KUALA LUMPUR 24 Sept. - Persatuan Bekas Tentera
Malaysia (PBTM) meminta kerajaan mengkaji semula skim gaji dan pencen
anggota tentera sedia ada supaya kerjaya itu menjadi pilihan ramai
termasuk bukan Melayu.
Presidennya, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, usaha itu bukan
sahaja memberi manfaat kepada anggota yang sedang berkhidmat tetapi juga
bekas-bekas tentera.
Beliau berkata, sehingga kini, gaji anggota tentera masih berada pada
tahap rendah menyebabkan kerjaya tentera tidak begitu diminati ramai.
"Skim gaji yang lebih tinggi itu secara tidak langsung akan membantu
anggota tentera untuk menikmati kehidupan lebih baik selepas bersara
nanti.
"Apa yang lebih penting, kenaikan gaji itu juga mampu menjadikan
kerjaya tentera sebagai pilihan utama dan menarik lebih ramai bukan
Melayu menyertai pasukan tentera," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan PBTM
menjelang Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak Jumaat ini.
Sementara itu, Muhammad juga berharap kerajaan akan memberi kenaikan
pencen kepada pesara tentera yang berkhidmat selama 21 tahun kerana
kenaikan sebelum ini hanya membabitkan pesara yang berkhidmat melebihi
21 tahun.
"Lebih 36,000 bekas tentera yang berkhidmat genap 21 tahun juga perlu mendapat kenaikan yang setara.
"Mungkin sebelum ini kerajaan terlepas pandang dan diharapkan
golongan tersebut juga diberi perhatian khusus dalam pembentangan bajet
akan datang," ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan perkara tersebut
kerana ia memberi gambaran jasa mereka sepanjang berkhidmat sebagai
anggota tentera khususnya ketika menentang komunis juga dihargai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: