Malah, penulis sudah menjangka tidak banyak tempat boleh dikunjungi di Pittsburgh berbanding melawat Los Angeles yang terkenal dengan Hollywood serta taman tema terkemuka dunia iaitu Disneyland dan Universal Studio.
Cuma yang ada tinggalan sejarahnya daripada ratusan jambatan besi hingga gerabak bergerak mendaki Bukit Washington atau The Duquesne Incline yang dibina pada 1877.
Sebab itu pemandu teksi yang penulis tumpang dari Lapangan Terbang Pittsburgh tidak banyak bercakap apabila ditanya mengenai tarikan utama di bandar yang terletak di negeri Pennslyvania itu.
Sebaliknya, dia yang memperkenalkan dirinya sebagai Mr Brown teruja menceritakan kisah dongeng seekor naga ganas mengganggu kenderaan melalui Terowong Fort Pitt di Bukit Washington sebelum sampai ke Pittsburgh.
Dia tidak henti-henti bercerita kisah turun temurun itu sebaik mengetahui penulis seorang wartawan dari Malaysia untuk membuat liputan Pameran Sains dan Kejuruteraan Intel (Isef) 2012 selama seminggu.
Secara berseloroh, Brown meminta penulis bersedia untuk melarikan diri jika diserang naga itu.
Ini mengingatkan penulis cerita seram kereta kuning yang sering mengganggu pengguna jalan raya di Lebuhraya Karak.
Ketika melepasi terowong itu pula, penulis tidak ragu-ragu untuk merakam gambar pencakar langit Pittsburgh yang akhbar The New York Times sifatkan sebagai ‘the best way to enter an American city’.
Penulis tidak pernah mengunjungi Los Angeles atau New York, tetapi pemandangan bandar Pittsburgh yang terletak di pertemuan Sungai Allegheny dan Monongahela sangat ‘berbaloi’ sekali.
Menurut John lagi, Pittsburgh sering menjadi tempat penggambaran filem pecah panggung, termasuk She’s Out of My League, Striking Distance dan yang terbaru filem Batman, The Dark Knight Rises.
Selepas mendaftar di hotel, penulis berjalan kaki mengelilingi pusat bandar dengan seorang rakan dan apa yang dapat diperhatikan, Pittsburgh mempunyai banyak hospital, universiti dan kolej, antaranya terletak di celah-celah bangunan pencakar langit.
Dua universitinya yang terkenal ialah Carnegie Mellon University (CMU) dan University of Pittsburgh (UP) yang ada pelajarnya warga Malaysia.
Tidak hairan rombongan penulis dapat bertemu seorang warga Malaysia yang menjadi sukarelawan di Isef 2012 sebagai penterjemah.
Norhayati Othman dari Gombak, Kuala Lumpur, menetap lebih 20 tahun di Amerika Syarikat bersama suaminya, Abd Salim Nast Mohd Alias, yang berasal dari Manjoi, Ipoh.
Gembira melihat pelajar sekolah dari Malaysia menyertai pertandingan sains dan kejuruteraan itu, dia yang bertugas sebagai guru mempelawa mereka dan penulis makan malam di rumahnya berhampiran CMU.
Dengan lauk kari ikan, ayam panggang dan ikan masin, ternyata rombongan penulis dapat melepaskan rindu dengan makan sepuas-puasnya.
Dikurnia sepasang anak lelaki dan perempuan, Norhayati dan suami memilih bekerja di negara Uncle Sam itu berikutan krisis ekonomi melanda Malaysia pada hujung 1980-an.
Kini Abd Salim bekerja sebagai arkitek di sebuah firma swasta selepas menamatkan pelajaran di University of Miami, Florida. Anak lelakinya pula belajar di Maryland University dalam bidang Sains Komputer dan anak perempuannya di sebuah sekolah swasta.
Penulis turut berkenalan dengan rakan pasangan itu, Rasman Mohamad Ibrahim yang dua tahun menetap di Pittsburgh menemani isterinya, Rozalinawati Che Roslee melanjutkan pelajaran di CMU. Mereka pulang ke tanah air, Mei lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: