Friday, September 28, 2012

ATM bantu masyarakat Iban nikmati air bersih

Zulkifli Zainal Abidin disambut penduduk semasa mengadakan lawatan ke tapak Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Krangan Jaya di Serian baru-baru ini.
SELAMA 40 tahun, masyarakat Iban di lima kampung iaitu Krangan Trusan, Krangan Jaya, Krangan Baru, Krangan Engkatak dan Krangan Tekalog di Serian, Sarawak terpaksa menadah air hujan dan mangambil air perigi yang kotor untuk kegunaan harian.
Akhirnya pada 17 Ogos lalu, mereka tersenyum lebar dan boleh menarik nafas lega apabila melihat titisan air bersih pertama keluar daripada paip di rumah masing-masing.
Meskipun masih di peringkat percubaan kerana projek air graviti itu belum siap sepenuhnya, perkembangan tersebut cukup melegakan 765 penduduk yang majoritinya menetap di rumah panjang.
Bagi penduduk berkenaan, mereka berasa amat berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan kerana bertungkus-lumus menyiapkan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi kemudahan mereka yang selama ini tidak pernah menikmati bekalan air bersih terus daripada paip di rumah masing-masing.
Lebih menggembirakan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sendiri sanggup datang ke kampung mereka pada 18 Ogos lalu bagi meninjau tapak projek di Kampung Krangan Jaya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot.
Menurut Zulkifli, ATM terlibat dalam pembinaan 27 projek BALB di Sarawak dan 17 di Sabah dengan 60 peratus daripadanya sudah siap sepenuhnya.
Beliau berkata, hanya 30 peratus daripada projek tersebut dalam pembinaan manakala baki 10 peratus akan siap dalam tempoh terdekat ini.
"Bagi menyiapkan projek BALB di lima kampung ini, anggota Rejimen Skuadron Jurutera Diraja (RAJD) terpaksa menggunakan tangan untuk memasang paip dan mengambil masa kira-kira sebulan bagi menyiapkan kerja-kerja tersebut yang menelan kos RM80,000," katanya.
Sementara itu, Richard memberitahu, selain projek air graviti, pihak kerajaan juga akan menyediakan 200 tiang lampu menggunakan sistem solar bagi mendapatkan bekalan elektrik kepada penduduk kampung berkenaan.
Beliau berkata, kemudahan bekalan elektrik tersebut dijangka boleh dinikmati dalam masa sebulan lagi.
Katanya, sebanyak RM260 juta sudah diluluskan oleh kerajaan untuk memajukan projek kemudahan asas di daerah Serian bagi 2011 hingga 2012.
"Setakat ini, 70 peratus pelaksanaan projek itu sudahpun siap. Kita harap penduduk dapat bersabar kerana bukan mudah mahu menyediakan kemudahan ini di semua kampung di kawasan Parlimen Serian yang mempunyai keluasan sebesar Melaka," katanya.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Krangan Jaya, Jaban Uja, 57, berkata, projek BALB memang ditunggu-tunggu oleh penduduk di kampungnya yang sebelum ini terpaksa menggunakan air hujan dan perigi untuk kegunaan harian.
"Kita menghargai usaha dilakukan oleh ATM itu dan berharap penduduk kampung sentiasa menyokong kerajaan jika tidak mahu ketinggalan dari segi pembangunan," ujarnya yang merupakan pesara ATM.
Seorang lagi penduduk, Gerigi Liran, 50, berkata, dia berasa begitu seronok kerana tidak perlu lagi bersusah payah mengepam dan mengangkut air dari perigi setelah mempunyai paip air di rumah nanti.
Katanya, walaupun belum pernah ada penduduk dilaporkan sakit kerana meminum air hujan dan perigi sebelum ini, mereka yakin kesihatan penduduk akan lebih terjamin dengan adanya air bersih yang disediakan melalui projek tersebut.
Seorang lagi pesara ATM, Jaol Manju, 56, berkata, sejak meninggalkan kampung pada 1986 untuk menjalani latihan rekrut di Melaka sebelum ditugaskan di Tawau, Sabah; Perlis dan Kem Oya di Sibu, Sarawak sehingga bersara pada 2002, dia mendapati keadaan di tempat kelahirannya itu tidak banyak berubah kerana masalah ketiadaan bekalan air dan elektrik.
"Memang saya rasa kecewa apabila mendapati kampung kami masih ketinggalan tetapi kekecewaan itu kini terubat kerana bakal mendapat bekalan air dan elektrik tidak lama lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: