Wednesday, September 26, 2012

Nekad Zamzam bergelar polis

AKRAB... Inspektor Zamzam Yunus tidak lokek ilmu mengajar anak buahnya.
SUATU ketika dahulu, beliau pernah dihimpit dilema untuk memilih kerjaya setelah ibu bapanya kurang bersetuju apabila dia menyuarakan hasrat untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi Inspektor Zamzam Yunus, 41, ibu bapanya lebih senang jika dia melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi setelah keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang diperolehi boleh membantunya pergi lebih jauh.
Malah, hasratnya untuk menyarung sepasang uniform biru tidak disenangi apabila ada cakap-cakap orang ketika itu yang mendakwa, menjadi anggota polis tidak mudah serta tidak berbaloi dengan pendapatan yang diperolehi.
"Bagaimanapun saya cekal dan mengatakan, menjadi anggota polis mampu menjamin masa depan saya dan keluarga biarpun ibu serta bapa lebih suka untuk saya menyambung pengajian selepas SPM.
"Saya nekad mengisi borang memohon jawatan polis setelah mendapat tahu tentang iklan di akhbar pada awal 90-an dan Alhamdulillah, keyakinan saya berbaloi apabila saya diterima masuk ke Pulapol (Pusat Latihan Polis) Jalan Semarak," kata Ketua Balai Polis Serdang, Selangor ini.
Menurut anak sulung daripada sembilan beradik itu, setelah menunjukkan surat tawaran menjadi anggota polis kepada ibu bapa, barulah impiannya itu mula disenangi keluarga.
"Ketika itu mungkin mereka tidak terbuka dengan kerjaya polis ditambah dengan pandangan orang awam ketika itu yang mengatakan kerjaya sebagai polis teruk lagi memenatkan.
"Tapi itulah cita-cita saya dari kecil lagi terutamanya apabila melihat setiap polis begitu segak menyarungkan uniform biru menjaga keselamatan masyarakat sekeliling," katanya ketika mengenang kisah lampau pembabitannya dalam pasukan ini.
Ujar Zamzam, selain menggapai cita-cita, beliau juga sebenarnya memilih untuk bekerja kerana bagi memenuhi tanggungjawab membantu keluarga apatah lagi beliau merupakan anak sulung.
"Sebagai anak lelaki sulung, saya bertanggungjawab membantu keluarga kerana ibu bapa saya hanya petani malah adik beradik lain juga masih kecil.
"Memanglah gaji sebagai konstabel polis ketika itu kecil, namun sekurang-kurangnya saya boleh meringankan beban ibu bapa dengan membeli keperluan rumah atau urusan sekolah adik-adik," katanya.
Tambahnya, ketika berada di Pulapol selama enam bulan bermula Julai 1990, dia hanya bergaji RM350 sebulan sahaja, tetapi sebahagian pendapatan itu diserahkan kepada keluarganya untuk meringankan beban.
"Saya tidak sesekali menyesal memilih kerjaya ini seawal usia 18 tahun kerana saya tahu saya boleh berjaya dalam bidang ini jika kesungguhan serta keikhlasan menjadi pegangan dalam setiap apa yang dilakukan," jelasnya.
Diploma dan Ijazah
Mungkin kerana hasrat ibu bapa yang mahu melihatnya menjejak kaki di menara gading, Zamzam bertekad untuk meneruskan impian itu dengan bergelar seorang mahasiswa.
Dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di peringkat diploma pada pertengahan 2000 dan bidang pengajian yang dipilihnya adalah Kaunseling Psikologi.
"Saya tidak berputus asa dalam pembelajaran dan hasrat untuk belajar sentiasa tersemat dalam diri lebih-lebih lagi hasrat ibu bapa yang mahukan saya berpelajaran tinggi seperti orang lain.
"Malah selepas tamat diploma, saya tidak berhenti di situ sahaja kerana saya kini berada di tahun kedua jurusan Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) di peringkat Ijazah.
"Saya mahu usaha ini dijadikan contoh oleh anak-anak saya kelak, malah berharap mereka sentiasa tidak berpuas hati dengan segala ilmu yang mereka ada sebaliknya cari lebih banyak lagi," katanya yang pernah bertugas di Bahagian Agama Kaunseling IPD Subang Jaya, selepas tamat pengajian Diploma.
Zamzam mula memegang jawatan sebagai Ketua Balai Polis Serdang mulai 15 Julai 2010 dan sebagai ketua, segala pengalaman lebih 20 tahun sebagai anggota polis digunakan untuk melakukan tugas seharian.
"Di balai ini terdapat 86 anggota polis dan lebih 20 daripada mereka masih dalam tempoh percubaan. Saya tidak mengamalkan corak kepimpinan yang keras sebaliknya lebih menganggap setiap anggota balai sebagai keluarga.
"Pendekatan saya juga lebih ke arah psikologi kerana kita tahu, setiap manusia tidak suka dipaksa. Jika mereka melakukan kerja secara terpaksa, walaupun kerja itu selesai kesudahannya tetap tidak memuaskan apabila ia dilakukan tidak ikhlas," katanya.
Katanya, beberapa kawasan antaranya Pinggiran Putra, Taman Sungai Besi Indah, Taman Seri Serdang serta sebahagian kawasan Universiti Putra Malaysia (UPM) terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Serdang.
"Majoriti daripada lebih 40,000 penduduk di sini adalah masyarakat Melayu dan jenayah di sini juga kebanyakan melibatkan kecurian kenderaan seperti kehilangan motosikal. Bagaimanapun pihak balai sentiasa berkomunikasi dengan masyarakat untuk mendapat maklum balas memerangi jenayah di kawasan ini," katanya mengakhir perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: