Kreativiti akan membawa anak-anak pergi jauh dalam menghasilkan sesuatu yang baru dan berbeza.
Ini kerana kreativiti merupakan sesuatu yang pelbagai dimensi dan ia melibatkan ciri-ciri kemahiran dan juga kemampuan diri.
Pada masa yang sama kreativiti juga bermakna kita berfikir keluar daripada kotak pemikiran tipikal," ujarnya yang berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini mempromosikan rancangannya yang akan mula bersiaran di HyppyTV awal bulan depan.
Dia yang menyifatkan kreativiti kanak-kanak Malaysia adalah di luar dugaan, menambah kebolehan kanak-kanak tidak sepatutnya disekat malah ia perlu diasah untuk menggalakkan mereka berfikir dan bermain.
Menyentuh mengenai programnya itu, Mister Maker memberitahu bahawa programnya tidak hanya terhad kepada kanak-kanak yang berumur antara empat hingga lapan tahun malah ia merupakan satu rancangan untuk tontonan seisi keluarga
Rancangan tersebut yang memaparkan kebolehan serta kreativiti mampu mendidik kanak-kanak menghasilkan pelbagai barangan kraf tangan yang menarik untuk dijadikan permainan mahupun perhiasan.
Melalui rancangan ini juga bakat kreativiti seseorang kanak-kanak itu terserlah di samping mereka mempelajari sesuatu yang baru.
Pada sesi bertemu dengan kanak-kanak di Kuala Lumpur baru-baru ini, Mister Maker tidak ketinggalan mengajar kanak-kanak membuat barangan kraf yang berupa jam tangan.
Cukup serasi dan terkenal di kalangan kanak-kanak, ternyata kehadirannya ke Malaysia buat kali kedua ditunggu-tunggu oleh mereka yang sememangnya menggemari rancangan tersebut.
Sementara itu, pengacara dan pelakon terkenal, Daphne Eleanor Iking atau lebih dikenali sebagai Daphne Iking menyifatkan aktiviti yang mencungkil kreativiti dapat memberi kesan kepada perkembangan serta pertumbuhan anak-anak di setiap peringkat.
Justeru dia menyarankan agar ibu bapa meluangkan lebih banyak masa untuk bermain bersama anak selain tidak menyekat apa juga permainan anak yang berkaitan dengan kreativiti.
Tidak dinafikan dengan teknologi yang semakin canggih hari ini di samping ibu bapa yang semakin sibuk dengan tugasan harian menjadikan anak-anak dilambakkan dengan gajet-gajet elektronik yang melekakan.
Untuk itu luangkan sedikit masa sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit untuk bermain bersama-sama dengan anak selain berkomunikasi dengan mereka.
Pada masa yang sama dedahkan mereka dengan dunia luar agar mereka tidak menjadi seorang kanak-kanak yang pasif," katanya lagi.
Beliau yang merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut menyokong rancangan-rancangan televisyen seperti Mister Maker kerana ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka dan berseronok.
Untuk itu, perlu diingatkan kepada semua ibu bapa bahawa semua kanak-kanak adalah kreatif dan mereka juga memerlukan ekspresi diri.
Yang penting, mereka seharusnya diberi sokongan mengasah kreativiti yang telah lama terpendam dalam diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: