Saturday, September 29, 2012

Medan uji kemahiran perang



KOMANDER medan telah memberikan arahan. Serangan taktikal perlu dilakukan terhadap pasukan pengganas yang berkubu di hutan simpan yang terletak di Selangor itu.
Sebuah pasukan khas dari unit Bravo telah dikerahkan ke kawasan itu dengan menaiki helikopter.
Tugas mereka adalah untuk menyusup masuk ke kawasan musuh dan menggempur saki-baki pengganas yang ada.
Menurut maklumat risikan, kumpulan pengganas yang dianggarkan seramai 10 orang itu telah berkubu di kawasan itu sejak seminggu lalu.
Mereka dipercayai merancang untuk melakukan huru-hara di pusat bandar raya dan melakukan pemberontakan terhadap pemerintah negara.
Sebaik menerima isyarat, pasukan Bravo yang telah memantau pergerakan musuh selama 24 jam pantas memulakan serangan.
Dalam sekelip mata keadaan berubah menjadi tegan. Bunyi tembakan jelas kedengaran di sana sini.
Serangan mengejut yang dilakukan menyebabkan kumpulan pengganas tidak mampu berbuat apa-apa apatah lagi untuk mempertahankan kubu mereka.

PELBAGAI misi dan senario yang ditawarkan di dalam woodsball menjanjikan cabaran kepada setiap peserta.


Seorang demi seorang anggotanya tumpas terkena sasaran bidikan pasukan Bravo yang sememangnya sudah bersedia dan mahir tentang selok-belok hutan di situ.
Suasana akhirnya menjadi tenang kira-kira 30 minit kemudian, tiada lagi kedengaran bunyi tembakan. Sebaliknya yang kelihatan, hanyalah kelibat anggota pasukan khas yang berkawal di beberapa penjuru mengawasi keadaan.
Detik-detik mencemaskan itu bukanlah peperangan sebenar atau siri eksesais ketenteraan pasukan keselamatan, sebaliknya hanyalah salah satu aksi permainan woodsball (woods paintball) atau juga dikenali sebagai recball (recreational paintball).
Mengambil lokasi di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA), Paintball Valley yang dibuka pada tahun 2007 menjanjikan pengalaman pertempuran bersifat ala ketenteraan di dalam hutan.
Pengarah Urusan Paintball Valley, Roslim Abu berkata, woodsball merupakan asas permainan paintball sebelum permainan speedball (paintball padang) diperkenalkan.
“Umumnya, ia masih mengekalkan format asas sukan paintball melalui penggunaan peralatan seperti paintball marker (senjata), paintball (bebola cat), hooper (bekas peluru), topi muka dan tank (tabung angin).
“Bagaimanapun woodsball dilihat lebih lasak dan mencabar berbanding speedball kerana setiap peserta terdedah kepada pelbagai persekitaran dan bentuk muka bumi di dalam hutan.
“Pada masa yang sama, senario-senario permainan yang ditetapkan memaksa peserta lebih mahir dan kreatif dalam mengatur strategi bagi menumpaskan pasukan lawan,” katanya.

UMPAMA peperangan sebenar, woodsball menjanjikan keseronokan kepada peminat sukan paintball yang dahagakan aksi lasak dan ekstrem.


Darjah kesukaran
Mempunyai keluasan lebih 10 hektar, Paintball Valley menawarkan lapan lokasi pertempuran yang mempunyai darjah kesukaran berbeza mengikut tahap kemahiran para peserta.
Antaranya ialah Arcadia, Scorpion Nest, Sacred Valley, Bukit Kepong dan Solar House dan Monkey Rest.
Tambah Roslim, sebelum sesi permainan bermula setiap peserta diwajibkan mengikuti taklimat berhubung soal keselamatan dan peraturan permainan.
“Antara disiplin utama sukan ini ialah pemakaian topeng muka sepanjang berada di lokasi pertempuran.
“Di samping itu, mereka yang mempunyai masalah kesihatan juga tidak digalakkan mencubanya kecuali atas risiko sendiri,” katanya yang memberitahu setiap peserta yang bermain di situ dilindungi insurans sehingga RM20,000.
Katanya, selain menyediakan lokasi pertempuran, Paintball Valley juga menawarkan perkhidmatan menyewa peralatan seperti marker dan topi muka dengan bayaran tertentu.
“Tidak semua mampu membelinya, apatah lagi bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam sukan ini.
“Bagaimanapun bagi mereka yang sudah biasa dengan permainan ini, mereka bebas membawa marker dan aksesori sendiri mengikut kesesuaian,” katanya.
Tambah Roslim, bagi kemudahan pengunjung dan peserta, kawasan sekitarnya turut dilengkapi kemudahan seperti surau, pondok rehat, kafe dan tandas.
“Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Secara purata kami menerima kira-kira 50 hingga 100 pengunjung setiap minggu,” ujarnya.

DENGAN sedikit bayaran pengunjung boleh menyewa pelbagai peralatan paintball yang ditawarkan di sini.


Seorang peminat, Dasrul Iskandar Darus, 33, berkata, minat mendalam terhadap bidang persenjataan dan aksesori tentera sejak dari kecil antara faktor utama dia tertarik terhadap woodsball.
Lelaki yang berasal dari Subang Jaya itu memberitahu, sejak mencubanya buat pertama kali, dia terus jatuh cinta terhadap woodsball yang disifatkan sesuai dengan jiwanya yang lasak dan mencabar.
“Dengan berpakaian ala tentera, setiap pasukan akan bertempur sesama sendiri bagi mencapai objektif dan misi yang ditetapkan pada awal permainan.
“Paling menarik, ada juga misi-misi yang memerlukan peserta menggunakan kompas dan melakar peta untuk mengesan musuh, sekali gus membuatkan saya berasa seperti berhadapan dengan peperangan sebenar,” ujarnya yang bertugas sebagai pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Menubuhkan pasukan AOD pada tahun 2009, Dasrul berkata, dia dan pasukannya turut aktif menyertai pertandingan woodsball yang diadakan di seluruh negara.
Antara pertandingan yang pernah disertai ialah Ultimate Woodsball League (2010), Tactical Paintball Championship (2012) dan Malaysia Woodsball League (2012).

SETIAP peserta diwajibkan mendengar sesi taklimat berkaitan keselamatan dan peraturan permainan.


Rasa berbaloi
“Setakat ini saya sudah membelanjakan lebih RM5,000 untuk membeli pelbagai peralatan paintball dan aksesorinya. Biarpun ia agak mahal, namun ia berbaloi kerana keseronokan yang diperoleh sukar diungkapkan dengan kata-kata.
“Paling mengujakan, ia tidak sekadar memaparkan aksi tembak-menembak semata-mata, sebaliknya turut mempunyai misi tertentu seperti menyelamatkan tebusan dan menawan kubu musuh,” ceritanya.
Sementara itu, bagi Zazilia Mohd. Rawi, 23, dia mengakui tidak kekok bermain woodsball yang rata-ratanya dikuasai kaum lelaki.
Pelajar jurusan perundangan di Brickfields Asia College itu berkata, biarpun sukan itu tampak ganas, namun ia tetap selamat sekiranya setiap peserta mendengar arahan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Ia merupakan sukan lasak yang menuntut kemampuan mental dan fizikal yang tinggi. Bayangkan dalam tempoh permainan selama satu atau dua jam, peserta perlu berlari, melompat, menggelongsor sama ada untuk memburu musuh atau menyelamatkan diri,” katanya.
Gadis yang aktif dalam sukan muay thai itu memberitahu, sukan paintball pada asasnya mampu membentuk disiplin dan semangat dalam satu pasukan.
Katanya, sebagai seorang pemain paintball, mereka bukan sahaja terikat dengan peraturan dan disiplin malah sehingga ke luar gelanggang.
“Misalnya marker perlu dileraikan setiap kali selepas permainan tamat dan tidak boleh dibawa sewenangnya kecuali semasa bermain atau menyertai pertandingan.
“Di samping itu pemain juga tidak boleh merosakkan alam semula jadi yang terdapat di sekeliling mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: