperaktif perlu dijaga juga,” tutur Toi mewakili rakan-rakannya.

Walaupun lebih gemar bereksperimen dengan lagu bahasa Inggeris, kumpulan yang bergerak secara indie itu tidak menyangka rezeki mereka lebih kepada lagu Melayu.

Pada saat orang ramai masih kabur terhadap gerangan nama band itu, lagu single mereka yang menjadi runut bunyi (OST) sebuah drama di saluran TV3 telah pun mendapat perhatian.

Lagu berjudul Harapan itu baru dua bulan dikeluarkan tetapi sudah menjadi hit apabila menjadi lagu nada dering paling laris syarikat Maxis.

“Memang tidak dinafikan lagu itu pantas popular setelah dijadikan lagu OST drama Seindah Sakura. Tidak sangka pula tuah kami untuk lagu Melayu kerana sebelum ini minat kami lebih menjurus kepada lagu Inggeris,” ujar Ronnie yang pernah berduet dengan penyanyi Indonesia, Yanti Aryanti untuk lagu Bintang Kehidupan ketika bergerak solo dahulu.

Nampaknya rezeki Hyper Act bukan untuk lagu itu sahaja apabila dua buah lagu lain turut terpilih menjadi lagu latar untuk dua buah drama popular lain.

Selain Harapan, lagu Ku Tiba Lagi terpilih sebagai OST dalam setiap episod drama Bunga April di TV3 manakala lagu Cinta untuk drama Antara Kita lakonan Anne Ngasri dan Aliff Aziz di TV1.

Sungguhpun lagu-lagu tersebut pantas menjadi siulan, grup yang ditubuhkan pada tahun 2009 itu terus mengharap untuk menghasilkan sebuah album sendiri.

“Jika ditanya mengenai harapan, sudah tentu kami inginkan sebuah album sendiri. Lagu-lagunya sudah ada kerana sejak bersama kami sering menghasilkan lagu-lagu terutamanya berbahasa Inggeris.

“Tetapi melihat trend pendengar yang kebanyakannya meminati lagu Melayu, kami akan seimbangkan pengisian album itu nanti dengan kehendak pasaran,” ujar Toi.

Hyper Act dijangka mengeluarkan album penuh pada awal tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: