Wednesday, September 26, 2012

Dunia kanak-kanak berwarna-warni

KREATIF...permainan menyusun bongkah mampu membentuk daya kreativiti anak.
KREATIF...permainan menyusun bongkah mampu membentuk daya kreativiti anak.
MELIHAT perkembangan anak pasti menjadi kenangan terindah bagi ibu bapa. Apatah lagi sekiranya setiap detik yang dilalui mereka dapat dilihat ibu bapa.
Anak berpusing, meniarap, merangkak dan berjalan adalah antara peralihan usia yang tidak seharusnya dilepaskan. Malah, ibu bapa mahu menjadi orang pertama mendengar anak menuturkan perkataan pertamanya, bukan pengasuh atau orang gaji.
Ini kerana detik ini paling berharga dan indah serta sukar dilupakan.
   
  • Foto GURU DI RUMAH...ibu bapa mampu menjadi guru terbaik kepada anak.
  • Foto MEMBACA...Suraya mendedahkan pelajaran di rumah kepada anak.

Dalam mendidik anak, ibu bapa adalah guru terbaik yang bertanggungjawab bukan setakat menyediakan semua keperluan, tetapi memberi asuhan terbaik sama ada secara formal atau tidak. Dalam erti kata lain tugas ini tidak sewajarnya diserahkan kepada guru di sekolah semata-mata, tetapi ibu bapa moden kini boleh memberikan didikan di rumah atau homeschooling kepada anak-anak.
Kaedah sekolah di rumah bukan saja diberikan secara sepenuh masa iaitu anak tidak langsung dihantar ke sekolah, malah ketika anak berada bersama ibu bapa.

Menurut pengamal sekolah di rumah yang juga perunding laktasi (IBCLC) dan Pengarah Urusan Lunatots, Siti Nur Suraya Mohamed Ali, mendidik anak di rumah boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa saja. Ibu bapa boleh menjadi pendidik dengan memulakan pembelajaran seawal usia anak setahun dengan memberikan pembelajaran secara rasmi atau tidak rasmi mengikut kurikulum tertentu.

Bagi mereka yang ingin menyekolahkan anak di rumah secara sepenuh masa, ibu bapa perlu membuat permohonan pengecualian daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Konsep sekolah di rumah sangat sesuai untuk ibu bapa yang bekerja sendiri atau mengikut jadual bertugas (syif). Dalam beberapa keadaan, ada juga ibu yang mengajar anak selama empat hari seminggu selebihnya digunakan untuk bekerja. Namun, bagi ibu bapa yang bekerja sepenuh masa, mereka boleh melakukan aktiviti sekolah di rumah ini dengan anak pada cuti hujung minggu,” ujarnya.

Suraya yang menggunakan pendekatan sekolah di rumah untuk ketiga-tiga anaknya, Ammar Zikry, 5, Ammar Dzakwan, 3 dan Alya Zalikha, setahun, memberitahu idea mewujudkan sekolah di rumah tercetus secara tidak langsung selepas terbabit dalam bidang keibubapaan serta bergelar perunding laktasi dengan menekankan penyusuan susu ibu, mengusahakan perniagaan lampin kain Lunatots dan pengendong bayi.

Ini sekali gus memberi inspirasi kepadanya memberikan pendidikan di rumah kepada anaknya selepas menyedari pentingnya ibu bapa itu sendiri memulakan pendidikan awal kanak-kanak sebelum menghantar mereka ke sekolah.

“Sebenarnya saya bercita-cita menjadi pendidik di rumah untuk anak selepas melahirkan anak pertama iaitu lima tahun lalu. Sejak itu, saya mula mencari pendekatan sesuai serta kaedah terbaik dengan memberi penekanan kepada mental, emosi dan fizikal mereka,” katanya.

Apa yang berlaku pada masa sekarang, kebanyakan ibu bapa beranggapan pendidikan harus dilakukan secara formal atau di bilik darjah saja. Tetapi, sebenarnya tidak, mendidik anak boleh dilakukan di mana-mana saja.

“Misalnya anak yang bersekolah pada waktu pagi, ibu bapa masih boleh melakukan pendekatan sekolah di rumah pada waktu petang, malam dan hujung minggu serta ketika cuti sekolah.

“Ini boleh dilakukan dengan berkongsi kepakaran dengan semua ibu bapa di kawasan sekitar rumah serta mereka yang berpegang kepada konsep sekolah di rumah. Contohnya, saya mengajar anak saya serta anak jiran mengenai urus niaga perniagaan manakala mungkin ada ibu kreatif mengajar anak saya dan anak yang lain mengenai ilmu seni dan lakonan, perubatan, pendidikan atau kejuruteraan.

“Pertukaran ilmu seperti ini pasti menyeronokkan bukan saja untuk anak, malah ibu bapa sendiri. Ini kerana mereka lebih memahami bagaimana bidang tugas ibu bapa sejak kecil lagi,” katanya.

Namun, beberapa penilaian perlu difahami ibu bapa dalam memperkenalkan konsep sekolah di rumah. Ia adalah proses membabitkan keseluruhan ahli keluarga termasuk bapa.

Apabila ibu bapa faham mengenai kaedah sekolah di rumah ini, ia menjadi lebih mudah dilaksanakan bukan hanya membayangkan susunan meja dan kerusi yang sama seperti di bilik darjah (tetapi di rumah), namun sebenarnya pembelajaran lebih daripada sekeping kertas.

“Misalnya dengan melakukan aktiviti di dapur bersama-sama, berkebun dan ketika menonton televisyen, ia antara waktu yang boleh digunakan untuk mengajar. Pada masa ini, ibu boleh memberitahu mengenai jenis sayuran, mengapa tumbuhan perlukan air atau memperkenalkan jenis masakan dan barang digunakan di dapur,” katanya.

Bagi ibu bapa yang berminat memperkenalkan kaedah pembelajaran di rumah secara sepenuh masa, mereka perlu mencari ‘mengapa’ mereka mahu melaksanakannya sebelum ‘bagaimana’ mereka melakukannya. Ini adalah dua faktor yang sangat penting.

“Mengapa saya mahu melakukan pendekatan sekolah di rumah adalah kerana saya percaya pada kapasiti saya dan suami serta sangat sukakan kanak kanak. Dunia mereka berwarna-warni dan bukan menjadikannya hanya ‘satu warna’ saja dengan menetapkan pelajaran hanya boleh di dapati di sekolah.

“Namun, sebenarnya apa juga yang ada di sekeliling kita adalah pembelajaran seperti menghormati orang tua dengan cara bersalam.

“Dalam hal ini saya dan suami tiada bezanya dengan ibu bapa lain cuma terdapat pertambahan tugas iaitu kami suami isteri perlu melihat kepada kecenderungan anak-anak dan menggalakkan mereka melakukan apa yang mereka suka,” kata Suraya.

Bagi mengelakkan tekanan, Suraya tidak menggunakan jadual waktu, kurikulum serta pembelajaran khusus untuk anak-anaknya. Apa yang dilakukan misalnya pada minggu pertama, dia mengajar mengenai bentuk, anak yang berusia tiga tahun belajar bentuk bulat sementara abang belajar mengenai bentuk heksagon.

“Tetapi sekiranya anak sulung merasakan tidak sukakan bentuk heksagon, dia boleh membantu adiknya belajar bentuk bulat dengan cara menunjukkan kepada adik barang dalam rumah yang berbentuk bulat,” jelasnya.

Walaupun sibuk dengan urusan pejabat, wanita ini tidak menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak berdamping dengan anak. Jadual waktu diatur pada waktu pagi selepas sarapan, dia mengajak anak membuat aktiviti di atas kertas.
Biarpun hanya kertas kosong dengan sebarang lakaran yang terlintas di fikiran, ini dapat membantu daya kreativiti mereka.

“Malah, selepas beberapa ketika, saya boleh melakukan kerja di depan tablet sambil memerhatikan mereka bermain ataupun menonton televisyen. Pada waktu petang pula saya melakukan aktiviti berlainan bagi mengurangkan rasa bosan,” ujarnya.

Suraya percaya dalam mendidik anak-anak, komunikasi yang berkesan sangat penting. Komunikasi merangkumi bentuk suara, sentuhan, pelukan dan bahasa tubuh. Beritahu anak-anak bahawa anda adalah ibu dan juga guru. Pasti mereka mengagumi anda serta lebih memahami tugasan anda.

Untuk menjadi lebih sistematik, apa yang boleh dilakukan ialah menyediakan fail untuk menyimpan hasil kerja anak di dalam bentuk material. Sekiranya bukan dalam bentuk kertas, ambil gambar dan cetak hasil kerja mereka dan simpan di dalam fail.

“Saya menjadikan apa yang dilihat di sekeliling sebagai sumber rujukan seperti daun, sampah dan ulat serta mewujudkan persoalan seperti mengapa roti berwarna putih? Selain itu, saya turut merujuk laman web yang membincangkan mengenai aktiviti sekolah di rumah bersama anak prasekolah.

“Bagi anak yang berusia lima tahun ke atas, ibu bapa boleh mula mencipta blog keluarga bagi membolehkan anak sulung mencatatkan aktiviti harian mereka.
Pastinya anak akan lebih berbangga diberi tanggungjawab oleh ibu bapa,” katanya yang berhasrat menjadi guru kepada anak sehingga mereka dewasa.

Malah, hala tuju anak ditentukan sepanjang perjalanan mendidik mereka mengikut kelebihan dan minat anak. Di samping itu, anak dihantar menghadiri kelas bahasa dan permainan anjuran kumpulan Homeschoolers yang lain.


Aktiviti sekolah di rumah:

  • Memasak bersama

    Beli buku resipi kreatif untuk memasak bersama anak. Bercerita dengan mereka bahawa memasak adalah aktiviti yang sangat menggembirakan terutama apabila menyediakan makanan sihat untuk keluarga.

    Pastikan semua ahli keluarga memakai apron dan mempunyai peralatan yang sama seperti pisau dan papan pemotong.

    Babitkan anak dalam setiap aktiviti dan bercerita mengenai setiap langkah dalam penyediaan makanan.

  • Berkebun

    Aktiviti berkebun juga adalah proses yang bagus untuk pembelajaran anak.. Ambil peluang menceritakan mengenai benda hidup seperti haiwan dan tumbuhan serta kebergantungan antara satu sama lain.

    Ajak anak menanam sayuran seperti tomato dan bayam. Anda sekeluarga pasti teruja ketika menikmati hidangan sayur bayam yang ditanam dan dituai sendiri.

    Dapatkan topi untuk menutup cahaya matahari dan baju lengan panjang untuk berkebun supaya anak belajar pakaian yang sesuai untuk aktiviti itu.

  • Membeli-belah

    Membeli barang dapur adalah aktiviti mingguan yang boleh dimasukkan dalam aktiviti sekolah di rumah. Sebelum ke pasar raya, senaraikan bersama anak barang yang perlu dibeli.

    Semak barang di dalam peti ais seperti buah apa yang sudah ada, bilangan biji telur yang masih berbaki atau jenis sayur yang sudah layu kerana tidak dimasak.
    Terangkan kepada anak mengenai pembaziran. Semasa di pasar raya, anda dan anak membeli apa yang ada di dalam senarai saja. Kongsi jumlah duit yang ada dan boleh digunakan.

    Seawal empat tahun, mereka sudah faham mengenai duit dan bagi anak yang lebih kecil, mereka sukakan warna buah dan sayur di pasar raya.

    Pastikan anda membeli lima jenis warna makanan sihat seperti merah (cili), oren (mangga), hijau (sayur-sayuran), kuning (pisang) dan putih (telur).

    Ajar anak membayar makanan di kaunter pembayaran serta proses mendapatkan baki kembali.

  • Menonton televisyen

    Menonton televisyen adalah waktu belajar untuk anak.. Duduk bersama anak dan tanya mereka mengenai cerita itu.

    Beritahu apa yang cuba disampaikan menerusi rancangan yang ditonton. Beritahu apa yang boleh dilakukan serta contoh yang tidak baik.

    Seawal usia dua tahun, mereka boleh memahami. Cuba sampaikan sebaik mungkin dengan ekspresi wajah yang baik.
  • Belajar bahasa

    Pilih satu bahasa yang anda mahu pelajari bersama anak. Contohnya bahasa Arab, Mandarin atau Inggeris. Cadangkan dan tanya persetujuan mereka.

    Terdapat banyak aplikasi di Internet dan telefon yang boleh dimuat turun.
    Beritahu tujuan kita belajar bahasa itu. Sebagai contoh, saya dan anak
    mengikuti kelas bahasa Arab kerana jika ingin menunaikan umrah atau haji ke Makkah, semua orang menggunakan bahasa ini.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: