Wednesday, September 26, 2012

Aidil Zafuan Gagal Dapat Hak Lawatan, Bermalam Bersama Anak


Rita Rudaini.
SHAH ALAM: Pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak pada Selasa gagal dalam cubaannya untuk mendapatkan hak lawatan serta bermalam bersama dua anaknya hasil perkahwinan dengan pelakon Rita Rudaini Mokhtar.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohamed Fouzi Mokhtar memutuskan untuk menolak permohonan Mohd Aidil, 24, selepas menerima bantahan awal yang difailkan Rita, 36.
Mohamed Fouzi juga mengarahkan Mohd Aidil membayar RM3,000 kepada Rita sebagai kos mahkamah.
Pemain bola sepak itu hadir di mahkamah bersama peguamnya, Ahmad Nazib Johari.
Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna berusia lapan bulan.
Mohd Aidil selaku plaintif memfailkan permohonan hak lawatan serta bermalam pada 20 Jun lepas dan afidavit telah diserahkan kepada Rita, pada 27 Jun lalu.
Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, bagaimanapun mengemukakan bantahan melalui peguamnya Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain atas alasan mahkamah itu tidak mempunyai “locus standi” atau bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan.
Ini kerana, Mohd Aidil membuat permohonan menggunakan alamat pemastautin di rumah yang turut diduduki Rita dan anak-anaknya di Damansara dekat sini.
Aidil Zafuan Abdul Radzak
Mohd Zaidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir menjelaskan isu dibangkitkan anak guamnya dalam bantahan itu membabitkan alamat tempat tinggal Mohd Aidil.
Beliau berkata ketika memfailkan permohonan hak penjagaan anak, Mohd Aidil menggunakan alamat rumah yang didiami Rita di Damansara sedangkan beliau mengakui sudah meninggalkan rumah itu, sejak Januari lepas.
"Beliau (Mohd Aidil) kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau sudah berpindah ke USJ1, Subang Jaya, tetapi tidak pernah pada bila-bila masa memberikan alamat rumahnya di USJ1 dalam dokumen yang digunakan dalam prosiding mahkamah," katanya.
Sementara itu, Rita ketika ditemui melahirkan rasa kesyukuran terhadap keputusan mahkamah itu.
"Jika beliau maklumkan kepada saya untuk jumpa anak, saya akan benarkan jika saya dan anak ada di rumah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: