|
DALAM nada berseloroh, namun isinya semacam bersalut lapisan makna, Remy Ishak membuat pengakuan zahir dan batin.
Katanya, dia seorang pencinta yang setia. Tergelak kecil dalam senyum yang mahu disembunyikan, dia bertutur lagi.
"Sejujur-jujurnya, itulah saya. Saya banyak terbabit dalam drama dan filem cinta.
"Setiap naskhah itu mengajar dan mematangkan kehidupan dan percintaan saya. Saya belajar tentang cinta daripada lakonan.
"Biarlah jika ada yang menggelarkan saya sebagai hidup dalam fantasi, kerana fantasi itu indah bukan?"
Untuk sedalam-dalamnya bercerita soal hati, kejantanan Remy barangkali terpukul. Orang lelaki agaknya, lebih senang diajak ke hutan daripada bercerita tentang kekasih hati.
Enggan kasih yang dianyam sesama anak wayang, Tiz Zaqyah terurai banyak daripada mulut sendiri, cukuplah umum sekadar tahu hanya Tiz yang ada di hatinya. Remy menyerahkan kerja jodoh itu kepada Sang Pencipta.
Sama juga seperti Budi, karakter yang dijayakan penuh emosi oleh Remy dalam 29 Februari ketika ini.
Segera Remy membiarkan kisah cinta luar panggungnya habis di situ.
Akal fikirnya sedang teruja dengan reaksi ramai terhadap percaturan yang mendatangkan sebuah lagi makna pada karier lakonannya itu.
Makan kritikan
Sebagai Budi, lelaki naif itu percaya cinta dan hidupnya perlu diabadikan untuk orang yang dikasihi sahaja.
Melihat Budi dalam terjemahan seorang pelakon, terlebih dahulu Remy cukup berbangga kerana peluang yang diberikan penerbit KRU Studios itu mengizinkan dirinya untuk terlibat dalam sebuah karya yang bakal menjadi khazanah negara.
Epik fantasi biografi 29 Februari telah tiga hari menemui khalayak di pawagam. Sepanjang tempoh itu, banyak respons yang diterima.
Logiknya untuk sebuah filem berskala besar, 29 Februari cepat mengundang kritikan.
Remy menerima kritikan yang dilemparkan itu sebagai 'makanan jiwa' yang harus ditelan oleh pelakon seperti dirinya.
"Filem ibarat makanan, ia ada banyak pilihan dan selera orang juga berbeza. Ada peminat yang mahu melihat filem sebagai sesuatu yang sempurna pada akalnya.
|
|
"Macam makanan juga, ada makanan yang tidak menepati cita rasa semua orang.
"Tapi untuk 29 Februari, saya berani katakan ia filem yang sempurna. Bukan kerana saya pelakonnya, tapi saya juga letakkan diri sebagai penonton.
"Dua kali saya tonton 29 Februari. Rasanya saya boleh tonton filem itu berkali-kali lagi. Jadi, bila ada yang kritik kononnya susah hendak larut bersama jalan cerita, saya okey. Itu tandanya orang beri perhatian.
"Bagi saya, filem Malaysia sedang melangkah ke arah yang lebih bagus," ujarnya.
Sambil mengungkapkan bahawa setiap kekurangan itu sebenarnya pelengkap kepada kesempurnaan, aktor berusia 30 tahun itu terpanggil bercakap tentang persamaan antara Remy dan Budi.
Budi ialah karakter utama yang muncul sebagai lelaki panjang umur yang lahir pada 29 Februari 1896 dalam filem arahan Edry Abdul Halim itu.
"Budi juga manusia biasa. Apa yang dilalui dan dirasai olehnya ialah perasaan yang turut boleh dirasai oleh orang lain.
"Mungkin 40 atau 50 peratus daripada nilai dan jati diri Budi seperti kesetiaan terhadap cinta, ada pada diri saya.
"Rasanya semua orang mahu menjadi sesetia Budi. Tetapi untuk saya menjadi Budi, sebenarnya dunia saya agak perit," tuturnya beremosi.
Rakan matangkan lakonan
Budi secara dasarnya masih karakter yang menjadi makanan Remy Ishak. Watak melankolik, naif dan bercerita tentang cinta dan kehidupan.
Ia seolah-olah nampak mudah untuk pelakon ini yang kini sedang mempersiapkan diri untuk sebuah lagi drama bersiri bersama Khabir Bhatia, Cinta Jangan Pergi.
"Masa penggambaran, kena bertahan daripada segala segi. Kalau hendak cerita tentang tenaga dan emosi Budi, banyak perkara saya lalui, tertekan sebenarnya.
"Karakter Budi ada banyak tahap dan saya kena tahu dimensi. Saya kena buat penonton dengan sendirinya sedar tentang perubahan zaman yang Budi lalui. Cerminan saya terhadap Budi haruslah tepat dan boleh difahami penonton.
"Selain pengarah, sebagai pelakon saya kena buat rujukan. Mujur juga saya berdamping dengan kawan-kawan yang sangat membantu," katanya sambil terpetik nama-nama seperti Osman Ali dan Bront Palarae sebagai antara teman sejiwa yang dimaksudkan.
Menjadi Remy sendiri mungkin agak sukar. Dia tidak lepas daripada kisah hidup yang sentiasa menjadi bahan cerita. Populariti dan impak yang ditinggalkan oleh namanya untuk sesebuah drama dan filem juga sedang diperhatikan.
Popular bukan pelaris
|
|
Sedar populariti seseorang pelakon bukanlah satu-satunya faktor pelaris sesebuah filem, kata Remy: "Atas tiket sebagai pelakon, soal filem laku atau tidak, tidak boleh dijawab oleh saya seorang.
"Mungkin filem-filem lakonan saya yang terdahulu tidak begitu gempak dari segi kutipan, namun saya melihat masih ada keseimbangan di situ."
Sama juga dengan 29 Februari, masih terlalu awal untuk menghakimi impak filem yang baru sahaja menemui penonton pada 30 Ogos lalu.
Biarpun ia sebuah filem cinta, sebuah fantasi biografi tentang lelaki yang tidak dimakan usia kerana lahir pada 29 Februari tahun lompat, filem Stereoscopic 3D itu satu karya pertama kali seumpamanya yang pernah dihasilkan oleh karyawan Malaysia.
"Setiap pengarah ada hak terhadap penceritaannya, Edry juga begitu. Dia meletakkan cinta sebagai asas filem ini. Sejarah dan zaman hanyalah latar belakang.
"Dalam sebuah filem cinta, Edry cuba menyebarkan semangat cinta kepada bangsa dan negara dalam kalangan penonton. Rasanya sesuai juga filem ini ditayangkan pada bulan kemerdekaan ini," tutup Remy.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: