Wednesday, September 26, 2012

Curang

RAMAI terkejut dengan hasil kaji selidik 'Durex Sexual Well-Being Global Survey 2011' yang mengatakan bahawa lebih ramai wanita Malaysia mengaku telah berlaku curang terhadap pasangan masing-masing berbanding lelaki (39 peratus berbanding 33 peratus).
Syarikat pengeluar kondom antarabangsa itu juga melaporkan bahawa tanpa mengira jantina, Malaysia berada di tangga ketiga selepas Thailand dan Korea daripada keseluruhan 36 negara yang mengambil bahagian.
Walaupun pengkritik berpendapat 506 orang responden tempatan yang menjawab soalan kaji selidik tersebut tidak layak untuk mewakili suara keseluruhan rakyat Malaysia, tetapi apa yang pasti isu ini telah membuka mata ramai orang.
Mesej yang cuba dibawa adalah isu kesihatan seksual.
Dari sudut perniagaan, Malaysia dilihat mempunyai potensi besar dalam bidang pemasaran kondom.
Begitu juga dengan potensi dan permintaan terhadap syarikat-syarikat penyiasatan persendirian yang menyediakan khidmat pengintipan terhadap pasangan yang disyaki curang.
Jenis-jenis curangPerlakuan curang terbahagi kepada dua iaitu emosi dan seksual.
Kecurangan seksual adalah perlakuan seksual yang berlaku di luar perkahwinan. Ia boleh berlaku tanpa melibatkan perasaan cinta.
Kecurangan emosi pula berlaku apabila seseorang bercinta dengan seseorang yang bukan pasangannya.
Ia biasanya bermula dengan perkongsian pendapat seperti bertukar-tukar fikiran atau chatting di Internet.
Kemudian mereka mula berkongsi perasaan dan berbicara tentang sesuatu yang lebih peribadi.
Lama-kelamaan perasaan tersebut menjadi semakin dalam dan akhirnya membawa kepada keintiman. Kes seperti ini lebih banyak berlaku dan lebih bahaya.
Tanda amaranPakar mengatakan bahawa curang merupakan petanda bagi sesebuah perkahwinan yang bergolak dan bukannya penyebab kepada pergolakan tersebut.
Ia adalah 'wake-up call' untuk pasangan menilai kembali perhubungan mereka.
Langkah pertama adalah mendedahkan kecurangan tersebut. Ingat! Tidak ramai pasangan yang sanggup mengaku dan menyerah diri begitu sahaja.
Perlakuan curang mencorak tingkah laku pasangan yang melakukannya.
Untuk itu, setiap orang perlulah benar-benar peka terhadap sebarang perubahan tingkah laku pasangan masing-masing.
Sekiranya ibu bapa boleh mengetahui yang anak gadis mereka sedang dilamun cinta, begitu juga suami isteri yang sudah berkahwin dan hidup bersama sejak sekian lama.
Bezanya adalah betapa sakitnya hati pasangan yang memandang.
Pengisian perkahwinanKesimpulannya, tidak ada sesiapa pun yang berkahwin mengharapkan pasangan mereka akan berlaku curang.
Sekiranya berlaku, kedua-dua pihak perlu melaluinya dengan tabah dan sedia berubah ke arah kebaikan. Curang tidak bermakna berakhirnya sesebuah perkahwinan.
Perkahwinan memerlukan pengisian berkualiti dari sudut emosi, material dan kerohanian.
Jiwa yang sentiasa dipenuhi tidak akan terlintas untuk berlaku curang. Perbaiki komunikasi dan berusahalah untuk memberi lebih perhatian.
Jika anda jenis yang mudah jatuh cinta, sila hadkan hubungan sosial dengan rakan yang berlainan jantina.
Curang selalunya berpunca daripada masalah perhubungan yang tidak diberi perhatian di dalam sesebuah perkahwinan.
Ia tidak semestinya disebabkan oleh pasangan tersebut sudah tidak saling cinta mencintai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: