Pinjaman bank ditolak, nekad pinjam duit ah long
Hasil kerja jahitan Khatipah mendapat perhatian ramai pelanggan.
KUALA TERENGGANU – Siapa sangka seorang ibu tunggal beranak lima di daerah ini sanggup meminjam wang ribuan ringgit daripada ceti atau lebih mudah digelar ‘ah long’ bagi memulakan perniagaannya sebagai tukang kasut tiga tahun lalu.

Wanita pertama di daerah Kuala Terengganu, Khatipah Wahab, 54, yang nekad menjalankan perniagaan menjahit kasut ini terpaksa mengikat perut untuk berbelanja bagi melangsaikan hutang yang dipinjamnya kerana konco-konco along akan datang meminta bayaran setiap hari.


Pinjam dari Tekun

“ALHAMDULILLAH, kini hutang along dapat dilangsai dan saya kini membuat pinjaman bagi pusingan modal dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Niaga (Tekun) sebanyak RM3,000.

“Sebenarnya sebelum membuat keputusan untuk meminjam duit dengan ah long, saya berusaha mendapatkan pinjaman di bank tetapi semuanya ditolak menyebabkan saya nekad meneruskan niat menjadi tukang kasut bagi menyara anak,” katanya ketika ditemui di tapak niaganya di Jalan Banggol di sini.

Menurut Khatipah, setiap hari dia membawa bekal dari rumah untuk mengisi perut bagi memastikan pendapatannya sekitar RM10 – RM50 sehari dapat disimpan dan diuruskan dengan baik.


Pendapatan tidak menentu

“PENDAPATAN bagi kerja macam ini tidak menentu dan pernah hanya memperoleh RM5 sehari, namun saya menerimanya sebagai takdir malah dijadikan pembakar semangat untuk terus mencari rezeki sebagai tukang kasut,” katanya.

Menurutnya, kerja tukang kasut ada pasang surutnya kerana terdapat pelanggan yang menyuruh membaiki kasut tetapi ditinggalkan begitu sahaja tanpa mengambilnya.

“Masalah ini menyebabkan saya terpaksa menanggung kerugian kerana kasut pelanggan sudah dibaiki, tetapi mereka (pelanggan) tidak datang untuk mengambil kasut dan membayar harga yang sepatutnya yang menjadi pendapatan saya.

“Sedangkan modal untuk membeli peralatan membaiki kasut seperti gam, jarum, benang dan sebagainya memerlukan sekitar RM2,000.

“Ada kalanya saya akan menjual kasut pelanggan yang ditinggalkan melebihi tiga bulan sebagai menampung kos yang dihabiskan ketika membaiki kasut berkenaan,” cerita Khatipah berhubung sikap sesetengah pelanggan yang tidak bertanggungjawab.


Tabah sara anak

MENURUTNYA, sebagai ibu tunggal yang menyara dua anak yang masih belajar, Norsamsudiniah Mohamad, 23, dan Khairul Azrin, 14, dia harus bekerja keras mencari pendapatan bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Hendak bela anak bukan mudah tetapi hanya ini kepakaran yang saya miliki dan saya reda dengan ketentuan-Nya, yang penting rezeki halal.

“Bukan mahu menandingi tukang kasut lelaki tetapi pengalaman hampir 10 tahun bekerja sebagai pembantu tukang kasut, menaikkan lagi semangat saya untuk menjadikan kerjaya ini sebagai punca rezeki keluarga,” katanya.

Khatipah berkata, sokongan orang ramai terutama rakan dan pelanggan menjadikannya bersemangat untuk terus melakukan kerja sebagai tukang kasut.


Impi tinggal rumah selesa

“Ada sesetengah mereka yang lalu lalang di kawasan ini terkejut melihat saya yang menjadi tukang kasut kerana mereka jarang melihat pekerjaan ini dilakukan wanita,” katanya.

Dalam keterujaan mendengar cerita satu-satunya tukang kasut wanita di daerah itu, Khatipah meluahkan impiannya untuk memiliki tempat tinggal yang lebih selesa kerana kini dia terpaksa menyewa rumah di Kampung Duyung dengan harga RM250 sebulan.

“Saya mengimpikan sebuah rumah kerana dengan adanya tempat tinggal yang selesa, saya tidak perlu lagi menyewa, malah dapat menyimpan sedikit wang untuk anak selain bekalan pada hari tua,” katanya.