|
KEPUTUSAN bekas Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya’kub untuk menjayakan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 merupakan satu usaha tepat dalam memastikan kelangsungan sebuah negara baharu.
Campur tangan British di bawah pemerintahan Rajah Brooke sejak kurun ke-18 di rantau ini seakan-akan dilenyapkan sekelip mata selepas penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Persekutuan Malaysia.

DUA buah perahu panjang melintasi mercu tanda Sarawak Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika menyusuri Sungai Sarawak.
Penganalisis politik Sarawak, Dr. Jeniri Amir berkata, perkara itu sudah cukup mengingatkan rakyat Malaysia betapa bersejarahnya 16 September 1963.
Katanya, ia umpama suatu rahmat apabila Sabah dan Sarawak diberi kemerdekaan melalui penggabungan dengan Malaya pada tarikh berkenaan.
“Atas pemahaman tersebut, rakyat pelbagai kaum masa kini perlu lebih menghayati Hari Malaysia dalam sejarah mahupun konteks kontemporari.
“Dari satu sudut, penubuhan Malaysia telah menamatkan pembabitan empayar British di Asia Tenggara selain memerdekakan Sabah dan Sarawak daripada kedaifan dan kemunduran,” katanya kepada Kosmo!.
Dalam pada itu, Dr. Jeniri mengakui, sebelum Hari Malaysia disambut secara rasmi pada 16 September setiap tahun, sambutan bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia sebelum itu agak hambar.
Bagaimanapun, hanya beberapa tahun kebelakangan ini, barulah wujud kesedaran tentang tarikh 16 September itu.
![]() |
|
AHLI Suruhanjaya Cobbold melawat Sarawak berikutan cadangan penubuhan Malaysia.
|
Agenda pembangunan
“Semangat Malaysia perlu serasi dengan realiti negara dalam memastikan bahawa persoalan politik Malaysia bukan semata-mata berkisar kepada kepentingan Melayu, Cina dan India.
“Sebaliknya, agenda pembangunan terancang kerajaan wajar melibatkan semua bangsa dan agama tanpa mengira latar belakang dan lokasi mereka menetap,” ujarnya.
Sambil menambah, usaha seumpamanya perlu dilakukan dalam menuntut anjakan ideologi dan pendekatan dari kedua-dua warga Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.
Misalnya, rakyat Malaysia di Semenanjung dan Kerajaan Persekutuan perlu melihat rakyat di Sabah dan Sarawak sebagai saudara sewarganegera.
Pada masa sama, mereka perlu menyemai kesedaran dan mengakui bahawa tuntutan dan keperluan pembangunan sosio-ekonomi disama rata tanpa adanya tembok pemisah.
“Rakyat Malaysia di Sarawak dan Sabah patut menghakis jurang psikologi antara negeri kerana ia hanya akan mencetuskan ketidaksefahaman antara rakyat.
“Paling utama ialah mengekalkan status quo dan memberi kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin negara, supaya bersama-sama maju ke hadapan sebagai satu negara bangsa yang teguh bersatu,” jelasnya.
![]() |
|
TUN DATUK ABANG OPENG (tiga dari kanan) mengangkat sumpah sebagai Gabenor Sarawak yang pertama.
|
Sementara itu, Dr. Jeniri menegaskan, menjiwai tarikh 16 September ini tidak bererti kepentingan Hari Kebangsaan 31 Ogos akan tersusut.
Bagi Dr. Jeniri, kedua-dua peristiwa tersebut berbeza, bagaimanapun ia mempunyai signifikannya yang tersendiri.
Maka keputusan kerajaan mengisytiharkan Hari Malaysia sebagai cuti umum di semua negeri mulai tahun 2010 adalah tepat.
“Malah, jika tidak ada 16 September, maka Malaysia tidak akan wujud, begitu juga sebaliknya.
“Jadi adalah wajar sambutan Hari Malaysia pada masa hadapan akan diadakan lebih besar bagi mencerminkan kesedaran betapa besar ertinya apabila Sarawak dan Sabah bersetuju bergabung dan merdeka dalam Malaysia,” katanya.
![]() |
|
PENDUDUK kampung menikmati kemudahan bekalan air paip di Sarawak sekitar tahun 1970-an.
|
Hormati pemimpin
Sehubungan itu, Dr. Jeniri membidas tindakan sesetengah pihak terutamanya parti pembangkang yang suka mempolitikkan isu sambutan Hari Malaysia semata-mata untuk menarik perhatian rakyat.
“Saya tidak faham apa yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang. Mereka (pembangkang) seolah-olah berniat untuk mempolitikkan sambutan Hari Malaysia dengan cuba menganjurkan satu sambutan lain,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai pula menyifatkan tindakan biadap segelintir peserta Himpunan Janji Demokrasi bulan lalu sebagai kelakuan yang tidak bertamadun.
Tegasnya, golongan remaja di negara ini perlu menghormati pemimpin negara kerana tanpa pemimpin, mungkin negara Malaysia tidak akan membangun seperti hari ini.
Abdul Wahap yang juga Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berkata, sebagai rakyat di negara yang mengamalkan sistem demokrasi, mereka perlu menghormati sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin negara ini.
“Seharusnya kita menghormati Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana beliau telah banyak membawa perubahan kepada negara ini,” katanya.
Hari Malaysia mengingatkan semua rakyat betapa pentingnya membina satu identiti nasional yang menerima perbezaan etnik, agama dan warisan.
Katanya, berpaksi kepada prinsip kepelbagaian itu, ia sewajarnya berpegang kepada satu masa hadapan yang dikongsi bersama.
“Justeru, pada hari ini kita menyebut tentang perlunya saling menerima dan menghormati perbezaan antara kita, semua rakyat perlu menyedari bahawa pada asas penubuhan itu sendiri, Malaysia sudah pun berteraskan prinsip kepelbagaian,” katanya.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: