Raja Azmi, 53, berkata, keputusan itu dibuat selepas melihatkan terlalu banyak filem yang dikeluarkan walaupun sejak kebelakangan ini industri perfileman tempatan kurang mendapat sambutan daripada penonton.
"Selepas menerbitkan ...Anu Dalam Botol, saya mahu berhenti sekejap daripada membuat filem. Lebih baik saya terbitkan drama kerana sekurang-kurangnya dapat sedikit keuntungan.
"Pada masa sama, karya drama yang dihasilkan itu dapat ditonton hampir semua orang. Barulah terasa karya kita dihargai.
"Berbanding filem, sudahlah kutipannya tidak memberangsangkan, tetapi jumlah penerbitannya pula semakin banyak di pasaran," katanya.
Bagaimanapun tambah Raja Azmi, peralihannya ke dunia televisyen bukan disebabkan rasa serik selepas ...Anu Dalam Botol di bawah syarikat miliknya, Pengedaran J.A.S Sdn. Bhd, yang kurang mendapat sambutan.
"Mungkin, ada yang beranggapan saya serik nak buat filem lagi? Sebenarnya sama sekali tidak kerana saya percaya filem saya bukannya sempurna, ada yang suka dan ada yang tidak.
"Saya pula suka menghasilkan karya yang berkonsepkan dunia realiti tetapi tidak ramai yang boleh terima.
"Sebab itu saya pilih untuk menerbitkan drama kerana penerimaan penonton televisyen lebih luas di mana karya-karya realistik boleh dipaparkan kepada masyarakat," ujarnya.
Raja Azmi kini memiliki sebuah syarikat produksi baru iaitu Akid Production, manakala syarikat Pengedaran JAS pula menumpukan pada penerbitan buku dan komik.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan barunya, dia kini sedang menyiapkan sebuah skrip telefilem berjudul Akar yang akan membariskan pelakon Zahiril Adzim dan Khairil Anhar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: