Sunday, September 30, 2012

Topeng bomoh bergelar ustaz



PESAKIT wanita perlu ditemani mahram ataupun rakan semasa menjalani rawatan. Jika pengamal perubatan itu lelaki, batasan aurat juga perlu dijaga. - Gambar hiasan



MINGGU lalu, seorang bomoh palsu, Muhammad Sombhah Abdullah, 48, diberkas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika merawat seorang wanita berusia 23 tahun.
Dia yang tinggal di Kuala Lumpur datang ke rumah wanita berkenaan sebelum dipercayai mengamalkan nikah batin bagi menghalalkan zina dengan si pesakit.
Dia berbuat begitu kononnya itulah cara untuk mengubati masalah mendapatkan anak yang dihadapi wanita itu. Ketika ditahan, lelaki itu hanya memakai seluar dalam manakala mangsa berpakaian lengkap.
Bertopengkan ayat-ayat suci al-Quran untuk memperdaya mangsa, lelaki itu dikatakan memulakan muslihat upacara nikah batin dengan bayaran mas kahwin sebanyak RM200.
Di Johor Bahru pula, seorang bomoh yang mendakwa dirinya mampu menggandakan wang, mengelak wang daripada disedut makhluk halus dan boleh membersihkan barang kemas daripada saka, dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 15 sebatan Jumaat lalu selepas didapati bersalah menipu tiga individu di negeri itu yang melibatkan kerugian RM173,478.
Berteman
Pada tahun 2008, taktik kotor pengamal perubatan tradisional tempatan untuk mengaut keuntungan itu pernah dipaparkan di stesen televisyen Korea.
Bomoh yang menggunakan status ustaz dalam rancangan itu mendakwa boleh menyerap racun dalam badan pesakit menggunakan telur, sedangkan telur yang digunakannya sudah menjalani beberapa kaedah saintifik yang dapat mengubah isi kandungannya.
Tindakan bomoh-bomoh palsu tersebut ternyata jauh menyimpang daripada kaedah perubatan saintifik yang diamalkan secara meluas di negara ini.
Namun begitu, rakyat Malaysia masih ramai yang suka menyelesaikan masalah dengan mencari bomoh. Bermula daripada mencari barang hilang, membuka pintu rezeki, menaikkan seri wajah, pendinding dan pelaris hinggalah terkena penyakit misteri, semuanya mahu dibawa berjumpa bomoh.
Menurut pengamal perubatan Islam daripada Persatuan Pengubatan Islam Darul Ansar, Saiful Nizam Hasim, individu yang ingin mendapatkan khidmat pengubatan tradisional perlu peka dengan kaedah rawatan yang diamalkan bagi mengelak daripada terpedaya.
“Seorang pengamal perubatan Islam sepatutnya merawat pesakit berlandaskan syariat Islam. Mereka harus menjaga batas aurat dan tidak sekali-kali merawat wanita secara bersendirian.
“Malah, pengamal mesti meminta izin terlebih dahulu daripada mahramnya.
“Selain itu, anda juga boleh melihat barang-barang yang digunakan untuk mengubat. Jika ada kemenyan ataupun keris, berwaspadalah. Barang-barang itu tidak salah, tetapi kaedah pemujaan yang dilakukan bertentangan dengan syariat Islam.
“Sekiranya anda bertemu dengan dukun yang mengamalkan jampi atau mantera, walaupun ada diselitkan dengan ayat-ayat al-Quran, pastikan anda mendengar dengan jelas, ditakuti ada tersembunyi sesuatu di sebalik mantera yang dibacakan,” jelasnya.
Dalam kalangan pengamal perubatan, ada juga yang percaya bahawa mereka boleh merawat dengan bantuan daripada roh tokoh terbilang Islam seperti Sunan Kalijogo atau Sheikh Abdul Kadir Jailani.

Akta

“Itu hanya tipu daya jin kerana mengikut konsep tauhid Ahli Sunah Waljamaah, roh tidak boleh bertemu dengan manusia,” katanya.
Sementara itu, menurut Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (Gapera), Mohd. Adzhar Abd. Latif, sesiapa yang ingin mendapatkan khidmat bomoh dinasihatkan supaya melihat keperibadian pengamal perubatan itu terlebih dahulu.
“Tidak salah jika kita meletak rasa curiga terhadap perlakuan dan permintaan aneh daripada bomoh berkenaan.
“Pesakit berhak memilih kaedah rawatan yang dirasakan sesuai. Apa yang penting, pastikan pengamal yang anda jumpa benar-benar layak untuk merawat apatah lagi sekarang semua pengamal perubatan tradisional sudah diwajibkan mendaftar,” katanya.
Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 yang bertujuan memastikan kualiti dan keselamatan pesakit yang menggunakan rawatan alternatif terjamin.
Pewartaan rang undang-undang itu mewajibkan semua pengamal perubatan tradisional dan komplementari berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan jika ingin memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Melalui rang undang-undang ini, pengamal berdaftar akan melaksanakan perkhidmatan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Jika wujud salah laku, pesakit boleh mengadu kepada Kementerian Kesihatan ataupun pihak penguasa tempatan untuk diambil tindakan,” kata Mohd. Adzhar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: