Pelakon berusia 26 tahun itu harus menjalani penggambaran drama terbaru, Julia, di Seoul, Korea, di mana perjanjian dibuat bersama penerbit lebih awal.
Izreen bersama pelakon Julia, Nabila Huda dan Iqram Dinzly berlepas ke Seoul pada 1 September dan kembali ke tanah air pada 14 September lalu.
Kata Izreen, hanya Allah tahu betapa berat hatinya untuk meninggalkan Riza, tambahan pula mengikut perancangan awal, suaminya turut sama mengikuti rombongan produksi Julia ke sana.
“Pada mulanya memang kami merancang bersama ke sana dan menganggap ia sebagai hadiah bulan madu kami. Bagaimanapun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terbang seorang.
“Waktu sama, Riza mendapat tawaran menjadi jurukamera telefilem dan dia pula mula bekerja pada 2 September. Waktu itu, saya berasa terkilan kerana tidak dapat membawa suami bersama saya.
“Meroyan jugalah saya sekejap. Riza pula cuba menerima tawaran yang datang dan mula bekerja lebih awal kerana mahu menghilangkan rasa sedih. Apabila masing-masing berada di lokasi, perasaan rindu tidak terasa sangat,” katanya.
Sepanjang dua minggu di sana, kata Izreen, hanya telefon menjadi saluran untuk melepaskan perasaan rindu dan tidak kisah menghabiskan belanja tinggi untuk berkomunikasi dengan suami tersayang.
“Bayangkan, di sana kami hanya boleh bercakap secara langsung. Untuk menggunakan media sosial peribadi dan mendapatkan frekuensi komunikasi tanpa wayar seperti wifi juga perlu dibayar.
“Saya habis hingga mencecah empat angka. Waktu itu duit jatuh soal kedua, yang penting saya dapat bercakap dengan suami untuk melepaskan rindu,” katanya.
Manisnya pengalaman menjadi pengantin baru, sebaik menjejakkan kaki ke tanah air, Izreen terus melaksanakan tugasnya sebagai isteri dengan memasak hidangan kegemaran suami.
Akui Izreen, hidup bujang jauh berbeza dengan berumahtangga. Jika dulu makan atau tidak, Izreen tidak kisah dan hanya fokus diri sendiri, tetapi sekarang tidak lagi.
“Apa-apa perkara yang datang, saya harus utamakan suami. Disebabkan itu, pada malam saya pulang, terus saya masak kari seperti dipinta Riza. Saya sedih sebab dari sana lagi mendengar keluhan suami yang terpaksa makan di kedai sepanjang ketiadaan saya.
“Sampai saja di rumah, saya tidak tunggu lama dan melunaskan impiannya mahu merasai masakan isteri,” katanya.
Kata Izreen, dia berasa sangat gembira, apatah lagi keadaan sewaktu bercinta dan selepas berkahwin jauh berbeza. Katanya, setakat ini perjalanan hidup berumahtangga dilaluinya baik dan tiada masalah dan kerjaya seni juga lancar.
“Alhamdulillah, selepas kahwin, rezeki bertambah murah. Sebaik selesai penggambaran drama Julia, saya sibuk menjayakan drama bersiri Cinta Kasih yang bakal ditayangkan di slot Lestari di TV3.
“Menariknya, untuk drama ini saya dapat bekerja dengan suami. Ini kali kedua kami kerja bersama. Kali pertama sewaktu menjayakan drama Tentang Dhia dan waktu itu cinta kami mula bersemi,” katanya.
Berkongsi cerita menarik yang berlaku sewaktu membintangi Cinta Kasih, awalnya dia kekok apabila perlu menjalani penggambaran babak romantis bersama pelakon utamanya, Adi Putra. Katanya, dia sangat kekok apabila terpaksa memeluk lelaki lain dan waktu sama, suami ada di depan mata.
“Mujur Riza sporting dan memahami. Saya dan Riza juga menjadi ‘bahan’ gurauan rakan. Sebagai isteri, apabila suami ada di depan mata, tentu sedikit sebanyak saya harus melaksanakan tugas.
“Mengambil contoh apabila kami berhenti untuk makan, saya senduk nasi untuknya. Perkara itu menjadi usikan, tambah pula gambar kami bersanding turut dijadikan hiasan muka depan sebuah majalah wanita, memang sepanjang minggu kami digiat mereka tanpa henti,” katanya.
Suami jadi rujukan
SEBELUM mendirikan rumahtangga, ramai meluahkan pendapat bahawa populariti dibina Izreen akan merudum. Namun, Izreen yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Juvana menegaskan, perkara itu tidak berlaku, apatah lagi tawaran diterima daripada penerbit tidak berhenti.
Katanya, maklum balas diberikan peminat juga positif. Dalam keadaan sekarang, Izreen tahu orang minat dirinya bukan kerana gosip atau paras rupa, sebaliknya bakat dan lakonan.
“Saya sangat bersyukur. Perkara ini juga secara tidak langsung mengetepikan pendapat bahawa perkahwinan mempengaruhi populariti seseorang artis. Ternyata sangkaan itu tidak benar.
“Saya juga akui dalam merencana kerjaya seni, suami turut memainkan peranan dan punya pengaruh, terutama membabitkan pemilihan watak.
“Kata Riza, dia tidak menghalang jika watak antagonis ditawarkan kepada saya, memandangkan watak sedemikian memberi lebih kepuasan dan mampu menonjolkan bakat seseorang pelakon.
“Bagaimanapun, katanya, saya harus pandai membawanya supaya tidak keterlaluan. Dalam hal ini, saya faham kerana banyak hati perlu dijaga. Bukan saja suami, tetapi juga keluarga mentua.
“Apa saja karakter yang ditawarkan kepada saya, biasanya kami berbincang terlebih dulu. Saya bertuah kerana Riza bukan saja suami, tetapi juga kawan.
“Mengambil contoh, untuk drama Julia ada babak saya kena peluk pelakon utamanya, Fizo Omar. Saya rujuk kepadanya bagaimana ia harus dilakukan. Saya akan beritahu suami jika babak itu dirasakan sensitif,” katanya.
Menceritakan pengalamannya kali pertama menjalani penggambaran di luar negara, kata Izreen, dia berasa sangat gembira dan teruja apabila berpeluang bekerja di tempat orang.
“Saya lihat Seoul sebenarnya satu kota fesyen. Sesiapa yang pergi ke sana pasti jadi separuh ‘gila’. Kalau tiada duit, jangan saja-saja hendak ke sana, nanti makan hati.
“Saya menggemari suasananya. Mengambil contoh, saya sempat pergi ke Nami Island, lokasi drama Korea paling popular, Winter Sonata. Saya bangga dan teruja dapat menjejakkan kaki ke situ.
“Satu lagi perkara yang saya suka adalah sikap penduduk Korea yang sangat menjaga kebersihan. Bayangkan, di sana hendak merokok tidak boleh sembarangan kerana akan disaman.
“Bandarnya indah dan sangat bersih. Ternyata ia sedikit berbeza dengan kita di sini yang kurang kesedaran untuk menjaga kebersihan awam,” katanya.
Izreen juga bangga kerana berpeluang bekerja dengan Fiza, Nabila dan Iqram kerana masing-masing mesra dan senang dibawa berbincang. Katanya, ini kali pertama dia berkerja dengan Nabila.
“Sebelum ini kami kawan, tapi apabila berkumpul di sana, bertambahlah kegilaan kami. Begitupun, pengalaman bekerja di sana bersama mereka adalah pengalaman manis. Apatah lagi saya berpeluang bekerja dengan pelakon berbakat besar seperti Nabila,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: