Wednesday, September 26, 2012

Pecutan akhir kecemerlangan PMR

SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin - Utusan Malaysia di SMK Abu Bakar Al-Baqir, Bagan Serai, Perak semalam.
Lebih 200 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) mengikuti program pecutan akhir Kecemerlangan Akademik dan Motivasi menghadapi peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir di Bagan Serai, Perak - yang akan diharungi dalam 15 hari lagi.
Program dianjurkan Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP)dan Utusan Malaysia, dihoskan Pengetua SMK Abu Bakar Al-Baqir, Abd Kadir Jalani Mohamad.
Tujuh buah sekolah sekitar Bagan Serai mendapat sentuhan motivasi oleh Dr. Ismail Zain serta guru-guru pakar mata pelajaran yang menurunkan teknik menjawab soalan yang betul supaya tidak tersasar.
Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alang Iskandar, SMK Abu Bakar Al-Baqir, SMK Bagan Serai, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Ar-Ridhwan, SMK Mudzaffar Shah, SMK Gunung Semanggol dan SMK Selinsing.
Abd Khadir memberitahu Utusan Malaysia, beliau berasa bertuah kerana sekolahnya terpilih sebagai hos.
''Kita tahu program ini sangat berfaedah kepada pelajar, terutamanya pada saat-saat genting - iaitu 15 hari lagi - dan boleh menggunakan apa yang diperoleh untuk dilaksanakan semasa peperiksaan.
"Kedua, program ini berjaya mendedahkan sesuatu yang baru berdasarkan pengalaman penceramah dan pergaulan sesama pelajar dari pelbagai sekolah," katanya.
Menurut beliau, peserta program merupakan yang terpilih dan terbaik di sekolah masing-masing
"Mereka merupakan yang cemerlang atau berpotensi cemerlang, ditambah lagi dengan program motivasi pecutan akhir, maka kita berharap hasilnya memberi impak yang besar kepada pelajar cemerlang untuk diri dan sekolah masing-masing," tambahnya.
Beliau memberitahu, asas pemilihan ialah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) zon Bagan Serai.
Sementara itu, Dr Ismail berkata, setiap program yang dijalankan oleh Utusan Malaysia selari dengan aspirasi transformasi kerajaan untuk mengembangkan potensi pelajar.
Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) juga menyatakan pendidikan di Malaysia akan lebih mencabar dengan memberi penekanan kepada kualiti, dan modul program memang menekankan kualiti diri, penonjolan, potensi diri dan sebagainya, kata Dr. Ismail.
Tambah beliau: ''Pemilihan beberapa buah sekolah luar bandar juga sejajar dengan penekanan kepada kesaksamaan pendidikan di bawah laporan itu."
Dalam pada itu, program ini akan diteruskan di beberapa lokasi untuk memberi motivasi kepada calon PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Lokasi bagi program berikutnya di SMK Machang Bubuk, Bukit Mertajamdan SMK Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 29-30 September.
Seterusnya, program akan diadakan di SMK Tanah Merah, Chuah, Negeri Sembilan pada 20-21 Oktober untuk slot SPM.
Bagi rancangan akan datang, SMP merancang untuk memperluaskan program itu ke negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Pahang bagi kawasan Pantai Timur, Johor, Melaka dan seterusnya ke Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: