Selain bercirikan teknologi binaan mesrai, ia juga mampu menjimatkan pelbagai jenis tenaga termasuk elektrik, air, angin serta kos di samping memberi keselesaan dan persekitaran yang sihat kepada penghuninya.
Teknologi mesra alam juga semakin banyak digunakan pada bangunan termasuklah bangunan pejabat, kompleks membeli belah, sekolah, rumah kediaman dan banyak lagi.
Tidak mahu ketinggalan, syarikat elektrik dan elektronik, Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. (Panasonic) turut memperkenalkan Pusat Econation berciri terkini yang dibangunkan bertujuan mempamerkan pelbagai bentuk penyelesaian dalam rumah.
Terletak di Seksyen 16, Petaling Jaya, pusat tersebut memiliki fleksibiliti dan skala yang membolehkan Panasonic membangun, menyesuai dan mengubah sebuah rumah lama yang terbiar kepada bangunan mampan.
Menurut Pengarah Urusannya, Jeff Lee, bangunan tersebut bukan sahaja sebagai pusat pameran produk tetapi turut menjadi tempat mendidik rakyat Malaysia mengenai tenaga terutama dalam inovasi hijau.
"Pusat Econation yang pertama seumpamanya di negara ini mempunyai rekaan teknikal yang membolehkannya berinteraksi dengan unsur semula jadi seperti cahaya matahari, air, udara dan tanah.
"Kesemua elemen ini berinteraksi melalui modul 40 kilo wap solar yang dipasang pada struktur dwi-bumbung, sistem penuaian air hujan berskala 50 meter padu, tenaga udara cekap dan pendingin udara dalaman berkualiti penulenan serta landskap pengurangan pantulan haba," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pusat Econation Panasonic di Petaling Jaya baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Panasonic Manufacturing Malaysia, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Timbalan Pengarah Panasonic Malaysia, Chris Tomachi.
Dalam pada itu, Panasonic telah melaburkan sebanyak RM4 juta dan sekali gus membolehkan syarikat itu memajukan keupayaan dalam menyediakan hab bagi rakan kongsi serta pihak berkepentingan.
Katanya, ia mampu menyatukan kekuatan unik serta penyelesaian dalam merealisasikan cadangan penghijauan dan inovasi masing-masing.
Pusat Econation seluas 6,000 kaki persegi itu mampu menjana tenaga sebanyak 24MWh setahun selepas mengambil kira penggunaan tenaga yang diramalkan.
Jumlah tersebut menunjukkan pengurangan sebanyak 12 tan pelepasan karbon dioksida (CO2) yang bersamaan dengan 600 pokok yang disimpan setahun.
Pusat Econation Panasonic dibuka kepada kumpulan perniagaan setiap hari Isnin hingga Khamis (pukul 10 pagi hingga 5 petang) dan kepada orang awam pada hari Jumaat dan Sabtu (pukul 10 pagi hingga 5 petang).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: