Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 46, yang baru melangkah ke alam perkahwinan, melayari momen bahagia bahtera rumah tangga bersama suami tercinta, Azhar Ghazali.
“Alhamdulillah kini Ella tidak lagi perlu risau untuk menghadiri mana-mana jemputan persembahan kerana Ella sekarang ditemani suami tercinta. Dia akan menemani Ella sekiranya ada kelapangan.
“Kehidupan Ella sekarang bertambah baik, namun Ella masih lagi belajar untuk menjadi seorang isteri yang benar-benar terbaik untuk suami. Pada awal perkahwinan memang agak kekok, maklumlah ini kehidupan baru.
"Tapi Ella dan suami sering berbincang jika timbul sebarang masalah. Kerjaya kami yang berbeza bukan penghalang untuk kami berkomunikasi dengan baik,” kata Ella yang ditemani suaminya selepas menjayakan Konsert Di Ambang Hari Malaysia di Dataran Ipoh, baru-baru ini.
Ella akui bertuah kerana kerjayanya sebagai seorang penghibur sering mendapat sokongan kuat Azhar sejak awal mereka menjalinkan perhubungan lagi.
“Kami saling menyayangi dan memahami kehendak dan tuntutan kerjaya kami yang ada kalanya terlalu padat. Memang Ella sangat bertuah kerana dianugerahkan seorang suami yang memahami dunia seni Ella," ujarnya.
Istimewa di mata suami
Juruterbang syarikat penerbangan Firefly ini turut melahirkan rasa gembira memperisterikan Ella seorang wanita yang bertanggungjawab dan penuh dengan sifat-sifat penyayang.
"Saya faham, Ella juga milik peminat yang sentiasa menyokong dia sejak sekian lama. Sebagai suami, semestinya saya memberi sokongan kuat untuk Ella meneruskan kerjayanya. Sebahagian kehidupan Ella adalah milik masyarakat dan mereka juga menyayangi Ella," akui Azhar, disambut senyuman manis Ella.
Percintaan yang dilalui beberapa peringkat sebelum disatukan dengan Ella ternyata memberi kesan yang sangat mendalam kepadanya.
"Kami telah merancang dengan baik dan saling menghormati kerjaya masing-masing. Syukur akhirnya kesempurnaan itu tercapai berkat kesabaran kami.
"Ella seorang yang sederhana dalam segala hal dan dia juga sentiasa memberi sokongan kepada saya. Itulah keistimewaan Ella yang menambat hati saya," katanya.
Tunggu cahaya mata
Kemesraan dan kasih sayang pasangan yang masih dalam mood pengantin baru ini jelas terpancar, apatah lagi pertanyaan mengenai cahaya mata diajukan. Sambil ketawa manja Ella melirik ke arah suaminya.
“Ella bersedia sekiranya dianugerahi cahaya mata. Ella sememangnya menantikannya kerana itulah lambang kasih sayang kami. Terima kasih peminat Ella yang sentiasa mendoakan kebahagiaan Ella dan suami." katanya.
Ella turut merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat yang hadir menyaksikan persembahannya bersama legenda rock, Amy Search sempena sambutan Tahun Melawat Perak.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak yang memberi peluang Ella bertemu peminat di Perak.
“Keramahan masyarakatnya yang berbilang kaum di samping kepelbagaian makanan menambat hati Ella untuk berkunjung semula ke sini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: