Jalanan ke bengkel itu agak becak dengan rumput masih basah, kerana baru sahaja disimbahi hujan. Menanti di sana seorang lelaki berjanggut dan berwajah jernih. Dia segera menjemput kami masuk ke bengkel berkenaan.
Dia, Ramlan Mohamad, 47, asnaf zakat yang bakal menambah bilangan usahawan asnaf berjaya di Selangor tidak lama lagi.
Saya dahulu seorang askar dan menamatkan perkhidmatan sebelum mencapai tempoh wajib bersara. Sebab itu saya tidak menerima pencen. Hanya wang persaraan sahaja.
Dengan wang itu saya membeli tanah dan di sinilah jugalah saya membina rumah," cerita Ramlan.
Ramlan berkongsi hidup dengan pasangannya, Noorain Osman, 41 dan dikurniakan 13 orang anak berusia antara tiga bulan dan 19 tahun dengan enam lelaki dan tujuh perempuan.
Setelah menamatkan alam tentera pada 1996, saya menjual ikan dan sayur di sebuah pasar di Pelabuhan Kelang dan membantu kakak berniaga.
Dalam tempoh beberapa tahun terawal, semuanya berjalan baik. Kemudian, pada 1998 saya pergi menunaikan haji. Apabila pulang daripada menunaikan haji itu, perniagaan saya mulai tidak stabil.
Saya fikir, persaingan menyebabkan saya jatuh. Selepas itu, saya memberanikan diri menjual air soya dan dadih. Sayangnya, jualan soya dan dadih juga tidak memberangsangkan. Selalu tidak habis dan terpaksa dibuang.
Masa itu saya sudah mulai rasa susah. Maklumlah anak sudah lima dan pendapatan hanya sekitar RM1,500 sebulan," kata Ramlan.
Pada tahun 2003, dia memberanikan diri merubah haluan apabila belajar membuat roti daripada kakaknya.
Mulai tahun itu juga, dia dan isteri membuat dan menjual roti berinti dan sebagainya.
Semuanya bermula dengan amat sederhana. Kami usahakan hanya di rumah dengan ketuhar kecil sahaja. Ketika itu, anak saya juga sudah bertambah kepada lapan orang.
Kemudian, pada 2005, saya ambil keputusan berpindah dari Pelabuhan Klang ke Kampung Medan, Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.
Ketika itu, saya memasarkan roti ke kantin-kantin sekolah. Pendapatan sudah mencecah RM2,000 sebulan. Sayangnya, tahun itu jugalah saya diuji apabila ketuhar kecil saya pecah," kata Ramlan.
Disebabkan sukar untuk dibaiki dan dicari ganti, selama enam bulan dia berhenti membuat roti dan hanya bekerja di pasar.
Ketika itu, pendapatan saya pun mulai jatuh kembali kepada RM1,500. Kehidupan mulai sukar dan mujurlah ramai teman-teman membantu memberikan sayur dan ikan yang tidak habis dijual untuk saya bawa pulang.
Pada 2007 itu jugalah, saya telah mengambil satu keputusan yang amat memeritkan. Rumah pusaka peninggalan emak di Pelabuhan Klang terpaksa saya jual demi mendapatkan wang.
Bayangkan, kesempitan hidup kala itu benar-benar menghimpit dan saya tidak sanggup melihat keluarga menderita.
Dengan wang jual rumah, saya manfaatkan antara lainnya untuk membaiki ketuhar yang rosak," kata Ramlan berkongsi pengalaman.
Nota: Bagi yang berminat membuat pesanan roti Ramlan, boleh hubungi Nur Global Bakery, Lot 1409, Bt. 9, Jalan Manggis, Kampung. Medan, 24500 Teluk Panglima Garang, Selangor. Telefon 013-3912745 atau 012-4651022.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: