Friday, September 28, 2012

Etika berpakaian

sentiasalah menjadikan Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai kemuncak kecintaan yang paling tinggi, dan tiada yang boleh mengatasi kecintaan tersebut. - Gambar hiasan
APABILA Islam mengharamkan sesuatu perkara, ia juga akan mengharamkan apa sahaja yang akan membawa kepada terjadinya perkara haram tersebut.
Dengan maksud yang lain, Islam turut mengharamkan punca dan penyebab kepada berlakunya sesuatu yang haram, walaupun punca dan penyebab tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan sunnah.
Sebagai orang yang beriman, kita perlu menutup ruang-ruang berlakunya perkara haram dengan meninggalkannya dan memastikan masyarakat di sekeliling juga dapat menjauhinya.
Demikian yang boleh kita perhatikan kepada hukum pengharaman arak yang bukan sahaja peminum arak sahaja yang berdosa, bahkan terdapat 10 golongan yang terlibat dengan aktiviti tersebut juga berdosa sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW.
Perkara yang sama juga berlaku ke atas pengharaman riba. Bukan sahaja orang yang memakan riba tersebut terkena dengan laknat Allah SWT, bahkan mereka yang menjayakan atau membantu pengamalan riba seperti pemberi makan, saksi dan penulis juga terpalit dengan laknat tersebut.
Demikian juga yang berlaku kepada hukum pengharaman zina. (rujuk al-Israa': 32)
Dalam ayat tersebut, Allah SWT melarang kita melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan diri terjebak ke kancah penzinaan. Ini bermaksud, Allah SWT bukan sahaja mengharamkan zina, Dia juga mengharamkan setiap perkara yang boleh membuka ruang kepada penzinaan.
Justeru, Allah SWT menurunkan hukum-hakam untuk mengawal manusia, menetapkan laluan yang betul dan benar agar mereka terhindar daripada penzinaan. Antaranya ialah etika berpakaian dalam Islam.
Orang yang benar-benar beriman akan suka kepada apa yang disukai oleh Allah SWT. Mereka juga akan benci kepada apa yang dibenci oleh Allah SWT. Ini adalah kerana, orang yang telah mempunyai kemanisan iman (halawatul iman) akan menjadikan Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai kemuncak kecintaan yang paling tinggi, dan tiada yang boleh mengatasi kecintaan tersebut. Demikian juga dalam berpakaian. Mereka yang beriman hanya akan suka kepada pakaian yang disukai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Secara asasnya, Islam membenarkan kita untuk berpakaian sebagaimana yang kita kehendaki. Namun, Islam menetapkan beberapa garis panduan dalam berpakaian. Antaranya;
1. Menutup aurat.
Pakaian yang ingin dipakai hendaklah dipastikan menutup aurat. Aurat bagi kaum lelaki ialah dari pusat ke lutut dalam keadaan apa sekalipun. Namun, untuk golongan wanita, mereka mempunyai aurat yang berbeza mengikut keadaan dan situasi. Aurat ketika solat dan ketika berada bersama orang yang bukan mahram ialah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. (rujuk an-Nur: 31)
Daripada ayat ini, Allah SWT memerintahkan untuk menutup seluruh tubuh wanita, kecuali muka dan dua tapak tangan. Inilah pandangan yang dikeluarkan oleh Saidina Umar ra dan Aisyah ra.
2. Longgar dan tidak terlalu ketat atau sempit sehingga menampakkan bentuk tubuh.
Ramai wanita Muslimah yang terlepas pandang garis panduan ini. Mereka telah memakai pakaian yang menutup aurat-aurat mereka, namun tetap menampakkan bentuk badan kerana terlalu ketat. Elakkan juga memakai kain yang terlalu lembut sehingga menampakkan susuk tubuh.
3. Pakaian tersebut tidak nipis sehingga menampakkan bayangan tubuh.
Sekiranya kita memakai pakaian yang agak nipis sehingga memungkinkan orang lain nampak bayangan melalui kain yang dipakai, maka perlulah dilapik atau dialas dengan pakaian yang lain. Ini telah diajar oleh Nabi SAW kepada Usamah bin Zaid ra.
Rasulullah SAW pernah menghadiahkan kain jenis Qibtiah yang kurang tebal kepada Usamah bin Zaid. Namun Usamah memberikan pula kain tersebut kepada isterinya untuk dipakai. Suatu hari Rasulullah SAW bertanyakan Usamah : "Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?" Usamah menjawab: "Saya telah berikan kepada isteri saya."
Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada Usamah: "Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)."
4. Tidak memakai perhiasan yang boleh menarik perhatian orang yang melihatnya.
Kita perlu pastikan pakaian yang dipakai tidak terlalu menarik perhatian sehingga boleh mendatangkan fitnah pada diri. Dalam hal ini, kadang-kadang kita perlu berhati-hati dalam memilih pakaian dari segi warna dan corak yang terdapat padanya.
Begitu juga perhiasan lain yang dipakai contohnya; anting-anting seperti rantai, gelang dan cincin yang mungkin boleh menyebabkan hati kita merasa riak, boleh menarik perhatian orang lain, sekali gus ini boleh membahayakan keselamatan diri.
5. Pakaian tersebut tidak menyerupai pakaian berlainan jantina.
Sekiranya dia seorang lelaki, janganlah dia memakai pakaian yang menyerupai pakaian perempuan. Begitu juga sebaliknya.
Daripada Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki. (riwayat Abu Daud)
Rasulullah SAW juga telah bersabda: "Bukan daripada golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita." (riwayat Ahmad).
6. Pakaian tersebut tidak menyerupai pakaian orang-orang musyrik.
Ini juga penting untuk kita jaga dan pelihara. Pastikan pakaian yang dipakai tidak menyerupai pakaian yang dikhususkan untuk agama-agama lain. Pastikan juga pakaian kita tidak mengandungi perkataan lucah atau kalimah yang berunsurkan syirik.
Demikianlah beberapa panduan yang perlu dipelihara dalam memastikan pakaian yang kita pakai tidak membawa kesan yang buruk kepada diri dan masyarakat. Apa yang kita mahukan ialah pakaian yang dipakai melambangkan nilai diri yang terpelihara, sekali gus mendapat keredaan daripada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: