Kamariah Ali
Kamariah Ali (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Rayuan Syariah, Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU - Seorang pengikut ajaran sesat ‘Kerajaan Langit Ayah Pin’, Kamariah Ali, 61, terpaksa akur selepas Mahkamah Rayuan Syariah di sini, hari ini menolak permohonan rayuannya dan mengekalkan hukuman dua tahun penjara yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah terhadapnya, empat tahun lalu.

Sebelum ini, pada 3 Mac 2008, bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar itu, telah didapati bersalah mendakwa dirinya bukan Islam bagi mengelak daripada diambil tindakan dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohamad Abdullah telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya.

Kamariah telah didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 kerana mengaku bukan Islam sebagai jalan mengelak diambil tindakan di atas kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen sama kerana melanggar fatwa.

Bagaimanapun, semalam, tiga panel Hakim Syarie diketuai Tan Sri Ibrahim Lembut yang bersidang bersama Datuk Md Yusup Che Teh dan Datuk Husin Harun memutuskan, hukuman dua tahun penjara yang dikenakan sebelum ini dikekalkan dan mengarahkan hukuman itu berkuat kuasa semalam di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ibrahim ketika membacakan penghakiman itu berkata, selepas panel hakim meneliti semua alasan dan rayuan perayu (Kamariah) serta bukti, hujah dan dokumen dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang diputuskan pada 3 Mac 2008.

“Pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan fakta dalam kes itu dan Kamariah didapati melakukan kesalahan berat dan serius serta mengancam kelangsungan hidup beragama,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kasmizan Abdullah manakala Kamariah diwakili peguam, Saadiah Din.

Sebelum ini, pada 20 Julai 2005, Kamariah antara yang ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu dengan bantuan polis di Kampung Ayah Pin di Batu 13, Besut.

Kemudian, Kamariah dituduh mengeluarkan kenyataan keluar dari Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek pada 12.50 tengah hari, 21 Julai 2005 di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Dia mengaku bukan Islam bagi mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 kerana melanggar fatwa yang mengisytiharkan ajaran Ayah Pin atau Ariffin Mohamad sebagai sesat.

Bagaimanapun, dia bersama 40 pengikut lain yang turut didakwa atas kesalahan sama dibebas tanpa dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah daripada pertuduhan itu, namun berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 7 Enakmen sama, kerana mengaku bukan Islam.

Sepanjang prosiding kesnya pada 2008, Kamariah mencuri perhatian mahkamah apabila berdolak dalik ketika Mohamad memintanya mengucap dua kalimah syahadah untuk merungkai keraguan status agamanya.