Friday, September 28, 2012

Matlamat Imam Muda Dalam Dunia Hiburan Tidak Tersasar

Sebahagian daripada 10 Imam Muda musim ketiga.
PETALING JAYA: Perjuangan bekas-bekas peserta Imam Muda (IM) yang berdakwah menggunakan medium hiburan termasuklah di bidang nyanyian dan lakonan masih lagi tidak tersasar daripada matlamatnya.
Pengurus saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sepanjang tiga musim mengasah bakat golongan itu menerusi IM, penglibatan mereka menyebarkan ilmu agama Islam dalam industri hiburan tempatan sesuai dengan peredaran zaman.
"Untuk berdakwah, menggunakan medium industri seni tempatan adalah yang terbaik terutamanya membuat tarikan kepada golongan remaja.
"Lebih-lebih lagi bakat imam-imam ini dapat dikembangkan daripada pelbagai sudut termasuklah nyanyian dan lakonan.
"Tetapi mereka tidak akan tersasar daripada matlamat untuk berdakwah dan memastikan menjaga kredibiliti sebagai seorang imam," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album IM3 , Ada Imam Di Kalangan Kita di Hotel Le Meridien, dekat sini, Khamis.
Tambah Izelan, pihaknya juga sedang membuat perancangan untuk mengembangkan bakat-bakat IM ke peringkat antarabangsa.
Izelan Basar
"Alhamdulillah, melihatkan perkembangan bekas-bekas IM, mereka semua sudah boleh bergerak sendiri dengan pendekatan dakwah masing-masing.
"Malah, kebanyakannya sudah pun berhenti kerja kerana sibuk dengan jadual memberi ceramah dan mengikuti aktiviti-aktiviti lain.
"Insya-Allah, akan ada perancangan untuk mengembangkan dakwah mereka ke peringkat antarabangsa," ujarnya.
Sementara itu, mengenai album Ada Imam Di Kalangan Kita, ia merupakan sebuah album kompilasi yang mengandungi tiga jenis zikir dan dua buah lagu yang disampaikan oleh 10 peserta IM musim ketiga.
Menarik lagi, susunan muzik yang dihasilkan oleh Hedzry Hafidz (AG Coco) memberikan kelainan pada setiap zikir yang disampaikan, sesuai dengan peredaran muzik masa kini.
Antara zikir dan lagu yang dimuatkan ialah Hasbi Rabbi, Subhanallah, Astaghfirullah, Satu serta Takwa & Iman.
Album terbitan Measat Broadcast Network System Sdn Bhd dan Warner Music Malaysia tersebut kini sudah berada di pasaran dengan harga RM21.90 untuk cakera padat (CD).

1 comment:

  1. Kat mana nak cari video hasbi rabbi dari imam muda ni, Kat youtube tak de ke.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: