Friday, September 28, 2012

Pamer tarian tradisi pelbagai kaum



SEGALANYA bermula semenjak mengutip pengalaman membuat persembahan tarian di kompleks beli-belah tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Ketika itu, Azim Riaz Ramjan Din hanya berusia dalam lingkungan belasan tahun. Seawal usia remajanya itu, dia sememangnya tidak segan dan aktif membuat persembahan di khalayak ramai tidak kira masa dan tempat.
Memandangkan orang ramai peka pada kebolehan dan bakatnya, semakin lama semakin banyak mendapat permintaan untuk mengadakan pertunjukan.
Melihat perkembangan itu, Azim yang kini berusia 31 tahun mula mengenakan bayaran serendah RM200 kepada mana-mana pihak yang mahu mendapatkan perkhidmatan persembahan tariannya. Pada masa yang sama, dia turut menyertai kumpulan lain untuk mengadakan persembahan.
Berdasarkan pengalamannya menimba pengalaman di ruang legar kompleks hingga ke pentas pertunjukan berbayar, dia menubuhkan sebuah pertubuhan tarian yang dinamakan Mast Millennium Dancers pada tahun 1997 dengan sokongan sepupunya, Mohd. Sham Mohd. Abdul Satar, 32.
Bagaimanapun, pada tahun 1998, dia terpaksa mengehadkan aktivitinya kerana mahu memberikan tumpuan bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berkat mendapat keputusan peperiksaan yang membanggakan, Azim melanjutkan pengajian ijazah dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Anglia Ruskin di United Kingdom selama tiga tahun. Walaupun sibuk dalam dunia akademik, minatnya terhadap seni itu tidak pernah terkubur.
Kembali aktif
Sebaik pulang Malaysia, anak jati Kuala Lumpur itu kembali aktif membuat persembahan. Pada mulanya, dia bersama sepupunya sekadar membuat persembahan pada majlis perkahwinan saudara-mara.
Persembahan mereka sentiasa mendapat pujian. Dari situ, mereka mula berfikir untuk mengembangkan seni itu dengan menarik lebih ramai ahli untuk menyertai mereka.

KEUNIKAN kumpulan yang telah ditubuhkan sejak 15 tahun kini mendapat perhatian dari luar negara.


“Mujur, ketika itu ada rakan-rakan lain yang turut berminat,” katanya yang sempat melalui fasa pasang dan surut dalam menjalankan perkhidmatan kumpulan penari itu.
Bagaimanapun, Azim sama sekali tidak menduga nasib kumpulannya itu akan berubah. Perkara yang ditanamkan oleh anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu dalam diri dan juga fikiran ahli kumpulannya ialah agar terus bersemangat dan jangan mudah berputus asa.
Azim mula mempelajari kehendak pasaran dan juga corak permintaan pelanggan. Dia dan kumpulannya juga semakin memahami hala tuju bakat mereka itu.
Secara berperingkat, mereka memantapkan skil dan pengetahuan tentang pelbagai jenis tarian, termasuk jenis gerak tari berlatarkan etnik. Seiring itu juga, nama Mast Millennium Dancers mula mendapat perhatian ramai.
Separuh masa
Walau bagaimanapun, dia bersama ahli-ahlinya hanya menceburi bidang tersebut secara separuh masa memandangkan mereka mempunyai kerjaya masing-masing.
Dalam kesibukan mengimbangi tugas dalam dunia kerjaya hakiki, majoriti ahli-ahlinya yang bekerja sebagai kakitangan swasta akan berkumpul sekerap dua hari dalam seminggu untuk membuat latihan tarian.
Disebabkan keperluan yang ringkas dan hanya membuat persembahan mengikut permintaan, mereka tidak memerlukan studio khas bagi rutin latihan mereka.
“Bukan mahu mendabik dada kerana boleh bertahan hampir 15 tahun, cuma apa yang boleh dikatakan kejayaan ini antara lain disebabkan kerjasama sesama ahli,” ujar Pengarah Urusan di Ajensi Riaz Sdn. Bhd. itu.
Cerita anak kelahiran Pakistan itu lagi, kumpulannya memiliki keunikan tersendiri dengan penglibatan ahlinya yang terdiri daripada Melayu, India dan Punjabi.

MAMPU melakukan pelbagai jenis tarian.


Kumpulan yang sememangnya pakar dalam tarian Bollywood itu turut mampu memeriahkan sesebuah acara dengan persembahan tarian hip hop, salsa, jazz, flamenco, tarian klasik India, tarian zapin, joget, inang, mak yong dan tarian tradisional Borneo.
Tidak ketinggalan tarian eksotik seperti tarian gelek, tarian api, tarian merak dan tarian singa.
“Kami mendapat permintaan yang tinggi terutama pada penghujung tahun kerana ketika itu banyak majlis perkahwinan berlangsung,” kata Azim yang turut mendapat permintaan daripada kenalan yang menetap di Bangkok, Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia.
Ada yang sanggup membuat tempahan setahun sebelum perkahwinan anak mereka kerana khuatir tidak mendapat perkhidmatan kumpulan berkenaan.
Harga persembahan
Ketika ditanya mengenai bayaran untuk perkhidmatan mereka, Azim memberitahu, harga yang dikenakan bermula dari RM1,000 hingga RM30,000.
Harga tersebut bergantung kepada tempoh persembahan, jenis tarian, dan bilangan jenis tarian yang dikehendaki oleh pelanggan.
“Kita menetapkan harga itu berdasarkan persembahan dan pakej yang merangkumi sistem bunyi, pencahayaan, penyanyi, juruvideo, pengacara dan beberapa perkhidmatan tambahan lain.
Koreografer kumpulan berkenaan, Mohd. Sham berkata, dia sering kali membuat pembaharuan dengan menyelitkan pelbagai jenis langkah tari dalam persembahan mereka.
Selain itu, dia mengakui akan cuba menyelitkan idea-idea baharu dalam koreografi tariannya supaya persembahan kumpulan itu tampak menyerlah.
Dia yang turut merupakan pereka fesyen memberitahu sebelum membuat persembahan dia sendiri akan mereka bentuk pakaian ahli-ahlinya.
“Kostum akan dibuat selaras dengan lagu-lagu yang akan dimainkan sepanjang persembahan,” ujarnya.
Tidak mahu bidang itu terhenti di situ sahaja, dia turut bersedia mengajar seni tarian kepada sesiapa sahaja yang berminat.
“Kebiasaannya, saya akan ke tempat mereka untuk mengajar manakala harganya bergantung kepada jenis tarian,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: