Karakter yang dimiliki anak gadis ini ternyata bersesuaian dengan kerjaya pilihan yang sememangnya menuntut seseorang petah berkata-kata selain pandai melayan para pendengar di ruang udara.
Sememangnya sejak remaja lagi menyimpan hasrat untuk menjadi penyampai radio, anak kelahiran Parit Buntar, Perak, ini juga tidak pernah menetapkan dirinya untuk bekerja di mana-mana stesen radio.
Ini kerana baginya yang penting cita-cita yang diidamkan selama ini menjadi kenyataan.
Sudah tertulis 'jodohnya' dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Amilin telah memulakan tugasnya sebagai penyampai radio sejak dua tahun lalu.
Mungkin ada yang mempersoalkan apa yang istimewanya dia jika hendak dibandingkan dengan penyampai-penyampai radio yang lain.
Jika dilihat dari segi populariti sememangnya Amilin masih dianggap bertatih tetapi jangan terkejut kerana dia mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.
Ini kerana pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Penyiaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bertugas di konti Radio Klasik (Klasik Nasional), RTM.
Jangan tidak percaya, gadis yang baru mencecah usia 25 tahun ini merupakan penyampai di stesen radio yang golongan pendengarnya rata-rata jauh lebih dewasa.
Berbicara lanjut mengenai kerjayanya itu, jelas Amilin, menjadi penyampai radio bukanlah satu tugas yang mudah lebih-lebih di Radio Klasik.
Ini kerana selain kena peka dengan keadaan dan situasi semasa dan juga mengenai dunia hiburan, sebagai penyampai radio pengetahuan di dalam semua bidang juga diperlukan.
Menurut Amilin, dalam situasi dirinya kini segala maklumat mengenai hiburan terutama sekali mengenai artis veteran mahupun muzik-muzik lama amat diperlukan.
Kesemua maklumat tersebut bagaikan barang berharga kerana para pendengar khususnya radio klasik terdiri daripada golongan warga emas.
"Sebenarnya menjadi penyampai radio bukan sekadar hanya tahu memutarkan lagu dan juga berkomunikasi dengan para pendengar malah mereka (penyampai radio) juga sebenarnya perlu peka dengan berita semasa di samping situasi semasa.
"Seperti saya yang bertugas di Radio Klasik, maklumat mengenai bidang hiburan oleh artis-artis veteran amat diperlukan kerana semasa memainkan lagu-lagu lama, saya juga perlu menerangkan atau memberitahu bilakah lagu tersebut dicipta, siapa penciptanya dan siapakah penyanyinya.
"Maklumat-maklumat tambahan juga perlu di mana sekiranya lagu-lagu yang diputarkan merupakan lagu yang diambil daripada petikan-petikan filem," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Amilin mengakui, pada permulaannya mengalami kesukaran untuk bekerja di bahagian tersebut memandangkan lagu-lagu klasik bukanlah jiwanya apatah lagi Radio Klasik memutarkan lagu-lagu seawal 40-an, 50-an dan 60-an.
Tetapi disebabkan ingin memberi peluang kepada diri sendiri di samping mencuba sesuatu yang baru, Amilin berusaha keras untuk mempelajarinya.
Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa, lama kelamaan Amilin dapat menyesuaikan diri dengan situasi tersebut apatah lagi dirinya begitu bertuah kerana dapat bekerja di kalangan 'orang-orang' lama yang tidak lokek ilmu dan juga pengetahuan.
Setakat ini dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan segala maklumat mengenai lagu dan juga filem-filem lama kerana di RTM sendiri terdapat satu perpustakaan mini yang menempatkan segala maklumat-maklumat tersebut.
Hari ini walaupun sudah hampir dua tahun 'mengabdikan' diri di konti Radio Klasik, Amilin seperti individu lain tidak pernah terlepas daripada membuat kesilapan.
Di awal penglibatannya sebagai penyampai radio, Amilin bukan sahaja tersalah menyampaikan maklumat mengenai lagu yang diputarkan malah dia turut menerima panggilan daripada pendengar setia yang memarahinya disebabkan kesalahan itu.
"Ketika diterima menjadi penyampai radio Klasik, ketika itu umur saya sekitar 23 tahun dan sudah pasti rasa gementar itu ada walaupun sudah membuat persediaan.
"Ye la tidak semuanya sempurna dan ada satu hari ketika sedang ke udara saya tersalah memberi maklumat mengenai lagu yang diputarkan.
"Apa lagi, ramailah yang menelefon dan memarahi saya disebabkan kesalahan itu hingga menyebabkan saya sedikit kecewa.
"Bagaimanapun saya berjaya mengatasi masalah tersebut dan berjanji untuk menyempurnakan kerja dengan sebaik-baiknya selepas kejadian itu," ulasnya lanjut.
Yang pasti, 'Amelin Idrus Senyum-Senyum Selalu' merupakan tagline yang digunakan Amilin apabila setiap kali ke udara di radio.
Mungkin ramai yang melihat menjadi seorang penyampai radio mereka hanya bekerja beberapa jam sahaja di konti dan waktu selebihnya adalah waktu senggang.
Tetapi kenyataan itu adalah salah kerana memang benar mereka berada di konti hanya beberapa jam tetapi mereka masih perlu berada di tempat kerja dan bekerja memenuhi waktu kerja selama enam jam.
Bagaimanapun, menurut Amilin, kerjaya sebagai seorang penyampai radio sebenarnya banyak menuntut dirinya mengorbankan masanya.
Ini kerana Amilin perlu mengendalikan segmen-segmennya yang dijadualkan setiap hari bermula Isnin hingga Ahad dan ini termasuklah waktu kerjanya di konti yang juga tidak menentu.
Bagi pendengar setia Radio Klasik sudah pasti sedia maklum sengmen-segmen yang dikendalikan Amilin seperti Irama Ria (Isnin 12 tengah malam hingga 3 pagi), Rampai Sari (Selasa dan Ahad 9 pagi hingga 12 tengah hari), Puspawarna dan Masihkan Kau Ingat (MKI) (Rabu 12 tengah hari hingga 4 petang), Sukma Rindu (Khamis dan Jumaat 8 malam hingga 12 tengah malam) dan Gurindam Jiwa (Sabtu 4 petang hingga 8 malam).
Menjadi penyampai radio juga tidak bermakna hanya bekerja di konti kerana dia juga perlu 'turun padang' sekiranya stesen radio mengadakan sebarang aktiviti di luar konti.
Yang pasti anak gadis ini gembira dengan kerjayanya hari ini malah akan terus kekal di Radio Klasik selagi perkhidmatannya diperlukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: