Friday, September 28, 2012

Kembara 4x4 ke Kemboja

Krew misi bantuan Kemboja DMK mengagihkan sumbangan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Kemboja.
PRIHATIN terhadap kesengsaraan hidup yang menimpa umat Islam di Kemboja, Pertubuhan Dana Madrasah Kemboja (DMK) akan menganjurkan program Korban dan Akikah di negara itu bersempena Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi.
Pengasasnya, Zikri Fuad Abdul Salam berkata, bantuan ditumpukan di daerah yang kurang mendapat perhatian umum dan pihaknya akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan motorsikal berkuasa tinggi untuk menjayakan program tersebut.
Kembara yang akan diadakan selama 12 hari bermula 21 Oktober hingga 1 November ini mensasarkan empat wilayah utama sekitar Kemboja yang mempunyai penduduk beragama Islam tidak berkemampuan.
"Sebanyak 10 buah kenderaan pacuan empat roda dan 10 motosikal berkuasa besar akan digunakan untuk menjayakan program ini.
"Ia bagi memudahkan krew bantuan masuk ke kawasan pendalaman di sekitar Kemboja yang kurang dikunjungi ramai. Maklumlah kebanyakan jalan utama di Kemboja tidak sempurna seperti di negara kita. Wilayah tersebut adalah Kampot, Kampung Soam, Kep dan Koh Kong," katanya.
Kembara dengan mengunakan kenderaan pacuan empat roda itu merupakan program kedua dilaksanakan.
Ia juga membolehkan krew misi memuatkan sebanyak mungkin barangan bantuan dan sumbangan untuk dibawa ke Kemboja.
Pada program itu ujarnya, krew bantuan DMK akan melaksanakan ibadah korban dan akikah bagi meraikan golongan fakir, miskin dan yang kurang berkemampuan untuk menyambut hari raya haji yang bakal tiba.
"Hasil sembelihan lembu dan kambing itu akan dimasak dan diagihkan atau dibuat kenduri di beberapa madrasah, asrama anak yatim serta kampung Muslim yang daif di sekitar Kemboja.
"DMK mensasarkan seramai 6,000 keluarga fakir, miskin dan yang kurang berkemampuan daripada 55 hingga 60 kampung di empat wilayah tersebut yang bakal menerima bantuan tersebut," ujarnya.
Zikri mengalu-alukan penyertaan daripada orang ramai bagi menjayakan misi bantuan korban dan akikah tersebut.
Tambahnya, harga penyertaan korban adalah RM250 untuk setiap bahagian. Manakala orang ramai yang ingin menyertai kembara pacuan empat roda juga dialu-alukan dengan bayaran sebanyak RM2,500 seorang.
Beliau berharap melalui penyertaan orang ramai untuk menjayakan misi ini bakal menjadi amalan yang memperoleh ganjaran berterusan kepada penyumbang.
"Misi bantuan ini bukan sekadar sumbangan untuk meraikan umat Islam fakir, miskin dan kurang berkemampuan di Kemboja, tetapi bagi menjadi 'pancing' kepada rakyat Kemboja untuk meneruskan dan memperluaskan Projek Bela Lembu yang diusahakan," jelasnya.
Selain itu, pihaknya turut merancang untuk membina Kompleks Tahfiz Moden yang mempunyai kelengkapan madrasah tahfiz, asrama, rumah guru, masjid dan kawasan untuk aktiviti ekonomi dan pertanian bagi meningkatkan ekonomi umat Islam Kemboja.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi talian 03-92026338 atau melayari infaqkemboja.blogspot.com untuk maklumat lanjut. Penyertaan turut boleh dibuat melalui dalam talian.
Manakala lebihan daripada projek itu akan disalurkan untuk membantu perjalanan dan peningkatan madrasah terpilih tajaan DMK di Kemboja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: